Wednesday, April 6, 2011

Seorang pegawai kastam yang membantu siasatan kes rasuah ditemui mati

GALERI FOTO

Seorang pegawai kastam yang membantu siasatan kes rasuah ditemui mati dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane di ibu negara pagi ini.

NONEMangsa dikenalpasti sebagai Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang berkhidmat sebagai pembantu pengarah di pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor.

Pegawai kanan itu membantu siasatan membabitkan cukai tidak dibayar dan telah dibebaskan dengan ikat jamin dua hari lalu.

Pengarah penyiasatan SPRM Mustafar Ali berkata, Allahyarham Ahmad Sarbani ditahan pada 1 April lalu berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Penahanan itu dibuat di Klang.

Ahmad Sarbani kemudiannya dilepaskan pada 2 April lalu pada jam 12.30 petang.

Lelaki itu datang semula ke pejabat SPRM di Jalan Cochrane di Kuala Lumpur untuk bertemu seorang pegawai penyiasat berhubung kesnya, kata Mustafar lagi.

NONEPegawai penyiasat telah memintanya menunggu di situ sementara pergi mengambil fail kes tersebut.

Bagaimanapun, apabila balik semula ke situ, dia mendapati pegawai Kastam tidak ada, kata Mustafar lagi.

NONETambahnya, mayat Ahmad ditemui terbaring di atas gelanggang badmintion pada jam 10.15 pagi.

Siasatan ke atas Allahyarham dijalankan ekoran penahanan sejumlah 62 orang pegawai Kastam dalam satu operasi di Pulau Pinang, Selangor dan Pahang.

Operasi berkenaan dijalankan oleh satu tindakan bersama oleh SPRM, JKDM, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Bank Negara.

Seorang lagi dikesan mempunyai lebih RM1 bilion manakala dua lagi yang ditahan mempunyai lebih RM500,000 di dalam akaun masing-masing.

Salah seorang pegawai kastam yang ditahan dalam operasi itu dikesan mempunyai wang berjumlah beberapa juta di dalam akaunnya.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa tinjauan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di mana mayat Ahmad Sarbani dihantar untuk dibedah siasat, mendapati anggota keluarganya berada di persekitaran bilik mayat sejak kejadian itu dimaklumkan kepada mereka.

Namun sehingga lewat petang tadi, media elektronik dan cetak dihalang menemuramah anggota keluarga Ahmad Sarbani oleh pegawai Kastam.

Pihak hospital juga tidak memaklumkan waktu bedah siasat itu selesai yang kelak dapat merungkai keputusan pakar patalogi mengenai punca kematian mangsa tersebut.

Sumber hospital memberitahu Bernama bagi kes berprofil tinggi seperti kejadian ini, ia memerlukan masa untuk bedah siasat disiapkan di mana ada wujudnya kemungkinan bedah siasat kali kedua.

Katanya ini bagi membolehkan pihaknya mendapatkan keputusan bedah siasat yang betul dan sahih serta tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak kelak.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman, yang turut berada di HUKM, memberitahu media bahawa pihak Kastam perlu diberikan masa secukupnya bagi menenangkan keadaan ketika ini.

"Pihak kami akan memberikan bantuan kepada keluarga Ahmad Sarbani dan semua pihak diminta tidak mengeruhkan keadaan," katanya.

Usaha menghubungi Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf yang berada di Tasik Kenyir, Terengganu untuk mendapatkan komennya gagal, tetapi seorang pegawainya berkata beliau (Mohamed Khalid) akan berlepas pulang ke Kuala Lumpur malam ini.

Mohamed Khalid berada di Tasik Kenyir untuk mempengerusikan Mesyuarat Pengarah Kastam SeMalaysia ke-65 yang bermula semalam.

Setiausaha Kesatuan Pekerja-Pekerja Kastam Malaysia, Mohd Mazlan Mohd Shaari yang dihubungi pula berkata pihak kesatuan belum memutuskan sebarang pandangan atau keputusan mengenai kes kematian itu dan akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat.

"Kejadian itu baru berlaku dan kita tidak tahu sangat mengenainya dan kita tunggu siasatan polis," katanya ketika dihubungi.

Beliau juga enggan mengulas lanjut mengenai sama ada kes kematian itu mempunyai kaitan dengan kes rasuah yang membabitkan pegawai kanan kastam sebelum ini.

"Kita akan mengadakan sidang media mengenai kes itu Jumaat ini dan kita akan menyatakan pandangan kesatuan mengenai perkara itu," katanya sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Ahmad Sarbani.

No comments: