Saturday, April 9, 2011

PM sedia bertemu Persatuan Kastam




2011/04/09

PEKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata beliau bersedia bertemu dengan Persatuan Pegawai Kanan Kastam dalam usaha merungkai segala isu yang sedang dihadapi Kastam DiRaja Malaysia (KDRM) ketika ini.
"Tidak ada masalah, saya boleh jumpa, pada masa yang sesuai..," kata Najib.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat persatuan itu berikutan laporan-laporan buruk berkaitan KDRM sejak kebelakangan ini.

Semalam, Presiden persatuan itu Ibrahim Ahmad berkata moral dan kredibiliti pegawai dan anggota KDRM kini terjejas berikutan laporan media berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan RM108 bilion. Ditanya berkenaan perkara berkenaan, Perdana Menteri berkata sekiranya semua pegawai KDRM "mengikut peraturan", maka tidak akan "timbul apa-apa masalah" lagi. "Kalau kita ikut peraturan (dalam urusan kerja), tidak ada masalah, kalau (urusan) import apa-apa produk contohnya, kita isytihar produk itu pada harga berpatutan atau harga sebenarnya, tidak ada masalah.
"Kalau kita tak nak isytihar atau mengisytihar kurang dari nilai, itu yang jadi masalah.
"Kalau ikut pada peraturan, sepatutnya tidak timbul apa-apa masalah (seperti apa yang berlaku ketika ini)," kata Perdana Menteri.
Semalam, Ibrahim ketika bercakap kepada pemberita berkata: "Sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, kami berharap Datuk Seri Najib dapat memberikan nasihat yang boleh membersihkan maruah dan imej Kastam yang kini terjejas akibat laporan media yang tidak tepat.
Ibrahim berkata laporan media yang mengaitkan pegawai KDRM terlibat dengan rasuah dan pengubahan wang haram sebanyak RM108 bilion adalah tidak logik kerana agensi itu menjana pendapatan sebanyak RM28.3 bilion pada tahun lepas.
-- BERNAMA

No comments: