Sunday, January 31, 2010

PENANGGUHAN BAYARAN SEBAHAGIAN GANJARAN JPA

25/1/2010



Seperti sedia dimaklum, persaraan pilihan ialah suatu keistimewaan yang
boleh dipertimbangkan bagi anggota sektor awam dengan mangambil kira
kepentingan jabatan, kepentingan perkhidmatan serta keadaan kewangan negara.
Sehubungan dengan ini, dengan mengambil kira keadaan kewangan negara
semasa, Kerajaan telah memutuskan persaraan pilihan anggota Sektor Awam
(iaitu pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan atau Negeri serta pekerja Pihak
Berkuasa Berkanun atau Tempatan) akan diluluskan dengan syarat anggota
bersetuju dibayar 20% daripada ganjaran atau RM10,OOO.OO, mengikut mana
yang lebih, ketika bersara dan selebihnya akan dibayar pada tarikh yang akan
ditetapkan oleh Kerajaan, tidak melampaui tarikh anggota mencapai umur bersara
wajib mengikut syarat pelantikan atau opsyen umur persaraan wajib. Walau
bagaimanapun, wang tunai sebagai Gantian Cuti Rehat (GCR) dan pencen
bulanan akan dibayar sepenuhnya mengikut peruntukan undang-undang pencen.
(Sila catatkan rujukan Jabatan ini apabila berhubung)
"JPA
Untuk keterangan lanjut (Klik Sini)

Monday, January 25, 2010

JPA NAFI COLA DAN ITP DITARIK BALIK

Bernama
23/1/2010


PUTRAJAYA, 22 Jan (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Jumaat menafikan laporan yang mendakwa pembayaran elaun sara hidup (COLA) dan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) yang dinikmati penjawat awam akan ditarik balik.Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam ketika dihubungi Bernama di sini berkata: "Itu semua khabar angin dan tidak benar".Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan laman blog dan penyebaran SMS yang mendakwa bahawa kerajaan akan menghapuskan pembayaran COLA dan ITP penjawat awam sebagai langkah penjimatan perbelanjaan negara.Semalam, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Omar Osman menafikan khabar angin itu dan berkata jika ia dilaksanakan, sudah pasti ada surat pekeliling dengan ditandatangani secara rasmi oleh pihak berkenaan dan diedarkan untuk pengetahuan kira-kira sejuta penjawat awam.-- BERNAMA

Friday, January 22, 2010

CUEPACS nafi COLA ditarik balik

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menafikan khabar angin kononnya elaun sara hidup kakitangan awam (COLA) dan elaun perumahan akan ditarik balik oleh kerajaan.

Presidennya, Omar Osman berkata, sekiranya ia dilaksanakan, sudah pasti ada surat pekeliling dengan ditandatangani secara rasmi oleh pihak berkenaan dan diedarkan untuk pengetahuan kira-kira sejuta kakitangan awam.

''Perkara baru yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan perlu mempunyai surat dan tarikh kuat kuasa dan ia tidak akan sah tanpanya,'' ujar beliau ketika dihubungi malam ini.

Omar mengulas berita yang tersebar dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman-laman blog yang mendakwa elaun tersebut akan ditarik balik oleh kerajaan sebagai langkah penjimatan perbelanjaan negara.

"Semalam saya ada bertemu dengan pegawai tertinggi Perbendaharaan dan Pegawai Akauntan Negara mengenai perkara itu dan mereka tidak tahu mengenai pemotongan tersebut," katanya.

Katanya, jika benar elaun itu ditarik balik, ia akan menjadi masalah besar kepada kakitangan awam kerana bonus tahun 2009 juga tidak diberi kepada mereka.

Utusan Malaysia Online: 22 Januari 2010

Sunday, January 17, 2010

KERAJAAN DIGESA UBAH NAMA JAWATAN "PA" KEPADA SETIAUSAHA TADBIR

Bernama
17/01/2010 7:11pm




PUTRAJAYA 17 Jan — Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan menggunakan istilah ”Setiausaha Tadbir” bagi jawatan pembantu perbadi (PA) yang kini digelar ”Penolong Setiausaha Tadbir” berbanding mengubah nama kepada ”Setiausaha Pejabat”.
Presiden CUEPACS Omar Osman berkata menurut surat Pekeliling Perkhidmatan Awam 2009 No.27, jawatan ”Pembantu Peribadi” telah dikuatkuasakan pada 1 Jan tahun ini tetapi belum dilaksanakan.
“Oleh itu, kami akan mengadakan pameran bergerak dan akan meminta semua ahli-ahli negeri memberi taklimat mengenai perkara tersebut,” katanya pada sidang media selepas memberi taklimat mengenai perkara itu kepada kira-kira 200 petugas awam di sini hari ini. — Bernama

AGENSI PERLU IKUT GARIS PANDUAN JPA

Berita Harian
Oleh Sazarina Shahrim sazarina@bharian.com.my
15/1/2010



Ketua jabatan tidak boleh buat syarat tambahan sendiri isu kenaikan pangkat

PUTRAJAYA: Semua ketua jabatan dan agensi kerajaan pada peringkat negeri perlu mengikut garis panduan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung proses kenaikan pangkat pegawai sokongan yang berkhidmat lebih 15 tahun tanpa mengenakan syarat tambahan. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang syarat tambahan termasuk menghalang kakitangan yang merokok daripada dinaikkan pangkat.
"JPA sudah menetapkan garis panduan dan berharap (ketua jabatan dan agensi kerajaan) ikutlah. Tidak boleh sengaja buat syarat tambahan sendiri," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam. Beliau mengulas pendedahan Presiden Cuepacs, Omar Osman, kelmarin, bahawa ada ketua jabatan dan agensi kerajaan pada peringkat negeri yang mengenakan syarat pelik apabila tidak membenarkan pegawai merokok naik pangkat mengikut skim Khas Untuk Penyandang yang berkuat kuasa 1 Julai lalu. Antara syarat kenaikan pangkat bagi kumpulan itu yang dikeluarkan JPA ialah perlu berkhidmat lebih 15 tahun dan memperoleh markah 80 peratus ke atas bagi Laporan Penilaian Prestasi Tahunan tiga tahun terkini serta lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).
Skim KUP yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam Mei lalu itu, dijangka memberi manfaat kepada 176,066 pegawai kumpulan sokongan dalam perkhidmatan Persekutuan yang berkhidmat lebih 15 tahun dengan membabitkan kos sebanyak RM170.4 juta. Ismail bagaimanapun berkata, sehingga ini JPA tidak menerima laporan atau aduan seperti didakwa Cuepacs itu dan hanya mengetahuinya menerusi laporan media massa. "Saya minta supaya mereka yang ada maklumat itu tampil dan membuat laporan supaya JPA boleh siasat dan kalau benar, tindakan akan diambil," katanya.

Friday, January 15, 2010

PENJAWAT AWAM PERLU PROFESIONAL

Utusan Malaysia
14/1/2010

SEMUA penjawat awam atau kakitangan kerajaan harus akur dan patuh kepada saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak supaya berkhidmat secara penuh profesional tanpa didorong kecenderungan politik.
Selanjutnya, Najib dalam ucapannya semasa majlis makan malam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang turut dihadiri Pengerusi SPA, Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri baru-baru ini menyatakan penjawat awam mesti berpegang teguh dan kukuh kepada prinsip profesional secara total tanpa mengambil kira apa-apa pun pandangan peribadi.
Seseorang yang dilantik menganggotai mana-mana sektor dalam perkhidmatan awam tertakluk kepada dasar, peraturan, pekeliling perkhidmatan, perintah am dan lain-lain peraturan yang telah ditetapkan dan diguna pakai semasa menjalankan tugas. Ia juga meliputi semua tindakan pelantikan, penanggungan kerja, naik pangkat, tatatertib dan pengurusan prestasi penjawat awam.
Kenyataan dan saranan Perdana Menteri itu mengingatkan penjawat awam yang alpa tentang perlunya mereka bersikap profesional dalam menjalankan tugas.
Penjawat awam perlu meletakkan ke tepi perbezaan fahaman politik dan kepentingan peribadi. Pelaksanaan dasar yang dibuat oleh kerajaan hanya akan tercapai kepada matlamat yang ditetapkan sekiranya semua penjawat awam bersikap profesional, bersungguh-sungguh melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
Dasar-dasar yang digubal oleh kerajaan di dalam setiap Pelan Rancangan Malaysia hanya berjaya dicapai sekiranya semua pihak mendokong penuh dasar tersebut.
Tindakan segelintir penjawat awam yang ponteng kerja tanpa sebarang alasan bukan sahaja merugikan, malah menjatuhkan imej perkhidmatan awam.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Ahmad Shah Mohd. Zin semasa merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Pekerja Awam Angkatan Tentera Malaysia di Port Dickson pada April tahun lalu menyatakan sebanyak lima peratus kakitangan awam terlibat dengan gejala ponteng kerja. Walaupun peratusan itu dianggap kecil, namun sekiranya tiada tindakan tegas diambil, dikhuatiri ia akan memberi impak yang besar kepada jabatan tempat mereka bertugas.
Apa pula nanti persepsi orang ramai terhadap jabatan berkenaan. Sesungguhnya seseorang penjawat awam itu membawa bersamanya imej jabatan tempat mereka bekerja.
Penjawat awam yang bertugas sebagai pendidik sama ada di sektor pendidikan dan pengajian tinggi wajar menumpukan secara total kaedah pengajaran dan pembelajaran dengan mengikut silibus yang telah ditetapkan tanpa memasukkan elemen-elemen yang tidak relevan dalam pengajaran mereka.
Ini penting kerana generasi muda hari ini merupakan bakal pemimpin masa hadapan. Tindakan segelintir tenaga pengajar yang mengambil kesempatan menanamkan fahaman politik sempit, 'anti-establishment', memburuk-burukkan pemimpin-pemimpin tertentu dan dasar-dasar kerajaan amat mendukacitakan. Kanak-kanak dan golongan pelajar umpama kain yang putih, sekiranya warna yang diterapkan itu gelap, maka lama kelamaan pemikiran mereka akan dipengaruhi unsur gelap.
Kemajuan yang dikecapi oleh Malaysia hari ini adalah hasil hubungan yang baik dan saling bertaut antara kerajaan dan penjawat awam. Dasar kerajaan mampu dilaksanakan dengan lebih berkesan dan lancar sekiranya semua penjawat awam sentiasa menyokong dan mampu menterjemahkan dasar tersebut dan menentukan setiap agenda kerajaan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

NADZIR AWANG AHMAD
Universiti Teknologi Mara Perlis



CUEPACS LAPOR SYARAT PEGAWAI MEROKOK TAK NAIK PANGKAT
Berita Harian
14/1/2010





KUALA LUMPUR: Cuepacs mendedahkan ada ketua jabatan dan agensi kerajaan pada peringkat negeri mengenakan syarat pelik apabila tidak membenarkan pegawai merokok naik pangkat mengikut skim Khas Untuk Penyandang (KUP), berkuat kuasa 1 Julai lalu. Presidennya, Omar Osman, berkata beliau menerima aduan pegawai yang memenuhi syarat naik pangkat mengikut skim itu seperti ditetapkan Surat Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), tetapi tidak layak menikmatinya kerana merokok.
“Kita anggap ini syarat gila kuasa. Ketua jabatan dan agensi kerajaan jangan menganiaya kakitangan bawahan dengan mengenakan syarat tidak munasabah,” katanya ketika dihubungi, semalam. Sempena Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 14 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan bersetuju memberi kenaikan pangkat KUP bagi pegawai kumpulan sokongan yang sudah berkhidmat melebihi 15 tahun.
Omar berkata, pihaknya kesal dengan tindakan ketua jabatan dan agensi terbabit kerana JPA menerusi surat pekelilingnya sudah menetapkan syarat jelas untuk diikuti dalam menaikkan pangkat kakitangan mereka mengikut skim itu. Katanya, selain perlu berkhidmat lebih 15 tahun dan mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus dalam laporan prestasi bagi tempoh tiga tahun lalu, kakitangan juga perlu lulus tahap tiga Penilaian Tahap Kecekapan (PTK). “Mereka juga tidak disabitkan dengan kesalahan tata tertib iaitu dengan mendapat pelepasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mengisytiharkan harta, memberikan bukti mereka tidak pernah dikenakan tindakan disiplin dan dicadangkan ketua jabatan masing-masing. “Jadi, jangan membebankan mereka yang layak dengan pelbagai syarat pelik. Ada di antara kakitangan terbabit sudah berkhidmat dalam gred sama antara 25 hingga 30 tahun tanpa merasai nikmat kenaikan pangkat,” katanya.
Omar berkata, pihaknya sudah menghantar surat rasmi kepada semua Setiausaha Kerajaan Negeri, selain turut memaklumkannya kepada Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan berhubung pelbagai syarat dikenakan terhadap kakitangan itu.

Tuesday, January 5, 2010

SKIM PERKHIDMATAN PEMBANTU SETIAUSAHA PEJABAT

JPA
21/12/2009


Pekeliling perkhidmatan ini bertujuan memaklumkan keputusan kerajaan mengenai perubahan skim perkhidmatan Pembantu Tadbir (Kesetiausahaan) Gred N17, N22, N32yang telah dilaksanakan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2007 kepadaskim perkhidmatan Pembantu Setiausaha Pejabat/Setiausaha Pejabat Gred N17, N22,N27/28, N32, N36.
Untuk keterangan lanjut sila (klik disini)

CUEPACS GALAK PETUGAS RENDAH KERJA SAMPINGAN

Berita Harian
Oleh S Anand Kumar
anand@bharian.com.my
31/12/2009


KUALA LUMPUR: Cuepacs meminta kakitangan awam yang dikategorikan berpendapatan rendah melakukan kerja sampingan untuk menambah pendapatan terutama bagi menampung perbelanjaan kelengkapan persekolahan anak mereka.
Presidennya, Omar Osman bagaimanapun, berkata kesatuan itu yakin kerajaan akan memberi peruntukan tambahan sebanyak RM500 kepada anggota sektor awam bagi menggantikan bonus sebelum hujung bulan depan.

Beliau mendakwa, pihaknya menerima banyak aduan daripada hampir 860,000 ahli seluruh negara berhubung segelintir peniaga mengambil kesempatan mengenakan harga yang tinggi untuk pakaian seragam sekolah dan peralatan persekolahan.
“Setiap kali Cuepacs mengadakan pertemuan bersama ahli diseluruh negara, soalan pertama yang mereka tanya kita ialah bilakah peruntukan tambahan RM500 itu akan diberikan kerajaan.
“Tujuan Cuepacs meminta kakitangan awam itu untuk bekerja sampingan kerana segelintirnya adalah golongan berpendapatan rendah. Kami faham menjelang pembukaan sekolah ini mereka perlu berbelanja lebih membeli barangan persekolahan untuk anak-anak mereka.
“Cuepacs menyarankan antara kerja sampingan yang boleh dilakukan ialah memandu teksi dan berniaga secara kecil-kecilan di pasar pagi atau pasar malam.

“Kami bukannya mendesak kerajaan tetapi amat berharap demi kakitangan awam berpendapatan rendah kerajaan akan meluluskan peruntukan tambahan RM500 untuk meringan beban kewangan mereka,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Sementara itu, Omar berkata, pihaknya juga amat berharap kakitangan awam berstatus kontrak di bawah kerajaan negeri tidak akan ditamatkan perkhidmatan mereka akhir tahun ini.

“Boleh dikatakan setiap hari Cuepacs menerima panggilan daripada pekerja kontrak ini memohon kami merayu kepada Datuk Seri Najib Razak supaya membantu mereka. Ada yang sudah berkhidmat hampir 20 tahun dan berpendapatan purata sekitar RM1,500 sebulan,” katanya.