Thursday, April 7, 2011

Kastam Vs SPRM… Kita tunggu dan lihat….

0
0
0
New
Share

Kastam Vs SPRM… Kita tunggu dan lihat….

Kesatuan Kastam sangsi Sarbani pergi ke SPRM tanpa dipanggil
April 07, 2011

KUALA LUMPUR, 7 April — Kesatuan Pegawai-pegawai Kastam Semenanjung Malaysia sangsi seorang penolong pengarah agensi itu yang ditemui mati dipercayai jatuh di premis SPRM WIlayah Persekutuan pagi semalam akan pergi ke pejabat agensi antirasuah itu tanpa diarah berbuat demikian.

Sehubungan itu, Presidennya Ibrahim Ahmad berkata, beliau yakin Ahmad Sarbani Mohamed tidak mungkin telah berada di pejabat SPRM awal-awal pagi semalam melainkan ada arahan dikeluarkan kepada Allahyarham.

Beliau mempertikaikan kenyataan SPRM semalam bahawa Ahmad Sarbani datang ke pejabat SPRM WIlayah Persekutuan tanpa diarah untuk datang membantu siasatan susulan.

Ahmad Sarbani, 56, ditahan pada 1 April lalu dan dilepaskan keesokan hari.

Kesatuan itu bersama beberapa persatuan dan kesatuan lain dalam Kastam Diraja Malaysia akan mengadakan mesyuarat khas petang esok bagi membuat pendirian mengenai kematian Ahmad Sarbani dan juga Operasi 3B kendalian SPRM sejak awal minggu lalu.

Ahmad Sarbani merupakan salah seorang daripada 62 pegawai kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B, yang merujuk kepada kehilangan sumber cukai RM3 bilion.

“Ini pendirian saya, apa exco (kesatuan) akan putuskan (esok)… kita kena tunggu,” kata beliau sambil menimbulkan persoalan kehadiran Ahmad Sarbani di pejabat SPRM pada pukul 8.26 pagi semalam.

“Tak akan dia (Ahmad Sarbani) datang sendiri, kalau tidak dipanggil tak akan (dia) datang… secara logik, kalau tidak dipanggil, dia tak akan datang,” katanya.

Ibrahim berkata SPRM seharusnya mengeluarkan surat rasmi jika mahu seseorang suspek atau saksi datang ke pejabat mereka bagi membantu siasatan.

“Kalau dipanggil, (SPRM) perlu mengeluarkan surat, kalau seseorang hendak datang kena ada surat panggilan (rasmi),” kata beliau kepada Thе Malaysian Insider lewat malam tadi.

Lazimnya, kata beliau, seseorang khususnya mereka yang disoal siasat tidak akan pergi ke pejabat agensi pencegahan jika tiada arahan dikeluarkan.

“Kita tidak akan saja-saja pergi… melainkan seperti wartawan yang akan pergi ke sana, ke sini untuk mencari maklumat,” katanya lagi.

Ibrahim yang bulan lalu patah tangan kiri dan cedera di dahi selepas dihentak dengan batu bata oleh dua lelaki di kawasan perumahannya di Kangkar Pulai, Johor Baru berkata, beliau tidak mempertahankan mereka yang melakukan rasuah tetapi mahu SPRM bertindak secara profesional khususnya dalam hal berkaitan dengan Operasi 3B.

“Salah tetap salah, tetapi cara siasatan (dijalankan) kena profesional,” katanya yang turut mempersoalkan cara pihak berkenaan menjalankan Operasi 3B.

“Apa yang berlaku kepada Teoh Beng Hock, kini berlaku pada pegawai Kastam… perkara ini tidak logik,” katanya lagi.

Difahamkan pada malam sebelum Ahmad Sarbani pergi pejabat SPRM, Allahyarham telah bermain tenis di kawasan kuarters Kelana Jaya dan memaklumkan rakan-rakannya bahawa ada menerima arahan supaya datang ke pejabat SPRM pada keesokan pagi.

Rakan zaman kanak-kanak Ahmad Sarbani, Ridzuan Mohamad yang ditemui di kawasan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) memberitahu Thе Malaysian Insider, dia tidak percaya apabila dimaklumkan kematian penolong pengarah itu.

Ridzuan juga memberitahu tidak logik Ahmad Sarbani boleh membunuh diri kerana dia sentiasa mempertahankan bahawa dirinya tidak bersalah.

“Malam tadi (kelmarin) dia panggil saya dan memberitahu saya bahawa dia sedang disoal siasat oleh SPRM. Dia berkata dia rasa tidak bersalah kerana tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Dia juga berkata dia akan menghantar satu dokumen esok (semalam), untuk menghantar dokumen,” katanya lagi.

Insiden terbaru ini, yang sekali lagi mengejut dan menggemparkan negara, berlaku ketika Suruhanjaya Diraja sedang mengadakan siasatan berhubung kematian bekas pegawai DAP Teoh Beng Hock, yang ditemui mati selepas disiasat SPRM di Shah Alam, dua tahun lalu.

SPRM memulakan Operasi 3B minggu lalu dan telah menahan 62 pegawai kastam di seluruh negara.

Sebahagian besar daripada telah dibebaskan sementara menanti siasatan susulan.

Pada sidang media semalam, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali berkata mangsa ditemui mati di gelanggang badminton kira-kira 10 pagi tadi.

Kata beliau, Ahmad Sarbani datang ke bangunan SPRM kira-kira 8.26 pagi tanpa sebarang temu janji dengan pegawai siasatan.

Katanya, Ahmad Sarbani telah datang ke Pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur seorang diri dengan menunggang motosikal dan meminta untuk berjumpa dengan pegawai penyiasat bagi berbincang mengenai kes terhadapnya

No comments: