Wednesday, April 13, 2011

Operasi 3B bongkar kes rasuah


Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my
2011/04/13

ABU KASSIM (tiga dari kanan) bersama Omar (dua dari kanan) serta Ibrahim (dua dari kiri) pada perjumpaan di Putrajaya, semalam.
ABU KASSIM (tiga dari kanan) bersama Omar (dua dari kanan) serta Ibrahim (dua dari kiri) pada perjumpaan di Putrajaya, semalam.

SPRM bantu KDRM tingkat integriti kakitangan

PUTRAJAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kes salah laku, penyelewengan dan rasuah pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) menerusi Operasi 3B mendapati KDRM juga tertipu dalam kes terbabit berikutan hanya segelintir kakitangannya terbabit dalam gejala itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, berkata faktor itu antara sebab pihaknya menubuhkan pasukan bertindak dengan agensi lain seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selain KDRM sendiri bagi operasi terbabit.
“Menyusuli operasi ini, kita akan adakan siri perbincangan meja bulat dengan KDRM bagi mencari jalan membantu mereka kemas kini kutipan cukai dan meningkatkan integriti kakitangannya kerana kita dapati jumlah yang berintegriti jauh lebih tinggi dan mereka ini dapat membersihkan KDRM,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan dengan Presiden Gabungan Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman; Timbalan Presiden Persatuan Pegawai Kanan Kastam Malaysia, Iskandar Jaafar dan Presiden Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia, Ibrahim Ahmad.

Abu Kassim berkata, Operasi 3B mengambil sempena RM3 bilion yang disasar dapat dikutip daripada operasi terbabit, yang hilang akibat penipuan pengisytiharan cukai, penyelewengan serta salah laku pelbagai pihak dan menegaskan KDRM hanya satu daripadanya.

Beliau berkata, orang ramai keliru dengan jumlah RM108 bilion yang dikaitkan akhbar tertentu dengan siasatan terhadap KDRM dan menjelaskan ia sebenarnya anggaran kerugian setiap tahun kepada kerajaan akibat penipuan, pengisytiharan cukai, penyelewengan serta salah laku pelbagai agensi penguat kuasa kerajaan.
Katanya, laporan media mengatakan wang berselerak di rumah pegawai kanan KDRM yang ditahan pada 28 Mac lalu juga tidak tepat kerana ia sebenarnya bermaksud menunjukkan wang ditemui di beberapa lokasi berlainan.

Sementara itu, Iskandar berkata, usaha perlu dipergiat bagi memartabatkan integriti, bukan saja di KDRM, sebaliknya seluruh perkhidmatan awam dan diharap kita dapat bersama menangani isu yang menjadi buah mulut masyarakat.

Omar pula berkata, CUEPACS meminta Abu Kassim meneruskan khidmatnya bagi mencapai matlamat semua agensi di negara ini cemerlang dan tinggi integritinya.

Ibrahim pula menyifatkan pertemuan dengan SPRM itu memberi peluang kakitangan KDRM membersihkan nama dan mahu agensi pencegahan rasuah dilihat sebagai rakan baik KDRM dan bukannya ditakuti

No comments: