Saturday, November 12, 2011

Gaji minimum RM1,500: Selangor perlu penuhi janji


KUALA LUMPUR 11 Nov. - Beberapa kesatuan sekerja hari ini meminta Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor memastikan penetapan gaji minimum RM1,500 dalam Bajet Selangor 2012 yang dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, ditunaikan dan bukan hanya sekadar janji manis.

Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia, Hamzah Masri berkata, harapan yang diberikan kepada pekerja di negeri itu perlu ditunaikan.

"Apabila dah janji kita perlu tunaikan kerana pekerja mengharapkannya. Kalau tidak ditunaikan, maka orang tidak akan percaya lagi dengan kerajaan negeri.

"Kita sokong usaha berkenaan kerana ia akan membawa manfaat kepada pekerja," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas Bajet Selangor 2012 berhubung penetapan RM1,500 sebagai gaji permulaan di syarikat-syarikat milik kerajaan negeri itu mulai tahun depan.

Pengerusi Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia Cawangan Kuala Lumpur, Ja'apar Mansor pula berkata, pihaknya amat berharap janji itu dapat dilaksanakan.

"Bajet memang bagus tetapi adakah ia benar-benar akan dilaksanakan kerana pekerja akan kecewa jika ia tidak dilaksanakan," ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor memberitahu, usaha kerajaan negeri itu baik tetapi pelaksanaan secara drastik akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Tuesday, November 8, 2011

KESATUAN SEKERJA BANTAH DAP

Utusan Malaysia

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA, MD. AZRIN ROSLY,
FAZRINA AYU RADUIAN dan MOHD. FIRDAUS ISMAIL
pengarang@utusan.com.my
8/11/2011

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Beberapa kesatuan sekerja hari ini bangkit menentang hasrat DAP yang mahu mengurangkan bilangan penjawat awam.

Sambil menyifatkan, ia satu tindakan berunsur politik dan mempunyai agenda tersirat, kesatuan-kesatuan juga menyifatkan cadangan itu sebagai tidak rasional serta tidak berasas.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, hasrat tersebut adalah tidak rasional kerana tidak mempunyai alasan yang munasabah.

“Kami di bidang perguruan khususnya menolak 100 peratus hasrat tersebut yang dilihat bukan satu langkah bijak.

“Lebih-lebih lagi peningkatan pelajar sebanyak 500,000 orang setiap tahun manakala banyak guru yang akan bersara menyebabkan keperluan guru meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai hasrat DAP untuk mengurangkan kakitangan awam sekiranya dipilih sebagai pemerintah negara dan mengukuhkan dakwaan bahawa parti itu tidak selesa dengan penguasaan orang Melayu dalam sesuatu bidang.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri tidak bersetuju dengan hasrat tersebut yang dilihat boleh menyebabkan kualiti perkhidmatan terjejas.

“Contohnya, dalam bidang penguatkuasaan seperti kami, sekiranya tenaga kerja dikurangkan, sudah tentu akan menyukarkan untuk mengawal jumlah kenderaan yang berjuta-juta.

“Tidak mungkin, suatu masa nanti kita mahu menswastakan perkhidmatan awam yang menyebabkan lebih mementingkan keuntungan berbanding untuk berkhidmat kepada rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Kakitangan Am Universiti Kebangsaan Malaysia (Kesukma), Abdul Rahman Mohd. Nordin berkata, pengurangan itu lebih membawa keburukan daripada kebaikan yang mana meningkatkan lagi pengangguran dan kebergantungan khidmat luar sehingga menyebabkan kos lebih tinggi.

“Hasrat DAP dilihat mempunyai agenda tersirat umpama ada udang di sebalik batu. Dalam perkhidmatan kami, bilangan pelajar semakin lama makin meningkat dan memerlukan penambahan kakitangan mengikut keadaan,” jelasnya.

Bagi Pengerusi Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM) Cawangan Kuala Lumpur, Ja‘apar Mansor berkata, tidak semestinya pengurangan bilangan penjawat awam akan dapat mengurangkan bajet kerajaan malah boleh menyebabkan kesan yang sebaliknya.

Pengerusi Persatuan Pekerja Wanita, Silam Hassan berkata, pengurangan berkenaan adalah agenda DAP untuk mengurangkan hasil ekonomi orang Melayu dan ini membuktikan mereka kurang senang dengan pencapaian bumiputera kini.

“Jika penjawat awam rata-rata bangsa Melayu dikurangkan, mereka juga sukar untuk mendapatkan pekerjaan kerana tidak diberi peluang untuk menjawat jawatan di syarikat milik bukan Melayu,” katanya.

Menurut Presiden Kesatuan Pekerja Pekerja KTMB, Abdul Razak Md. Hassan berkata, hasrat tersebut perlu dibantah keras kerana kewujudan pelbagai sektor awam di negara ini adalah inisiatif kerajaan dalam membantu rakyat di negara ini agar mempunyai punca pendapatan.

“Adakah dengan berniat mengurangkan jumlah penjawat awam maka ruang kerja akan disediakan oleh mereka yang terlibat. Ini sesuatu yang perlu dipandang serius dan ditentang kerana akan meningkatkan jumlah pengangguran,” katanya.

Presiden Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal, Kementerian Pendidikan Malaysia (KSKM), Hamran Ahmad menyatakan kenyataan yang dibuat Setiausaha Penerangan DAP, Tony Pua itu lebih berat kepada unsur-unsur politik daripada menjaga kepentingan penjawat awam yang lebih 80 peratus terdiri daripada orang Melayu.

“Mengurangkan jumlah kakitangan bermakna ada penjawat yang akan kehilangan kerja. Ini akan membantutkan perkembangan ekonomi negara dan akan memberi impak yang tidak sihat kepada negara,” katanya.

Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia turut membantah cadangan DAP dengan menyifatkan ia sebagai tidak berasas.

Presidennya, Alias Aziz berkata, kerajaan yang baik ialah kerajaan yang dapat menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyatnya bagi menjamin kelangsungan pertumbuhan ekonomi negara.