PUTRAJAYA – Kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed yang dilaporkan terjatuh daripada bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur tidak akan merencatkan ‘Ops 3B’ atau Operasi Tiga Bilion yang dilancarkan suruhanjaya tersebut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata, sebaliknya SPRM akan mendapat kerjasama yang lebih erat dengan para pegawai kastam dalam menjayakan operasi yang bermatlamatkan untuk menjana kutipan hasil duti import yang lebih tinggi itu.
“Berhubung dengan kematian Ahmad Sarbani, pihak SPRM dan Kastam Diraja Malaysia dengan secara jujur dan ikhlas hati menyerahkan pada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut,” kata Abu Kassim.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Persatuan Pegawai Kanan Kastam Malaysia, Iskandar Jaafar, Presiden Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS), Datuk Omar Osman dan Presiden Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia, Ibrahim Ahmad di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abu Kassim berkata, sebagai susulan kepada pertemuan hari ini, SPRM akan mengadakan beberapa siri meja bulat dengan pihak kastam bagi mengenal pasti dan mengemas kini kaedah yang boleh digunakan untuk meningkatkan pendapatan negara menerusi kutipan hasil import.
Pada masa yang sama, keterlibatan kedua-dua agensi berkenaan akan membantu meningkatkan tahap integriti penjawat awam di mata masyarakat negara ini di samping membantu menjana pendapatan negara, jelasnya.
“Imej pegawai kastam harus dibersihkan dari tanggapan rasuah dan penyelewengan kerana saya pasti kebanyakan pegawai kastam jujur dan berintegriti, cuma ada segelintir dalam bilangan yang sangat kecil antara mereka yang melakukan kesalahan-kesalahan itu,” katanya lagi.
Sementara itu, Ibrahim Ahmad ketika mengulas mengenai pertemuan itu berkata, pihaknya menyifatkan pertemuan tersebut sebagai berjaya dan berjalan dengan suasana yang baik dan harmoni dengan SPRM memberi penjelasan berhubung isu RM108 billion yang diperkatakan itu, mengenai wang yang dikatakan berselerak dan stadard prosedur operasi (SOP) yang mereka gunakan,” katanya.
Yang lebih penting, menurut Ibrahim, SPRM memberi jaminan akan sentiasa mematuhi SOP dalam membuat penyiasatan.
Iskandar Jaafar pula berkata, pihaknya menyokong penuh cadangan kerjasama lebih erat antara SPRM dengan pegawai kastam dalam usaha untuk memulihkan imej pegawai-pegawai kanan kastam di mata masyarakat ekoran sikap tamak haloba sebilangan kecil pegawai itu yang melakukan rasuah
No comments:
Post a Comment