Friday, May 20, 2011

PROSPEK PENGGANTI PTK BERKUATKUASA 1 JULAI


Bernama
19/5/2011


PUTRAJAYA, 19 Mei (Bernama) -- Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi atau PROSPEK menjadi pengganti kepada Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang berkuatkuasa 1 Julai ini, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Abu Bakar Abdullah.

Beliau berkata lapan prinsip yang menjadi teras kepada penilaian baru itu meliputi falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian.

"Walau bagaimanapun, sebarang penambahbaikan pelaksanaan boleh dibuat atau dirunding dari semasa ke semasa.

"Itu jaminan saya," katanya pada majlis Menandatangani Persetujuan Bersama JPA-Cuepacs Mengenai Penilaian Baru Kompetensi Menggantikan PTK di sini Khamis.

Turut hadir Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.

Abu Bakar berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Cuepacs secara bersama bersetuju bahawa falsafah penilaian berasaskan kompetensi diteruskan dengan memperluaskan skopnya meliputi pembangunan kompetensi dan potensi.

"Pengenalan penilaian potensi sebagai nilai tambah kepada penilaian baru ini bertujuan memantapkan lagi fungsi pengurusan bakat dalam perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata selain dimensi asas kompetensi seperti pengetahuan, kemahiran dan sikap, kedua-dua pihak bersetuju dimensi tambahan diperkenalkan iaitu kreativiti dan inovasi selaras dengan nilai semasa yang diberi penekanan oleh kerajaan dalam pembangunan negara.

Katanya kaedah penilaian bagi kumpulan pelaksana tidak lagi berasaskan peperiksaan tetapi ditentukan oleh panel penilai yang berwibawa yang akan menilai kompetensi yang diperlukan pada sesuatu jawatan.

Katanya hasil penilaian akan menentukan status kompetensi pegawai sama ada mempunyai kompetensi 'cemerlang dan berpotensi tinggi', 'memenuhi kompetensi dan berpotensi' atau 'memerlukan pembangunan'.

Abu Bakar berkata pegawai yang melalui proses penilaian dan pembangunan serta memenuhi kriteria penilaian yang ditetapkan, berpeluang menikmati ganjaran dalam bentuk pembangunan diri dan kemajuan kerjaya.

"Faedah pembangunan diri termasuk peluang mengikuti pelbagai program pembangunan untuk meningkatkan kompetensi dan potensi seseorang pegawai serta pengiktirafan lain seperti Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Pingat Perkhidmatan Cemerlang dan lain-lain.

"Manakala faedah kemajuan kerjaya termasuk pertimbangan untuk kenaikan pangkat mengikut skim perkhidmatan masing-masing dan peluang mengikuti latihan di dalam atau di luar negeri," katanya.

Katanya pegawai yang berada di gred kenaikan pangkat pula akan mengikuti program pembangunan kompetensi dan potensi yang ditetapkan mengikut gred yang berkenaan.

"Kaedah pembangunan boleh berbentuk program seperti Pembangunan Kompetensi Berterusan, Latihan Berteraskan Kompetensi dan seumpamanya," katanya.

Abu Bakar berkata ketua perkhidmatan dan ketua jabatan diberi fleksibiliti dalam menentukan aspek dan kaedah penilaian dan pembangunan sesuai dengan keperluan kompetensi jawatan berkenaan.

Katanya pada keseluruhannya penilaian kompetensi baru ini adalah berbentuk program yang bersepadu bermula dengan pengenalpastian kompetensi pegawai di gred lantikan yang diikuti dengan pelbagai program pembangunan diri termasuk bimbingan, pementoran dan latihan sesuai dengan keperluan pembelajaran pegawai yang berkenaan.

"Setelah berada di gred kenaikan pangkat, pegawai seterusnya akan melalui program pembangunan kompetensi dan potensi yang dirancang secara sistematik sehingga ke akhir kerjaya seseorang pegawai," katanya.

Katanya pada masa ini, pihak JPA sedang meneliti draf akhir pekeliling berkenaan yang dijangka akan dikeluarkan pada akhir bulan ini.

Mengulas mengenai tiga permohonan Cuepacs, Abu Bakar berkata pihaknya tidak dapat menjanjikannya kerana setiap perancangan kewangan perlu dilaksanakan dengan baik.

Terdahulu, Omar dalam ucapannya memohon kepada JPA supaya kenaikan pangkat secara time-based dikekalkan, bukan berdasarkan kepada kompetensi tertentu; dan kedua perlu ada kenaikan pangkat secara istimewa yang tidak tertakluk kepada jawatan kosong.

"Selepas pergi mana-mana kursus atau meningkatkan kompetensi tetapi balik tidak juga dapat kenaikan pangkat. Jadi, kita mahu mana-mana penjawat awam yang pergi bagi meningkatkan kompetensi dan potensi, supaya balik tanpa temuduga terus mendapat kenaikan yang cemerlang dan istimewa," katanya.

Katanya yang ketiga ialah insentif diberikan apabila seseorang pengawai itu mendapat kenaikan pangkat dan sebagainya.

-- BERNAMA

______________________________________________________________________

Gambar dari Media Cuepacs





Tuesday, May 10, 2011

EJEN PEMANTAU PENJAWAT AWAM

Berita Harian
Oleh Syuhada Choo Abdullah dan S Anand Kumar
bhnews@bharian.com.my
2011/05/10

LAPORAN  akhbar kelmarin.

LAPORAN akhbar kelmarin.


Penilaian konsep 360 darjah tingkat kepemimpinan jabatan kerajaan

KUALA LUMPUR: Penilaian tahap kecekapan berkonsep 360 darjah mulai 1 Julai depan berkesan mewujudkan hubungan 'menang-menang' yang erat antara pihak pengurusan dan kumpulan pelaksana, serta mempertingkat daya kepemimpinan cemerlang, telus dan saksama dalam jabatan kerajaan.
Pelaksanaan konsep baru itu juga disifatkan sebagai ejen pemantau kepada pentadbiran dan jentera operasi dalam perkhidmatan awam berikutan semua penjawat menyedari prestasi mereka akan diperhati serta dinilai secara berterusan oleh penyelia, rakan sejawatan dan kakitangan bawahan.
Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata sistem penilaian baru itu mampu menjana pembangunan profesionalisme serta kerjaya berterusan di kalangan penjawat awam melalui kursus peningkatan kecekapan, berbanding kebanyakan kursus di bawah Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) lebih menjurus kepada program kesedaran dan motivasi.

“CUEPACS juga akan mencadangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam perjumpaan esok (hari ini) supaya penilaian baru ini nanti turut memberi pertimbangan lebih 15 peratus kepada sumbangan kakitangan yang kreatif di luar bidang tugas hakiki mereka,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan, mulai 1 Julai depan, prestasi kakitangan awam akan dinilai menggunakan konsep 360 darjah oleh pegawai atasan, rakan sejawatan dan kakitangan bawahan bagi menentukan tahap kecekapan mereka untuk pertimbangan panel khas bagi kenaikan pangkat, pengisian jawatan kosong yang lebih tinggi serta penempatan baru.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Guru Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, pelaksanaan sistem itu mampu mengelakkan berlakunya penindasan dalam hubungan antara pegawai atasan dan kakitangan bawahan, sebaliknya tindakan diambil akan lebih berhati-hati serta mengambil kira kepentingan secara keseluruhan.
“Ini secara langsung akan menggalakkan jalinan kerjasama lebih padu yang bukan saja menguntungkan pihak pentadbiran, kumpulan pelaksana, jabatan dan negara tetapi juga pelanggan atau penerima perkhidmatan,” katanya.

Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri, berkata konsep penilaian baru itu diyakini lebih relevan dan berkesan berbanding penilaian berasaskan peperiksaan dalam PTK.

“Justeru, peluang kenaikan pangkat yang mengambil kira rekod penilaian perkhidmatan secara berterusan serta pembabitan dalam kursus peningkatan ilmu dan kecekapan, amat penting serta lebih ketara,” katanya.

Pengerusi Kesatuan Pegawai Kastam Wilayah Persekutuan, Jaapar Mansor berkata, penilaian yang mengutamakan prestasi kerja penjawat awam, lebih-lebih lagi untuk tujuan kenaikan pangkat, adalah lebih adil.

CUEPACS HARAP PELARASAN GAJI DISEGERAKAN

Utusan Malaysia
9/5/2011

KOTA BHARU 8 Mei – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan dapat mempercepatkan pelarasan gaji 1.4 juta kakitangan awam di negara ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, permohonan untuk pelarasan gaji itu telah dibuat dua tahun lalu bagi mengurangkan beban ahlinya ekoran kenaikan harga barang.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya tidak bermaksud mendesak kerajaan untuk berbuat demikian kerana memahami kedudukan kewangan negara dan sedar ia akan turut memberikan kesan kepada pekerja swasta.

“Kita sedar kenaikan harga barang adalah di luar kawalan dan kalau gaji kakitangan awam naik, kita bimbang ada golongan akan turut menaikkan harga barang dan bagaimana pula dengan bukan kakitangan awam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Peranan Penjawat Awam Dalam Transformasi Nasional dan Bengkel Sistem Alternatif PTK oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin di sini hari ini.

Omar diminta mengulas mengenai khabar angin bahawa kakitangan awam akan menerima pelarasan gaji dalam masa terdekat.

Beliau berkata, langkah itu juga untuk mengurangkan jumlah kakitangan awam yang bekerja sambilan kerana rekod menunjukkan kira-kira 20 peratus daripada 730,000 kakitangan awam kelas sederhana melakukan kerja sambilan.

Katanya, CUEPACS tidak mahu kakitangan awam mengutamakan kerja sambilan sehingga menjejaskan produktiviti tugas hakiki mereka.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam proses terakhir untuk menyiapkan sistem penilaian baru bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).

“Kira-kira 90 peratus sistem penilaian baru itu telah siap dan kita akan berbincang buat kali terakhir dengan JPA Selasa ini bagi melengkapkan sistem penilaian baru itu,” katanya.

Monday, May 9, 2011

360 darjah ganti PTK


Oleh Syuhada Choo Abdullah
bhnews@bharian.com.my
2011/05/09

Prestasi kakitangan awam turut dinilai rakan sejawat

PUTRAJAYA: Mulai 1 Julai depan prestasi kakitangan awam akan dinilai menggunakan konsep 360 darjah oleh pegawai atasan, rakan sejawatan dan kakitangan bawahan bagi menentukan tahap kecekapan mereka untuk pertimbangan sebuah panel khas bagi kenaikan pangkat, pengisian jawatan kosong yang lebih tinggi serta penempatan baru.
Konsep baru yang nama khususnya sedang dikenal pasti, akan digunakan untuk menilai tahap kecekapan kira-kira 1.2 juta kakitangan awam bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dimansuhkan pada 1 Januari lalu, selepas digunakan selama lapan tahun sejak 1 November 2002.

Wednesday, May 4, 2011

PERBINCANGAN ALTERNATIF PTK DI ANTARA JPA DAN CUEPACS


Media Cuepacs
3/2/2011




Putrajaya: Satu perbincangan mengenai Alternatif PTK telah deiadakan diantara JPA dengan Majlis Tertinggi CUEPACS di Pusat Konvensyen Putra Jaya (PICC).pada 2 Mei 2011 jam 8.15 malam. Perbincangan ini di Ketuai Oleh Dato' Dr. Mohd. Azhar Bin Hj. Yahaya, Dato' Basarudin Sadli , Dato' Mat Aron dan Pegawai Tertinggi JPA, Wakil KKM, KSM dan lain- lain.

Bagi CUEPACS di ketuai oleh Dato' Haji Omar Osman Presiden, Sdra Azih Muda Tim. Presiden I, Sdri Lok Yim Peng Setiausaha Agung, Sdra Adnan Mat Tim. Setiausaha Agung I, Sdra Abdul Rahman Mohd Nordin Tim. Setiausaha Agung III, Sdra Ja'apar Mansor Setiausaha Kewangan, Sdra Mohd Razali Singah Tim. Setiausaha Kewangan dan Ahli Majlis Tertinggi CUEPACS.

Pembentangan dimulakan oleh Timbalan Presiden Cuepacs. dan kemudian pihak JPA. perbincangan masih lagi belu ada kata putus kerana CUEPACS dan JPA akan mencari keputusan yang terbaik.





GAJI PENJAWAT AWAM DI MALAYSIA MEMUASKAN?


KAJIAN Bank Dunia menunjukkan rekod pertumbuhan gaji tahunan di Malaysia sejak 10 tahun lalu hanyalah 2.6 peratus berbanding peningkatan berlipat ganda inflasi dan kos sara hidup semasa dalam tempoh yang sama.

Hal ini secara tidak langsung mengakibatkan kuasa beli berkurang bagi pendapatan setiap isi rumah.


Namun, gaji yang diterima oleh penjawat awam di Malaysia pada masa kini dilihat masih berada di tahap memuaskan dengan pendapatan per kapita sebanyak RM25,000 hingga RM30,000 setahun berbanding negara maju RM40,000 setahun.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berkata, walaupun begitu kerajaan harus melakukan sesuatu dari sekarang agar pendapatan perkapita rakyat Malaysia setanding negara maju lain menjelang tahun 2020.

“Bagi Gred 41 ke atas, saya boleh kata gaji mereka memuaskan tapi bagi penjawat awam gred tertentu yang gajinya Rm3,000 ke bawah, mungkin akan jadi beban jika penyelarasan gaji tak dibuat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.


“Dua tahun kebelakangan ini kita lihat banyak harga barang yang naik. Penjawat awam yang bergaji rendah memerlukan sekurang-kurangnya tambahan RM500 untuk tanggung kos kenaikan ini,” katanya kepada Mingguan mStar.

Omar yang ditemuramah sempena Hari Pekerja 2011 berkata penyelarasan gaji penjawat awam perlu, seiring Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang menuntut penjawat awam melakukan perubahan positif dari segi cara kerja dan pemikiran.


Menjelang 2020, penjawat awam yang mantap dari peringkat atasan, pertengahan dan bawahan diperlukan untuk mengemudi sistem pentadbiran kerajaan yang tentunya lebih maju dan mencabar berbanding sekarang,


Menurut Omar, kali terakhir gaji penyelarasan gaji kakitangan awam dibuat pada 1 Julai 2007 dengan kenaikan sebanyak 35 peratus untuk penjawat awam Gred 1 hingga 16, 25 peratus untuk Gred 27 hingga 40, 15 peratus untuk Gred 41 hingga 54 dan 7.5 peratus bagi gred seterusnya.

“Pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-12 (MAPPA XII) Mac lalu, kita ada bincangkan tentang isu ini dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Kita minta kerajaan buat semakan gaji setiap lima tahun sekali dan berharap akan ada perubahan gaji dalam masa terdekat,” katanya.

Bagi merealisasikan kehendak kerajaan Omar mengakui penjawat awam perlu dipersiapkan dengan pemikiran bijaksana, kreativiti dan lebih inovatif dari sekarang.

Dalam pada itu, beliau kurang bersetuju dengan pendapat sesetengah pihak yang menyatakan penjawat awam seolah-olah tidak bersyukur walaupun menikmati pelbagai kemudahan yang diberikan kerajaan.

“Kita menghargai apa yang kerajaan beri. Apa yang kita minta adalah patut dan sesuai dengan peredaran semasa.

“Walaupun sudah dua tahun tak dapat bonus, semua penjawat awam masih setia berkhidmat dengan kerajaan dan produktiviti juga meningkat,” beliau memberi contoh.

Sunday, May 1, 2011

Akta Majlis Konsultasi Gaji Minimum Negara dibentang pada sesi Parlimen



2011/05/01

IPOH: Kementerian Sumber Manusia akan membentangkan Akta Majlis Konsultasi Gaji Minimum Negara pada sesi Parlimen akan datang, kata menteri berkenaan, Datuk Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata, apabila dipersetujui dan diluluskan, Majlis itu boleh membuat penyelarasan berhubung gaji minimum untuk sektor swasta mengikut peruntukan undang-undang.
"Melalui Majlis itu, kita akan membuat pengumuman tertentu yang perlu supaya gaji minimum sektor swasta adalah selaras dengan kos kehidupan semasa.
"Majlis ini juga mempunyai kuasa untuk memastikan apa yang ditetapkan dipatuhi oleh sektor swasta," katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Pekerja Cuepacs peringkat kebangsaan di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan gaji minimum sektor swasta.

Sebelum ini, kajian Kementerian Sumber Manusia pada 2009 yang merangkumi 1.3 juta pekerja di negara ini menunjukkan bahawa 33.8 peratus daripadanya menerima gaji kurang daripada RM700 sebulan, iaitu di bawah kadar kemiskinan RM720 sebulan.

Kadar gaji bagi pelbagai sektor pembuatan misalnya elektrik dan elektronik adalah RM500 hingga RM550; tekstil RM500 hingga RM600; perabot antara RM550 dan RM700; plastik RM550 hingga RM650 serta sarung tangan getah antara RM500 dan RM650.
Dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata, dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti perkhidmatan awam, tumpuan kepada penyelarasan dan penstrukturan semula sistem penyampaian sedia ada perlu dilakukan.

Katanya, kerajaan menyedari ada beberapa aspek perlu diberi perhatian dan diperhalusi dalam sistem penyampaiannya untuk mengurangkan kerenah birokrasi.

"Kita berharap pegawai dan petugas dalam perkhidmatan awam menerima perkembangan baru dalam suasana yang baik dan melalui pendekatan itu mereka boleh meningkatkan tahap praduktiviti mereka," katanya.

Pada sambutan itu, Pusat Perubatan Universiti Malaysia memenangi anugerah Majikan Prihatian Cuepacs dan Cuepacs Bahagian Wilayah Persekutuan memenangi anugerah Cuepacs Bahagian Contoh dengan kedua-dua menerima sijil penghargaan, wang tunai dan trofi. - BERNAMA