Monday, February 28, 2011

CUEPACS MINTA SEMAK GAJI 5 BIDANG

Berita Harian
2011/02/26


KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menyemak semula skim gaji penjawat awam beruniform iaitu bomba, Jabatan Kastam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan pendapatan mereka setaraf anggota polis dan tentera.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata skim gaji bagi lima bidang penjawat awam beruniform itu tidak sesuai dengan bidang tugas dan tanggungjawab dipikul. > “Jika kita lihat lima bidang penjawat awam itu, tugas mereka perlukan ketahanan fizikal dan mental di mana mereka perlu berhadapan dengan berjaga sehingga lewat malam, berkawal di sempadan negara dan semua ini berkaitan dengan risiko serta tanggungjawab mereka.

“Saya berharap kerajaan semak dan menilai semula skim gaji mereka dan menyelesaikannya dalam tahun ini,” katanya selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina dan pertemuan pertamanya bersama Exco Kanan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) di sini, semalam.

Selain itu, Omar turut mengingatkan orang ramai bahawa Koperasi CUEPACS Berhad adalah satu badan yang berbeza dengan CUEPACS dan mereka tiada hak menyentuh isu berkaitan kongres itu.

Ini berikutan aduan diterima CUEPACS berhubung koperasi itu.
“Saya ada menerima beberapa aduan orang ramai dan saya ingatkan kepada semua, koperasi itu di bawah satu badan lain dan tiada kena mengena dengan CUEPACS,” katanya

KURSUS KENEGARAAN DIMANSUH

Berita Harian
Oleh Nazura Ngah
nazura@bharian.com.my
2011/02/26



Penjawat awam lulus TK1, aras IV layak dipertimbang anjakan gaji

KUALA LUMPUR: Kursus Kenegaraan yang menjadi syarat wajib kepada penjawat awam untuk menerima anjakan gaji, dimansuhkan selaras pemansuhan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) berkuat kuasa 1 Januari lalu. Mengikut surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 17 Februari lalu, kursus kenegaraan dikecualikan kepada pegawai yang lulus PTK di Tahap Kecekapan 1 (TK1) dan pegawai yang mendapat aras IV di TK1, sekali gus melayakkan mereka dipertimbangkan anjakan gaji tahun ini. Surat edaran bertajuk ‘Pengecualian Syarat Kursus Kenegaraan di TK1 dan Urusan Kenaikan Pangkat Selepas Pemansuhan PTK’ ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah menjelaskan pelaksanaan urusan kenaikan pangkat mulai 1 Januari lalu perlu diselaraskan terutama membabitkan pencapaian PTK.

Katanya, tarikh kenaikan pangkat pegawai yang lulus PTK adalah berdasarkan tarikh memangku atau tarikh lulus PTK iaitu mana yang terkemudian, manakala bagi pegawai yang belum lulus PTK, kenaikan pangkat berkuat kuasa selepas 1 Januari 2011.

Ketetapan itu hendaklah digunakan dalam menetapkan tarikh kenaikan pangkat pegawai yang terbabit ketika memperakukan kepada Lembaga Kenaikan Pangkat yang berkenaan sehingga ketetapan baru dikeluarkan.

“Ketua perkhidmatan atau ketua jabatan dalam menimbangkan pegawai bagi urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat boleh memberi keutamaan kepada pegawai yang lulus PTK tetapi ia juga tertakluk kepada syarat skim, merit, kesesuaian dan kepentingan perkhidmatan serta kriteria lain yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat,” katanya.
Awal bulan lalu, Berita Harian melaporkan dakwaan CUEPACS mengenai beratus penjawat awam yang berhak mendapat kenaikan gaji RM200 hingga RM400 sebulan selepas lulus PTK aras IV tahun lalu, tidak mendapatnya berikutan tindakan Biro Tatanegara (BTN) menghentikan Kursus Kenegaraan.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, dilaporkan berkata penjawat awam terbabit tidak menerima sebarang makluman daripada BTN berhubung kursus itu sehinggalah pihaknya menghubungi mereka dan dimaklumkan kursus berkenaan dihentikan sehingga Jun depan.

Lok yang menghubungi Berita Harian, kelmarin berkata pengecualian kursus kenegaraan akan memberi faedah kepada beribu penjawat awam yang sedang menunggu kenaikan pangkat, tetapi penjawat awam masih terikat dengan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) dan perakuan ketua jabatan untuk melayakkan mereka menerima anjakan gaji

Friday, February 25, 2011

HOT STAFF DITUKAR KE BAHAGIAN LAIN

Berita Harian
Oleh Zanariah Abd Mutalib
zanariah@bharian.com.my
2011/02/22

Langkah untuk atasi rasuah agensi penguatkuasaan

KUALA LUMPUR: Kakitangan agensi penguatkuasaan bermasalah atau disifatkan sebagai ‘hot staff’ termasuk mereka yang pernah terbabit rasuah dan mempunyai rekod tatatertib buruk akan ditukar ke bahagian lain sebelum akhir tahun ini. Mereka akan ditempatkan di bahagian lain yang kurang sensitif bagi memastikan keberkesanan tugas sesuatu agensi, sekali gus mengurangkan kemungkinan berlaku rasuah. Kakitangan berkenaan akan dikenal pasti oleh Unit Pematuhan lima agensi terbabit termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen bagi memastikan masalah sama tidak berulang, selain menjadi teladan kakitangan lain.

Pengarah Pemantauan dan Penyelarasan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah, Datuk Hisham Nordin, berkata selain mengenal pasti kakitangan bermasalah, agensi itu juga akan mengenal pasti jawatan panas (hot job) dan kawasan panas (hot spot) di agensi masing-masing bagi pertukaran kakitangan mengikut jawatan dan tempat bertugas.

“Unit Pematuhan setiap agensi akan diseragamkan supaya memudahkan urusan pertukaran kakitangan, komunikasi antara agensi dan pemantauan pelaksanaan tugas oleh kakitangan, termasuk mematuhi SOP (prosedur operasi standard).

“Dengan ini, setiap agensi dapat memeriksa tugas kakitangan penguatkuasa secara lebih terperinci seperti mengenal pasti kesalahan dilakukan serta menjalankan ujian integriti dan tidak hanya bergantung kepada aduan,” katanya.
Berita Harian semalam melaporkan, semua pegawai dan kakitangan awam menjawat jawatan ‘panas’ terutama agensi penguatkuasaan akan diwajibkan mengikuti sistem penggiliran tugasan sebagai salah satu usaha kerajaan memerangi rasuah.

Beliau berkata, sistem itu dimulakan oleh JKDM tahun lalu di bawah inisiatif makmal NKRA rasuah dan dibentangkan pada pertemuan dengan semua agensi penguatkuasaan, sebelum diputuskan untuk diguna pakai memerangi gejala rasuah di kalangan kakitangan awam

KAKITANGAN KERAJAAN DUDUK 'KERUSI PANAS' DITUKAR

Utusan Malaysia
20/2/2011

PORT DICKSON 20 Feb. - Pertukaran kakitangan kerajaan yang menduduki 'kerusi panas' adalah antara tiga inisiatif akan dilaksanakan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengenai rasuah, pada tahun ini.

Selain jawatan di kerusi panas, kakitangan yang kerap dikaitkan dengan rasuah juga akan terlibat dalam inisiatif tersebut.

Pengarah NKRA Rasuah, Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan, Datuk Hisham Nordin berkata, kerusi panas dimaksudkan ialah mereka yang bertugas di tempat kritikal serta berkait rapat dengan imej negara seperti pintu masuk negara, agensi penguatkuasaan dan pejabat tanah.

Beliau berkata, pihaknya melaksanakan penilaian risiko pada tahun lalu yang mengenal pasti tempat atau jawatan yang memberi ruang luas untuk individu melakukan kesalahan rasuah.

"Sebagai contoh, kakitangan di pintu masuk negara seperti lapangan terbang terdedah kepada perbuatan membawa masuk pendatang tanpa izin dan senjata atau kakitangan jabatan yang berurusan secara terus dengan orang ramai atau di peringkat lebih kecil seperti pejabat tanah.

"Terdapat juga staf itu sendiri bertaraf 'panas' yang mana ke mana saja dia pergi, tempat itu akan menjadi 'panas' dengan perbuatan rasuah," katanya pada sidang akhbar selepas sesi makmal mini NKRA Memerangi Rasuah 2011 di sini hari ini.

Makmal mini selama tiga hari bermula sejak Khamis lalu melibatkan 35 peserta daripada kementerian dan agensi kerajaan serta perunding asing.

Antara lain, makmal mini itu bertujuan menyemak dan mendapatkan maklum balas daripada kumpulan fokus mengenai kesan pelaksanaan inisiatif NKRA tahun lalu dan merancang strategi dan penambahbaikan pelaksanaan inisiatif bagi tahun ini.

Hisham memberitahu, pertukaran yang hendak dilaksanakan itu tidak mudah kerana ia akan melibatkan kos kepada kerajaan tetapi tempat yang mempunyai risiko tinggi perlu dikendalikan dengan betul.

Katanya, hasrat yang hendak dicapai dalam usaha itu ialah untuk menentukan mereka yang duduk lama di jawatan tertentu tidak mempunyai peluang melakukan kesalahan rasuah.

"Jika kakitangan itu sendiri sememangnya berkesan dalam menjalankan tugas sekali pun, ia tidak akan memberi imej baik kepada kerajaan dalam kerangka yang lebih besar," ujarnya.

Beliau memberitahu, dua inisiatif lain yang hendak dijayakan pada tahun ini ialah reformasi perkhidmatan awam dan melaksanakan pakatan integriti secara menyeluruh.

Secara peribadi, katanya, beliau juga mahu menyelesaikan inisiatif berkaitan sumbangan dana kepada parti-parti politik.

"Kami berharap semua inisiatif ini akan diterima dan dekat di hati rakyat kerana pendekatan NKRA bukan sahaja soal pelaksanaan tetapi apa yang paling penting ialah kesan dari pelaksanaan itu," katanya.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu, kejayaan besar pihaknya ialah pelaksanaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Pusat Maklumat Perolehan Kerajaan (MyPROCUREMENT), Pangkalan Data Pesalah Rasuah, penubuhan unit pematuhan di agensi penguatkuasaan dan penubuhan Mahkamah Khas Rasuah.

Sunday, February 13, 2011

PERJUMPAAN CUEPACS DENGAN KETUA PENGARAH BAHAGIAN HAL-EHWAL UNDANG-UNDANG

Media Cuepacs
11/2/2011

Putrajaya: Sembilan Pegawai Teringgi Cuepacs diketuai oleh Presiden Cuepacs YBhg. Dato' Haji Omar Osman mengadakan perjumpaan dengan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang YBhg. Dato' Saripuddin bin Kasim. Tujuan perjumpaan ini adalah untuk menerangkan akta 711 Akta perlindungan pemberian Maklumat 2010. Akta ini telah dikuatkuasakan pada 15 Disember 2010.

Akta ini akan melindungi kepada pemberi maklumat yang sulit. Contohnya jika seseorang telah membuat aduan salahlaku di jabatan ia bertugas. Segala aduan akan dirahsiakan dan pemberi maklumat akan dilindungi mengikut didalam akta 711 ini. Oleh itu YBhg. Dato' Ketua Pengarah ingin mengadakan kerjasama dengan Cuepacs untuk memberi maklumat kepada 1.2juta penjawat awam. YBhg. Dato' Presiden Cuepacs bersetuju dengan mencadangkan pada permulaan ini buat penerangan di Kawasan Lembah klang, tempat di Bahagian Hal- ehwal Undang-undang Putrajaya. Penerangan ketempat lain akan dibuat mengikut Zon. Penerangan Akta 711 ini akan disampaikan oleh pegawai bahagian Hal Ehwal Undang-Undang.


Friday, February 11, 2011

Beri keutamaan naik pangkat pada lulusan PTK

Utusan Malaysia
ARKIB : 09/02/2011

SAYA ingin menyentuh tentang isu peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) untuk kakitangan awam yang telah dimansuhkan bermula 2011. PTK diwujudkan sebagai antara justifikasi utama dalam penilaian untuk kenaikan pangkat bagi kakitangan awam.

Walaupun ramai yang gembira dengan pemansuhan PTK tersebut (terutamanya Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), tetapi hakikatnya ramai juga yang menjadi mangsa akibat perubahan mendadak sesuatu sistem yang tiada kesinambungan.

Untuk makluman, sebaik sahaja disahkan jawatan, saya pun mendaftar untuk menduduki peperiksaan PTK tersebut. Prosesnya bukan mudah, perlu lulus dua jenis peperiksaaan (umum dan khusus). Malangnya, nasib tidak menyebelahi apabila saya gagal dalam salah satu peperiksaan.

Untuk mengulang, saya perlu menunggu sehingga keputusan peperiksaan asal dikeluarkan. Calon tidak dibenarkan mengulang selagi keputusan peperiksaan asal belum dikeluarkan. Tempoh menunggu ini menjangkau masa hampir satu tahun memandangkan kementerian tempat saya bekerja lambat mengeluarkan keputusan.

Selepas menduduki peperiksaan kali kedua, perlu pula menunggu lagi hampir lapan bulan untuk mengetahui keputusan peperiksaaan kedua (ulangan) tersebut. Kalau dicongak, dari tarikh saya menduduki peperiksaan pertama hingga keputusan peperiksaan kedua diumumkan, tempohnya hampir dua tahun.

Malangnya, setelah jerih dan payah menelaah dan menduduki peperiksaan, akhirnya PTK dimansuhkan begitu sahaja!

Saya lulus kedua-dua PTK umum dan khusus pada tahun 2010 dan tidak sampai setahun kemudian, PTK dimansuhkan. Saya berasa bahawa usaha saya selama dua tahun seperti terbuang begitu sahaja.

Masih terbayang kegembiraan ketika menerima slip keputusan lulus PTK yang kini boleh 'dibakulsampahkan' kerana sudah tiada nilai. Untuk pengetahuan, pada tahun 2009, saya telah dinafikan untuk kenaikan pangkat walaupun mendapat purata markah penilaian prestasi yang tinggi hanya kerana belum lulus PTK pada waktu itu.

Dalam pada itu, ramai juga rakan-rakan seangkatan yang langsung tidak peduli untuk menduduki PTK atas alasan tersendiri (mungkin malas untuk mengulang kaji atau tiada masa belajar).

Sebelum PTK dimansuhkan, saya berada selangkah di hadapan mereka untuk tujuan kenaikan pangkat kerana saya telah lulus PTK sedangkan mereka belum pun mendudukinya. Kini, setelah PTK dimansuhkan pada tahun 2011, keutamaan kenaikan pangkat untuk saya dengan mereka sudah tiada bezanya. Sekarang mereka berkata kepada saya: "Itulah, buat apa susah-susah ambil PTK?" Soalnya, manakah keadilan?

Saya percaya ramai lagi kakitangan awam yang lulus PTK mengalami nasib seperti saya. Saya berharap, setiap perubahan yang dilakukan oleh kerajaan perlu ada kesinambungan. Janganlah memulakan sistem baru dengan menghancurkan terus sistem yang lama.

Calon yang telah lulus PTK sebelum sistem tersebut dimansuhkan perlu diberi keutamaan untuk tujuan kenaikan pangkat. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu melaksanakan perkara ini sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga tahun akan datang bagi memberi keadilan kepada lulusan PTK.

Selepas itu, barulah sistem baru dilaksanakan seperti yang dicadangkan oleh pihak-pihak berkenaan. Selain itu, sehingga hari ini tiada pekeliling yang dikeluarkan oleh JPA yang menjelaskan status atau kedudukan para lulusan PTK yang belum naik pangkat setelah PTK dimansuhkan.

Dalam hal ini, ketika CUEPACS memohon kepada kerajaan untuk memansuhkan PTK, mereka juga sepatutnya memikirkan alternatif kepada lulusan PTK agar nasib mereka tidak terabai begitu sahaja. Pihak berkenaan, perhatikan dan renungkanlah.

MANA KEADILAN?

Petaling Jaya, Selangor