Monday, April 25, 2011

Kes Sarbaini: Polis sudah serah A-G laporan siasatan

April 25, 2011

KUALA LUMPUR, 25 April — Polis sudah menyerahkan laporan siasatan berhubung kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia, Ahmad Sarbaini Mohamed di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini kepada Pejabat Peguam Negara, Jumaat lalu.

Laporan Bernama Online memetik Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah mengesahkan perkara itu.

“Kami sudah berpuas hati dengan hasil siasatan yang dibuat dan sudah melengkapkannya, kami sudah hantar kepada Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Khamis lalu, Zulkifli berkata meninggal dunia kerana kecederaan pada bahagian kepala selepas jatuh daripada bahagian tinggi bangunan SPRM di Jalan Cochrane, 6 April lalu.

Justeru kata beliau terserah kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan susulan.

“(Dengan ini) saya minta semua spekulasi dihentikan kerana siasatan sudah dilengkapkan.

“Kertas siasatan akan dihantar kepada Pejabat Peguam Negeri minggu ini atau paling lewat minggu depan,” katanya.

Kata beliau, siasatan menunjukkan ia adalah kematian mengejut dan tiada elemen jenayah terlibat buat masa sekarang.

Zulkifli juga berkata punca kematian ditentukan selepas siasatan terperinci membabitkan pelbagai pihak termasuk polis, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Kimia.

Ahmad Sarbaini (gambar), 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu bangunan SPRM setelah dilapor ke pejabat itu untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam.

No comments: