Wednesday, April 6, 2011

DAP gesa Putrajaya adakan suruhanjaya diraja kedua siasat SPRM

April 06, 2011

Pemandangan bangunan SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Jalan Cochrane dari arah belakang.
KUALA LUMPUR, 6 April – DAP menggesa kerajaan mengadakan satu lagi suruhanjaya diraja bagi menyiasat insiden terbaru – kematian membabitkan kakitangan Kastam pagi tadi – di premis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng berkata, SPRM juga perlu dirombak semula bagi memastikan sama ada ia benar-benar relevan dalam menjalankan fungsinya mencegah rasuah.

“DAP menyeru agar satu suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan bagi menyiasat kematian Ahmad (Sarbani Mohamed).

“Suruhanjaya ini akan menentukan punca kematian, menghukum mereka yang bertanggungjawab dan melaksanakan langkah perlindungan bagi memastikan suspek yang dipanggil tidak akan cedera ataupun mati ketika dalam tahanan SPRM,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang ini menambah rakyat Malaysia tidak mempercayai kata-kata beberapa pemimpin BN bahawa bekas setiausaha politik DAP Teoh Beng Hock telah membunuh diri selepas ditemui mati di Plaza Masalam dua tahun lalu.

“Malahan mereka percaya bahawa Teoh dibunuh. Persoalannya terletak kepada kerajaan, sejauh manakah kerajaan serius dalam mencari siapa yang bertanggungjawab dan seterusnya mengambil tindakan.

“Kematian tragis Ahmad akan menimbulkan kecurigaan yang lebih mendalam dan seterusnya menghancurkan kepercayaan orang ramai terhadap kaedah operasi dan cara penyiasatan SPRM,” kata beliau lagi sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Ahmad, penolong pengarah Kastam Selangor.

Allahyarham Ahmad ditemui mati di kawasan gelanggang badminton di tingkat satu bangunan SPRM di Jalan Conchrane di sini pagi tadi.

Dua tingkap bangunan SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang tidak ditutup rapat.
“DAP melahirkan rasa marah atas kejadian seumpama ini sedangkan trajedi kematian Teoh Beng Hock masih belum dapat diselesaikan. Adakah SPRM masih belum bangun dan mendapat pengajaran?” kata beliau lagi.

Ahmad merupakan salah seorang individu yang ditahan pada 1 April lalu dalam satu operasi besar-besaran - Operasi 3B - yang membabitkan cukai tidak dibayar dan dibebaskan dengan ikat jamin keesokan harinya.

Kata Lim, kematian Allahyarham Ahmad dan beberapa rantaian peristiwa yang menyebabkan kematian mengingatkan kembali kematian tragis Teoh di bangunan yang menempatkan pejabat SPRM, Selangor.

“Walaupun SPRM telah berjanji bahawa kes seperti itu tidak akan berulang selepas kematian Teoh Beng Hock dan tempoh jawatan pengarah yang lepas tidak disambung, namun kematian Ahmad pagi tadi menunjukkan bahawa SPRM tidak pernah belajar daripada kematian tragis Teoh,” katanya.

Malah kata Lim, SPRM perlu dirombak semula bagi memastikan sama ada ia masih relevan untuk melaksanakan tugas antirasuahnya secara efektif, efisen, tidak berat sebelah dan profesional tanpa ada sebarang kecederaan ataupun kematian terhadap suspek.

“SPRM tanpa kredibiliti menunjukkan kerajaan BN tidak serius untuk memerangi rasuah.

“Untuk merombak semula, DAP mendesak kerajaan persekutuan untuk menubuhkan badan siasatan bebas oleh Transparency International bagi mengkaji semula operasi dan kaedah SPRM,” katanya lagi.

No comments: