Pihak Kastam Diraja Malaysia (KDRM) hari ini mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak ‘menyakiti’ mana-mana pegawainya yang ditahan untuk siasatan. Presiden Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia Ibrahim Ahmad berkata pihaknya bimbang sekiranya wujud salah guna prosedur SPRM semasa siasatan dijalankan terhadap kakitangan atau pegawai mereka.
Ibrahim (gambar bertali leher belang) berkata demikian ketika mengulas mengenai insiden melibatkan seorang anggotanya, Ahmad Sarbani Mohamed yang ditemui mati di bangunan SPRM Wilayah Persekutuan pada Rabu lalu.
Menjawab soalan, Ibrahim berkata, setakat ini belum ada laporan polis melibatkan anggota dikasari SPRM.
“Ini cuma kebimbangan kita. Kita tidak mahu (berlaku) paksaan dan kita tidak mahu (anggota kastam) dipukul,” katanya dalam satu sidang media petang ini.
“Kita minta supaya janganlah ada pegawai kami dipukul atau dijentik semasa ditahan.
“SPRM perlu lebih bertanggungjawab menjalankan siasatan mereka,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat KDRM disini hari ini.
Semalam beberapa orang rakan Ahmad Sarbani yang ditemui semasa menunggu jenazah tiba untuk pengebumian telah mengesyaki berlakunya unsur khianat dalam kes kematian pegawai tersebut.
Ada juga sumber dalaman menurut mereka mendakwa, SPRM telah memaksa Allahyarham supaya mengakui dakwaan berkenaan.
SPRM turut mengugut untuk memenjarakan pegawai kastam berkenaan sekiranya tidak mengakui dakwaan tersebut, dakwa sumber itu lagi.
Beliau turut meminta media supaya membetulkan laporan berhubung insiden melibatkan Allahyarham Ahmad Sarbani.
“Kita juga berharap nama Allahyarham dapat dibersihkan daripada perkataan ‘membunuh diri.’
“Beliau sangat jujur. Kita ingin nama beliau dibersihkan,” katanya lagi dalam sidang media itu lagi.
KL-Today.com
No comments:
Post a Comment