KUALA LUMPUR, 11 April — Kepimpinan kesatuan sekerja Kastam Diraja Malaysia (KDRM) akan mengadakan pertemuan dengan SPRM Selasa ini bagi meleraikan “kontroversi” yang tercetus di sebalik Operasi 3B dan kematian anggota mereka di premis badan antirasuah itu, minggu lalu.
Presiden Kesatuan Pegawai-pegawai Kastam Semenanjung Ibrahim Ahmad memberitahu, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, petang Selasa ini.
“Ketua Pesuruhjaya SPRM telah menyatakan persetujuan untuk bertemu dengan kami 12 April ini, jadi kami berharap kesempatan ini akan digunakan untuk mendapatkan penjelasan beberapa perkara timbul sejak dua minggu ini,” kata Ibrahim kepada The Malaysian Insider.
Hasil pertemuan dua jam membabitkan kesatuan dan pesatuan pegawai-pegawai kastam dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak di Kelana Jaya Jumaat lalu, pihaknya meletakkan harapan untuk bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pengurusan SPRM ekoran isu yang berkaitan dengan Operasi 3B dan kematian Penolong Pengarah Ahmad Sarbani Mohamed, 56, di tingkat satu bangunan SPRM WIlayah Persekutuan pagi Rabu lalu.
Dalam reaksinya semalam, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau bersedia bertemu dengan wakil kesatuan dan persatuan pegawai-pegawai KDRM dalam usaha merungkai segala isu yang sedang dihadapi termasuk ekoran insiden kematian Ahmad Sarbani di premis SPRM.
“Tidak ada masalah, saya boleh jumpa, pada masa yang sesuai,” kata Najib dipetik laporan media semalam.
Kelmarin, Ibrahim memberitahu pemberita bahawa moral dan kredibiliti pegawai dan anggota KDRM kini terjejas berikutan laporan media berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan RM108 bilion.
Dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider sebelum ini, Kesatuan Pegawai-pegawai Kastam Semenanjung Malaysia sangsi Ahmad Sarbani yang ditemui mati dipercayai jatuh di premis SPRM Wilayah Persekutuan akan pergi ke pejabat agensi antirasuah itu tanpa diarah berbuat demikian.
Ibrahim berkata, beliau yakin Ahmad Sarbani tidak mungkin telah berada di pejabat SPRM awal-awal pagi semalam melainkan ada arahan dikeluarkan kepada Allahyarham.
Kelmarin, Ibrahim memberitahu, sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, “kami berharap Datuk Seri Najib dapat memberikan nasihat yang boleh membersihkan maruah dan imej Kastam yang kini terjejas akibat laporan media yang tidak tepat.”
Ibrahim berkata laporan media yang mengaitkan pegawai KDRM terlibat dengan rasuah dan pengubahan wang haram sebanyak RM108 bilion adalah tidak logik kerana agensi itu menjana pendapatan sebanyak RM28.3 bilion tahun lalu.
Dalam ulasan terbarunya, Ibrahim menyambut baik kesediaan Najib untuk mengadakan pertemuan.
KDRM terletak di bawah penyeliaan Kementerian Kewangan.
“Saya pun dengar begitu. Saya menyambut baik reaksi segera Perdana Menteri, tetapi bila pertemuan akan diadakan belum pasti.
“Kami akan mengetengahkan beberapa perkara termasuk soal kebajikan kakitangan kastam jika pertemuan itu diadakan nanti,” kata Ibrahim lagi.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bekas Kastam Malaysia, Datuk Abdul Rahman Manan berkata pertemuan tidak formal pegawai-pegawai kanannya semalam telah memutuskan untuk meminta SPRM agar menjelaskan beberapa perkara bagi mengelakkan masyarakat memandang serong perkhidmatan kastam.
“Kami mendapati kakitangan kastam dan mereka yang telah bersara kecewa dengan laporan media, yang mengaitkan Operasi 3B dengan isu pengubahan wang haram sebanyak RM108 bilion.
“Kami mahu isu ini dijelaskan, diberikan maklumat yang tepat supaya orang ramai tidak melihat negatif KDRM,” kata Abdul Rahman yang juga bekas setiausaha agung Kesatuan Pegawai-pegawai Kastam Semenanjung dan Cuepacs.
No comments:
Post a Comment