Thursday, April 7, 2011

IGP: Bedah siasat Sarbani belum boleh didedah


Apr 7, 11 6:24pm
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang menyamakan kes kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbani Mohamed dengan kes Teoh Beng Hock.

NONE"Kedua-dua kes ini adalah berbeza dari segi faktanya. Jadi saya rasa tak boleh buat satu kesimpulan seolah-olah ada perkara yang tidak betul berlaku dalam kes ini," katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Serdang sempena memperingati Hari Polis ke-204, dekat Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas kes Ahmad Sarbani yang ditemui mati di Tingkat Satu, pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, Jalan Cochrane semalam, Ismail berkata polis perlu diberikan kepercayaan untuk menyiasat kes itu berdasarkan prosedur yang ditetapkan.

"Kita ada proses siasatan, proses pendakwaan dan perbicaraan; jadi biarlah proses ini berjalan dulu. Hormati sistem yang ada dalam negara; hormati kepada proses perundangan. Maka kebenaran akan diketahui akhirnya," katanya.

NONEIsmail berkata polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes itu termasuk mengkaji keputusan bedah siasat yang diperolehi dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.

"Saya tidak boleh dedahkan lagi keputusannya (bedah siasat), tunggu dulu. Apa yang boleh saya katakan ialah bedah siasat berjalan lancar, pemeriksaan di tempat kejadian dah dibuat termasuk berjumpa dengan saksi-saksi," katanya.

Ahmad Sarbani adalah antara pegawai kastam yang ditahan SPRM dalam Operasi 3B pada pukul 1 petang, 1 April lepas di Pejabat Kastam, Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang bagi membantu siasatan rasuah, aktiviti pengubahan wang haram dan pelbagai kesalahan lain, namun beliau dibebaskan dengan jaminan pada 2 April.

NONEBeliau dikatakan hadir ke pejabat SPRM itu semalam untuk bertemu pegawai penyiasat bagi berbincang mengenai kes terhadapnya.

Teoh pula ditemui mati di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam, yang turut menempatkan pejabat SPRM Selangor di Tingkat 14, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan di bangunan itu.

No comments: