Thursday, April 15, 2010

CUEPACS MINTA KERAJAAN SEMAK SEMULA GAJI PENJAWAT AWAM

Bernama
15/4/2010


PULAU PINANG, 14 April (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan supaya menyemak semula gaji penjawat awam.Presiden Cuepacs Omar Osman berkata kongres itu dalam proses menyiapkan satu memorandum semakan seiring dengan Model Ekonomi Baru (MEB) untuk mengukuhkan sektor awam."Kami di peringkat akhir bagi menyiapkan memorandum itu untuk diserahkan kepada kerajaan kerana kali terakhir kenaikan gaji ialah kira-kira empat tahun lalu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Kebangsaan Kepimpinan Muda Kesatuan Sekerja Sektor Awam di sini Rabu.Beliau berkata Cuepacs akan menyiapkan memorandum itu untuk diserahkan kepada kerajaan dalam masa sebulan dua ini.Sementara itu, beliau berkata penjawat awam yang memohon bersara pilihan masih boleh memperoleh ganjaran penuh jika mempunyai alasan munasabah bagi menyokong permohonan itu seperti masalah kesihatan selepas persetujuan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)."JPA telah setuju memberi kelonggaran itu bagi kes tertentu tetapi jika alasan bersara pilihan tidak munasabah, syarat yang ditetapkan dalam pekeliling adalah terpakai," katanya.Mengulas lanjut, Omar berkata penjawat awam yang bercadang bersara awal dan mempunyai alasan kukuh seperti masalah kesihatan ingin selesaikan hutang, boleh mendapat 100 peratus ganjaran."Jika nak bersara tanpa tujuan dan alasan yang kukuh, mereka akan menerima 20 peratus daripada ganjaran atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi," katanya.Tambahnya, JPA juga memberi jaminan syarat itu hanya berbentuk jangka pendek dan kembali kepada syarat lama apabila keadaan ekonomi negara kembali pulih.Mulai 1 Februari lalu, JPA mengetatkan permohonan bersara pilihan kakitangan awam persekutuan, negeri dan badan berkanun serta kerajaan tempatan berikutan kedudukan kewangan semasa negara, selain mengelakkan kekurangan pegawai terlatih bagi mengendalikan Program Transformasi Kerajaan (GTP).Antara syarat baru itu, kakitangan perlu bersetuju menerima hanya 20 peratus ganjaran atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi ketika bersara pilihan berbanding bayaran sekali gus sebelum ini.-- BERNAMA


JPA BERI KELONGGARAN DAPAT PAMPASAN PENUH BERSARA PILIHAN
Berita Harian
2010/04/14

GEORGETOWN: Kakitangan awam yang memohon bersara pilihan masih boleh memperoleh ganjaran penuh jika mempunyai alasan munasabah bagi menyokong permohonan itu seperti masalah kesihatan. Perkara itu dipersetujui dalam perjumpaan di antara Cuepacs dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam, pada 5 April lalu.
Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata JPA setuju memberi kelonggaran itu bagi kes tertentu tetapi jika alasan bersara pilihan tidak munasabah, syarat yang ditetapkan dalam pekeliling adalah terpakai.
"Jika ada kakitangan awam yang mahu bersara awal dan mempunyai alasan kukuh seperti masalah kesihatan dan nak selesaikan hutang, dia boleh mendapat 100 peratus ganjaran. "Jika nak bersara tanpa tujuan dan alasan yang kukuh, mereka akan menerima 20 peratus daripada ganjaran atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi," katanya. Beliau bercakap pada sidang media selepas menutup Seminar Kebangsaan Kepimpinan Muda Kesatuan Sekerja Penjawat Awam di sini, tengah hari ini. Mulai 1 Februari lalu, JPA mengetatkan permohonan bersara pilihan kakitangan awam Persekutuan, negeri dan badan berkanun serta tempatan berikutan kedudukan kewangan semasa negara, selain mengelakkan kekurangan pegawai terlatih bagi mengendalikan Program Transformasi Kerajaan (GTP). Antara syarat baru kakitangan perlu bersetuju menerima hanya 20 peratus ganjaran atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi ketika bersara pilihan berbanding bayaran sekali gus seperti sebelum ini. Syarat baru itu mendapat bantahan daripada Cuepacs dengan mendakwa lebih 90 peratus kakitangan awam termasuk kalangan pengurusan dan profesional tidak bersetuju dengan syarat baru itu. Mengulas lanjut, Omar berkata, JPA juga memberi jaminan syarat itu hanya berbentuk jangka pendek dan kembali kepada syarat lama apabila keadaan ekonomi negara kembali pulih. "JPA menjelaskan syarat baru bersara pilihan itu adalah untuk jangka pendek saja," katanya sambil menambah purata 3,000 hingga 4,000 kakitangan awam bersara pilihan setiap tahun. Sementara itu, Omar berkata, pihaknya juga sedang menyediakan satu memorandum kepada kerajaan berkaitan semakan semula gaji kakitangan awam yang dijangkakan diserahkan tidak lama lagi. Katanya, semakan semula skim gaji itu perlu kerana kali terakhir kenaikan gaji ialah kira-kira empat tahun lalu. "Kami di peringkat akhir menyiapkan memorandum itu untuk diserahkan kepada kerajaan dalam masa sebulan dua ini," katanya sambil menambah semakan itu seiring dengan Model Ekonomi Baru (MEB). Mengenai pekerja kontrak, Omar berkata Cuepacs berharap kumpulan itu tidak wujud lagi selepas 31 Disember depan, yakni mereka diserahkan dalam perkhidmatan awam. "Kami sudah bincang dengan JPA dan selaras dengan MEB yang mahu memperkukuh sektor awam, kami harap menjelang 31 Disember 2010 tidak ada lagi status kontrak dalam sektor awam," katanya. Beliau juga berharap tuntutan bonus bagi kakitangan kerajaan turut mendapat perhatian kerajaan apabila ekonomi negara bertambah baik kerana ianya akan memberi suntikan dan semangat kepada kakitangan kerajaan. "Bonus tidak semestikan dalam bajet (ketika pembentangan bajet). Kalau keadaan ekonomi okey, sampai Mei pun okey...(kerajaan boleh pertimbangkan)," katanya.

Tuesday, April 6, 2010

CUEPACS SOKONG TUNTUTAN NAJIB

Berita Harian
Oleh Nazura
Ngahnazura@bharian.com.my
2010/04/06


1.2 juta penjawat awam perlu tingkat produktiviti jika mahu kenaikan gaji


KUALA LUMPUR: Cuepacs memberi jaminan 1.2 juta penjawat awam di negara ini akan bersama kerajaan bagi menyokong inisiatif menjadikan Malaysia sebagai negara ekonomi berpendapatan tinggi.Presidennya, Omar Osman, berkata sebagai tulang belakang kerajaan, penjawat awam perlu bersedia memberi komitmen sepanjang perkhidmatan bagi meningkatkan produktiviti ke tahap membanggakan.
“Jika mahukan satu perubahan atau peningkatan dalam gred gaji, penjawat awam perlu sedar kerajaan perlu melihat kembali prestasi mereka untuk memastikan ia dapat dilaksanakan.
“Jika produktiviti meningkat dan pendapatan negara di luar jangkaan, saya percaya Perdana Menteri akan akur dengan tuntutan sektor awam,” katanya ketika dihubungi semalam.Kelmarin, Datuk Seri Najib Razak dipetik sebagai berkata, gaji kakitangan awam boleh dinaikkan dengan syarat 1.2 juta penjawat awam meningkatkan produktiviti dan menyokong inisiatif kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara ekonomi berpendapatan tinggi.Perdana Menteri juga dilaporkan berkata, selagi produktiviti negara meningkat, gaji kakitangan awam akan diselaraskan seiring dengan ekonomi yang lebih kukuh.Omar berkata, kenyataan Perdana Menteri boleh diibaratkan sebagai penanda aras kepada kakitangan awam untuk memastikan mereka boleh menikmati gaji setanding negara membangun yang lain. Sehubungan itu, katanya, kakitangan awam perlu melakukan satu anjakan paradigma dari aspek cara bekerja, lebih berdaya saing, kreatif dan inovatif selain memastikan etika sentiasa dipatuhi serta tidak terbabit dengan rasuah.Bagaimanapun, Cuepacs mahu kerajaan lebih telus dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang disifatkannya sebagai satu cara meningkatkan hasil kerajaan.“Kakitangan awam terutama kumpulan pelaksana perlu diberikan taklimat mengenai GST dengan jelas dan memberi peluang untuk berdialog dengan kerajaan bagi memastikan pelaksanaannya tidak membebankan kumpulan berpendapatan rendah.“Jika GST boleh menjana pendapatan kerajaan tanpa menjejaskan kumpulan berpendapatan rendah, maka Cuepacs tidak mempunyai halangan untuk dasar itu dilaksanakan,” katanya.