23/4/2022
Oleh Azman Anuar
DAHULU jenuh pihak Polis Diraja Malaysia bersilat untuk menepis ‘tikaman dan tembakan sembarangan’ dari segenap sudut apabila berlaku kematian mengejut seseorang ketika dalam tahanan polis.
Begitu juga dengan kes seorang anggota polis dituduh menyebabkan kematian remaja, Aminulrasyid Amzah.
Kini, peluru dan senjata tajam sedang ditujukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Belum pun selesai kes Teoh Beng Hock, berlegar-legar pula spekulasi tentang kematian mengejut Penolong Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Ahmad Sarbaini Mohamed.
Sebagai mana kes Beng Hock, nampaknya ahli keluarga Ahmad Sarbaini juga tidak berpuas hati dengan keputusan siasatan polis yang menyatakan Allahyarham mati mengejut dan tiada elemen jenayah terlibat.
Perasaan sedih dan kecewa ahli keluarga Ahmad Sarbaini tidak dapat dipujuk dengan kenyataan yang boleh dipertikaikan hasil siasatan itu.
Mereka berasa tidak masuk akal untuk Ahmad Sarbini yang pandai mengucap kalimah syahadat, ada isteri dan anak sanggup terjun dari aras satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan pada 6 April lalu untuk membunuh diri.
Nampaknya keluarga Allahyarham tidak mahu polis menutup segera kes kematian ini dengan memberi tahu ia kematian mengejut kerana terjatuh. Mereka mahu pihak polis mengorek hingga sekecil lubang cacing untuk mencari punca Ahmad Sarbaini terjatuh dan mati.
Melihat perkembangan kes-kes mati mengejut ini, selepas ini urusan siasatan polis dan SPRM tidak seperti masa-masa lalu.
Trend ini memperlihatkan sekarang segelintir orang awam sudah tidak dapat menerima bulat-bulat keputusan siasatan polis atau SPRM.
Lazimnya, apabila laporan siasatan sudah lengkap ia diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menentukan tindakan susulan – dakwa atau tutup kes.
Pun begitu jangan anggap semua sudah selesai. Biasanya manusia tidak dapat menutup semua mulut orang daripada membuat spekulasi.
Yang tahu apa penyebab dan punca kematiannya ialah si mati. Sebab itu kalaulah Tuhan bagi anugerah supaya dinding boleh bercakap, mungkin kita tahu apa sebenar yang berlaku. Tak payah sesiapa pun membuat andaian yang entah betul atau salah.
Tapi ada pihak yang cukup pandai dalam bab untuk membuat andaian dan mereka-reka cerita terutama memperlekehkan institusi kerajaan – polis dan SPRM.
Jadi, elok sangat isu kematian Ahmad Sarbaini ini tidak melibatkan orang politik terutama parti pembangkang.
Jika isu kematian penjawat awam ini dipolitikkan, entah bila ia akan selesai. Lihatlah perkembangan kes liwat dan kes kematian Beng Hock yang sehingga kini belum selesai.
Paling utama kematian individu memang perlu disiasat lebih terperinci demi keadilan dan kebenaran. Namun begitu, janganlah isu kematian itu menutup pula isu yang lebih besar iaitu siasatan untuk membasmi kegiatan rasuah di negara ini.
Kes Beng Hock sebenarnya ada kaitan penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Begitu juga kes kematian Ahmad Sarbaini yang ada kaitan dengan rasuah di Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Kita minta, pihak berkuasa tidak terlupa tentang perkara yang lebih menggemparkan negara hasil pembongkaran SPRM dan polis itu.
No comments:
Post a Comment