Tuesday, April 12, 2011

Kesatuan Kastam mengalah, setuju biar polis dan SPRM siasat kes Sarbaini

TERKINI @ 08:01:57 PM 12-04-2011
April 12, 2011

PUTRAJAYA, 12 April – Pegawai-pegawai Kastam mengambil pendirian kelihatan mengalah dalam kontroversi berkaitan kematian Ahmad Sarbaini Mohamed - hari ini mereka bersetuju dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar membiarkan siasatan dijalankan tanpa sebarang gangguan.

Pada satu sidang media bersama selepas pertemuan selama dua jam di sini hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata, biar polis dan siasatan dalamannya “meneruskan siasatan secara profesional.”

“Kami semua bersetuju agar pihak berkuasa melakukan kerja mereka dan mencari kebenaran,” kata beliau pada sidang media bersama Presiden Kesatuan Pegawai-pegawai Kastam Semenanjung, Ibrahim Ahmad.

Ibrahim berkata pihaknya berpuas hati dengan mesyuarat itu selepas SPRM “membersihkan kami daripada dakwaan (punca kepada kehilangan hasil negara RM108 bilion, yang kini membersihkan nama kami.”

Angka itu merujuk kepada jumlah besar wang yang dikaitkan dengan Operasi 3B, di mana turut disiasat ialah Ahmad Sarbaini, penolong pengarah kastam dari Selangor.

Jumaat lalu, Kesatuan Pegawai-pegawai Kastam Semenanjung juga berkata pihaknya mahu SPRM membersihkan nama Ahmad Sarbaini (gambar) ketika banyak pihak mengaitkan kes itu dengan tindakan membunuh diri.

Ahmad Sarbaini ditemui mati di aras satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan, Rabu lalu.

“Kami berharap nama (Ahmad) Sarbaini dibersihkan dari dakwaan bunuh diri,” kata Ibrahim.

Setakat ini polis telah mengambil keterangan 20 orang termasuk ahli keluarga Ahmad Sarbaini, SPRM dan kakitangan Kastam Diraja Malaysia.

Polis juga telah menganalisis sistem kamera litar tertutup (CCTV) dari pejabat SPRM di Cheras termasuk telefon bimbit milik Allahyarham Ahmad Sarbaini.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali pada hari kematian Ahmad Sarbaini berkata, pegawai itu telah datang ke bangunan SPRM kira-kira 8.26 pagi tanpa sebarang temu janji dengan pegawai siasatan.

Ahmad Sarbani ditemui mati di gelanggang badminton kira-kira 10 pagi Rabu lalu, tetapi rakan-rakan rapatnya berkata adalah satu perkara yang mustahil bapa lima anak itu akan membunuh diri.

Abu Kassim juga berkata KDRM yang menjadi tumpuan Operasi 3B kendalian SPRM kerana didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram melebihi RM3 bilion yang sepatutnya disalurkan kepada kerajaan.

Beliau mengesahkan RM108 bilion adalah satu angka aliran wang haram keluar negeri dari Kementerian Kewangan dan bukannya disebabkan penyalahgunaan kuasa kakitangan KDRM

No comments: