Thursday, November 12, 2009
PRESIDEN CUEPACS AKAN JUMPA PM
Utusan Malaysia07/11/2009 3:59pmKUALA LUMPUR 7 Nov - Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Omar Osman hari ini berkata mahu bertemu Perdana Menteri dalam masa terdekat bagi memohon penjelasan beliau berkaitan kenyataannya yang mengatakan CUEPACS tidak bermoral apabila menuntut bonus dua bulan gaji untuk kakitangan awam dalam keadaan ekonomi negara tidak menentu.Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan menyuarat di pejabat CUEPACS hari ini yang dihadiri oleh wakil gabungan kesatuan itu dari seluruh negara seramai 130 orang.- Utusan
SEKTOR AWAM PATUT LEBIH BERSYUKUR
Berita Harian12/11/2009SAYA sama sekali tidak bersetuju dengan penjawat awam diberi bonus ketika ekonomi masih gawat. Walaupun ekonomi meleset kerajaan tetap memberi pelbagai elaun kepada penjawat awam, mereka dijaga sampai akhir hayat dengan bayaran pencen yang lumayan. Kalau mati pun pencen masih diberi kepada isteri mereka. Pelbagai kemudahan mereka nikmati, kalau berdepan dengan masalah disiplin, jarang dibuang kerja sebaliknya dipindahkan ke tempat lain, namun kerja masih ada. Saya melihat ramai penjawat awam mendabik dada sebab layanan dan imbuhan yang banyak diberikan, hingga ada yang menjadi angkuh sehingga mereka memperlekehkan kami pekerja swasta. Pada era pemerintahan Tun Abdullah Badawi kenaikan gaji yang berlipat ganda diberikan dengan pelbagai kemudahan, elaun tinggi, apakah masih tidak mencukupi kepada penjawat awam. Apakah mereka tidak bersyukur, saya selalu berurusan dengan mereka malangnya perkhidmatan yang diberi amat mendukacitakan. Siapa kata kami pekerja insurans, bank, sektor kewangan lain diberi bonus tatkala ekonomi merudum. Tidakkah penjawat awam, ramai di kalangan kami dibuang kerja, sehingga setiap kali ekonomi merudum kami semua hidup dalam ketakutan.Kami pekerja swasta sentiasa bertungkus lumus untuk menaikkan kewangan syarikat 'kerja siang dan malam memikirkan hari esok’. Kalau kami buat silap kami kena tanggung atau dibuang kerja. Betul kata Perdana Menteri, adalah tidak bermoral meminta bonus ketika ekonomi meleset, sedangkan kami pekerja swasta ada yang kena buang kerja, potong gaji, apatah lagi bonus jauh sekali. Kepada Cuepacs, janganlah kerana ingin mengekalkan populariti menyebabkan orang lain memandang serong terhadap penjawat awam. Memang benar penjawat awam memberi sumbangan kepada negara, tetapi penyumbang utama kepada ekonomi negara ialah sektor swasta, bukan kerajaan.WARGA SWASTA,Kuala Lumpur.
KAKITANGAN AWAM USAH TUNTUT BONUS KETIKA EKONOMI LEMBAB
Berita Harian12/11/2009SAYA ingin mengulas pandangan Mohamad dari Putrajaya yang disiarkan ruangan ini kelmarin mengenai bonus kepada kakitangan kerajaan. Penulis menyatakan penjawat awam berhak mendapat bonus berdasarkan; l Sebahagian besar tugas dan tanggungjawab kepada orang ramai berjaya dilaksanakan.l Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) masih memberi bonus kepada kakitangan ketika suasana ekonomi sekarang. l Penjawat awam memainkan peranan yang cukup penting kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, mikro dan makro ekonomi. l Penjawat awam membayar cukai.Berdasarkan kenyataan penulis di atas, saya berpendapat jika itu adalah isu untuk membolehkan penjawat awam mendapat bonus, ia adalah sangat lemah dan cetek. Bonus bukannya hak mutlak kakitangan. Tidak kira di mana atau apa pekerjaan seseorang itu. Ia adalah hak mutlak majikan. Adalah terkecuali kepada seseorang atau pertubuhan yang mempunyai ikatan kontrak yang memastikan bonus dibayar setiap tahun. Dalam kes penjawat awam, majikan adalah ketua kerajaan pemerintah. Dan secara tidak langsung dimiliki rakyat amnya. Jika rakyat sedang mengalami keperitan ekonomi, adakah wajar mereka meminta bonus tambahan yang sudah tentu menelan belanja yang bukan sedikit. Ini akan menyumbang kepada defisit negara. Penulis juga perlu berfikiran di mana institusi kerajaan bukannya satu institusi perniagaan. Kerajaan bukan peniaga yang menjana keuntungan. Bagaimana mekanisme pengiraan bonus boleh dibuat jika tidak berdasarkan keuntungan. Lebih-lebih lagi di dalam keadaan ekonomi tidak menentu ini. Penulis juga usah terlupa akan keistimewaan yang diperoleh sebagai penjawat awam yang tidak didapati oleh kakitangan swasta mahupun GLC yang lain. Saya kira itu sudah menjadi bonus kepada khususnya kepada penulis dan kakitangan kerajaan yang lain amnya yang dibayar secara langsung dan tidak langsung.Janganlah ‘diberi betis diminta paha; diberi paha dipijak kepala’. Perdana Menteri memberikan peruntukan tambahan untuk sebahagian penjawat awam yang mana sebahagian yang lain sudah menerimanya terlebih dulu sebelum pembentangan bajet baru-baru ini. Saya pastinya bukan kakitangan kerajaan. Ini tidak bermaksud untuk membangkang penulis secara terus cuma memberikan pandangan dari sisi sebagai rakyat yang sayangkan negara. Walaupun begitu saya ingin berterima-kasih kepada penulis dan rakan-rakan yang meningkatkan prestasi kerja serta melakukan tugas dengan baik. Dan ketahuilah, itu adalah tanggung-jawab dan amanah yang harus dipikul sebagai penjawat awam.
YUZALEE,
Kuala Lumpur
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment