Saturday, November 7, 2009

Cuepacs mahu pertemuan dengan PM, dapat penjelasan sebenar

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) tetap mahu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung kenyataannya, mengenai permintaan bonus dan keadaan ekonomi negara.

Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata pertemuan itu perlu bagi membolehkan kongres itu menjelaskan perkara sebenar yang dimaksudkan Perdana Menteri kepada ahli-ahlinya.

"Kita mahu penjelasan lebih lanjut, supaya kita dapat jelaskan kepada ahli-ahli kita. Sekarang kita keliru tentang kenyataan beliau, ini termasuklah ahli kita," katanya lagi selepas mesyuarat khas Cuepacs di sini, hari ini.


Najib pada awal minggu ini dilaporkan berkata, adalah salah daripada segi moral bagi Cuepacs untuk meminta bonus kerana negara masih bergelut untuk keluar daripada kemelesetan ekonomi dan ramai pekerja di sektor swasta dibuang kerja.

Omar berkata, hasil mesyuarat khas hari ini, kesemua ahli majlis kongres yang hadir bersetuju untuk menghantar surat kepada Perdana Menteri untuk mengadakan pertemuan dan ia akan dihantar Isnin ini.

Beliau berkata, Cuepacs juga mahu mendapat penerangan mengenai keadaan ekonomi yang masih belum pulih seperti yang dikatakan Perdana Menteri dalam pertemuan itu.

"Majlis kongres (Cuepacs) belum pernah diberi taklimat terhadap keadaan ekonomi negara sebenarnya, jadi Kongres berpendapat keadaan ekonomi kita hari ini baik berdasarkan kerajaan memberi bantuan khas RM500 (kepada kakitangan awam dan pesara kerajaan)," katanya. - Bernama

No comments: