Thursday, November 5, 2009

Caring Dialysis Center terima sumbangan



M. SARAVANAN bertanyakan sesuatu kepada Ong Kee Liang pada majlis perasmian pusat perkhidmatan hemodialisis, Caring Dialysis Center di Cheras kelmarin.


CHERAS 4 Nov. - Masyarakat di sekitar Cheras, khususnya pesakit buah pinggang boleh menarik nafas lega apabila sebuah pusat rawatan penyakit berkenaan dibuka di Taman Midah di sini semalam.

Pusat berkenaan merupakan cawangan terbaru Caring Dialysis Center, dan sempena majlis perasmiannya, sebuah mesin hemodialisis telah disumbangkan oleh Syarikat Inai Kiara Sdn. Bhd. melalui Persatuan Bekas Kastam Malaysia (Perbekas) bagi kegunaan pesakit buah pinggang yang mendapatkan rawatan di situ.

Pengerusi Caring Dialysis Center Dr. Ong Kee Liang berkata, sumbangan mesin itu akan memudahkan orang ramai menjalani pemeriksaan dan rawatan khususnya kepada pesakit yang menghidap buah pinggang yang tinggal di kawasan sekitar.

"Tidak banyak tempat yang menawarkan perkhidmatan kepada pesakit buah pinggang dan melalui penubuhan pusat rawatan ini akan meringankan beban masyarakat untuk mendapatkan kemudahan rawatan.

"Oleh itu, kita berharap dapat memberi perkhidmatan kepada masyarakat khususnya kepada mereka yang menetap di Cheras," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pembukaan Caring Dialysis Center dan penyerahan mesin hemodialisis yang telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd. Hashim, Pengerusi CUEPACS Kuala Lumpur, Ja'apar Mansor, Presiden Persatuan Persara MIDA, Nordin Pilus, Timbalan Presiden Pesara Imigresen, Datuk Yusoff serta Pengerusi Persara Kakitangan DBKL, Arnachimutu.

Sementara itu, Presiden Perbekas, Datuk Abdul Rahman Manan berkata, beliau berharap melalui sumbangan mesin ini akan meningkatkan kualiti hidup kepada masyarakat khususnya di kawasan Cheras.

"Ia secara tidak langsung membantu merealisasikan impian kerajaan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan di negara ini.

"Kami juga berharap banyak syarikat swasta dan masyarakat akan sedar dan terus memberi sumbangan seperti yang dilakukan oleh Inai Kiara," katanya.

No comments: