Friday, October 9, 2009

PERKHIDMATAN AWAM SASAR ADUAN SIFAR

Utusan Malaysia
7/10/2009


PUTRAJAYA 6 Okt. - Sektor perkhidmatan awam menyasarkan sifar aduan dalam usaha meningkatkan mutu sistem penyampaiannya kepada rakyat.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, kakitangan sektor itu perlu melihat semula undang-undang, peraturan, prosedur dan cara untuk mengubah birokrasi daripada yang menyusahkan rakyat kepada menyenangkan atau memudahkan.
''Kakitangan awam tidak harus berasa selesa dengan tahap perkhidmatan sekarang ini dan harus mencari jalan untuk memperbaiki dan menambah baik sistem penyampaian," katanya ketika berucap pada majlis penutupan Seminar Pengurusan Aduan Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, imej dan prestasi sektor awam boleh dinilai menerusi media massa apabila orang ramai lebih memilih untuk melontarkan aduan melalui saluran tersebut.
''Media menjadi salah satu perantaraan dan saluran komunikasi untuk mempromosi dan meningkatkan imej agensi kerajaan yang boleh membantu ke arah mencapai matlamat itu," katanya.
Tambah beliau, kakitangan sektor awam perlu sentiasa meletakkan diri sebagai pelanggan sekali gus dapat mengetahui keperluan dan kehendak sebenar orang ramai.
Pada majlis berasingan di Shah Alam, Mohd. Sidek berharap media tempatan tidak terlalu memberi tumpuan kepada perkara-perkara negatif sehingga boleh memberi kesan terhadap pembangunan serta karakter rakyat.
Menurut beliau, media kini merupakan sebahagian daripada komponen terpenting dalam mendidik rakyat selain menjadi sumber maklumat sehingga boleh mempengaruhi pemikiran dan pandangan rakyat terhadap sesuatu bidang atau isu.
''Setiap pagi, semua orang akan merujuk media untuk mengetahui maklumat serta perkara yang berlaku di sekeliling mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Syarahan Tahunan Ketua Setiausaha Negara (KSN) 2009 di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

No comments: