Sunday, October 4, 2009

PENJAWAT AWAM DAPAT PELARASAN GAJI 6 KALI

Berita Harian
Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
3/9/2009




KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah memberi pelarasan gaji sebanyak enam kali kepada kakitangan awam dalam tempoh 15 tahun sejak 1992 hingga 2007.
Menurut kenyataan dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), semalam, pelarasan gaji berkenaan diberikan setiap tiga hingga lima tahun, iaitu pada 1992, 1995, 2000, 2002 (dua kali) dan 2007.
Dalam konteks ini, katanya, setiap pemberian kenaikan gaji sektor awam dibuat dengan mengambil kira keperluan semasa dan kemampuan kewangan kerajaan.
“Kenaikan gaji tahunan (KGT) pegawai perkhidmatan awam secara keseluruhannya ialah antara tiga peratus hingga enam peratus daripada gaji pokok.
“Tahun ini, kerajaan sudah mengumumkan kenaikan pangkat secara khas untuk penyandang (KUP) kepada penjawat awam kumpulan sokongan yang sudah berkhidmat selama 15 tahun dan lebih.
“Ini turut memberi peluang untuk menikmati gaji pada gred kenaikan pangkat yang lebih tinggi berbanding gaji pada gred jawatan asal,” menurut kenyataan itu.
Akhbar baru-baru ini melaporkan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan melakukan semakan gaji 1.2 juta kakitangan awam setiap lima tahun sekali bagi membolehkan penyelarasan dibuat berdasarkan kos sara hidup semasa.
Ini berikutan semakan gaji terbaru yang dilakukan kerajaan pada 1 Julai 2007 dibuat selepas tempoh 25 tahun dan gaji yang diperoleh dengan kadar kenaikan antara 7.5 peratus hingga 35 peratus itu hanya mampu menampung kos sara hidup mereka sehingga tahun depan.
Bagaimanapun, menurut kenyataan itu lagi, kerajaan sentiasa prihatin terhadap kebajikan pegawai perkhidmatan awam, sekali gus menegaskan dakwaan bahawa semakan gaji terbaru yang dilakukan pada 1 Julai 2007 dibuat selepas 25 tahun, adalah tidak tepat.
Selain itu, katanya, konsep saraan dalam perkhidmatan awam adalah menyeluruh dan bukan saja meliputi upah atau gaji bagi kerja dilakukan, tetapi merangkumi pelbagai pemberian elaun serta kemudahan lain yang boleh dinikmati pegawai dan juga keluarga mereka.
“Ini termasuk imbuhan tetap, imbuhan tetap perumahan, bantuan sara hidup, kemudahan perubatan, kemudahan cuti, kemudahan perumahan dan sebagainya,” menurut kenyataan itu.
“Oleh itu, pendapatan minimum pegawai perkhidmatan awam tidak wajar diukur dari segi gaji pokok saja tetapi perlu mengambil kira pemberian elaun serta kemudahan lain yang disediakan oleh kerajaan,” menurut kenyataan itu.

No comments: