Tuesday, August 24, 2010

NASIHAT DAHULU SEBELUM KAKITANGAN KERAJAAN DIHALAU DARI KUARTERS

Utusan Malaysia
23/8/2010




KUALA LUMPUR 22 Ogos - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kakitangan awam diberi nasihat dan dipantau sebelum tindakan menghalau mereka dari kuarters kerajaan diambil atas kesalahan tertentu.
Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, tindakan yang membawa kepada disingkir dari kuarters ataupun dibuang kerja perlu dielakkan dengan memberi peluang kepada kakitangan awam tersebut berubah terlebih dahulu.
"Tindakan menyingkir dari kuarters ini bukan satu hukuman baru atau untuk kes khalwat sahaja, ia juga boleh dikenakan ke atas kakitangan awam yang terlibat dengan dadah, judi ataupun menjejaskan imej (jabatan atau kerajaan).
"Jika sudah terbukti mereka melanggar peraturan yang ditetapkan di kuarters masing-masing, tindakan menyingkir mereka dari kuarters tersebut memang boleh diambil.
"Namun, kita berharap itu menjadi pilihan akhir dengan memberi pengajaran melalui kaunseling, amaran akhir secara bertulis atau menahan kenaikan gaji terutamanya di kalangan mereka yang berkeluarga (mengikut jenis kesalahan)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali yang mahu kakitangan awam disingkir dari kuarters kerajaan di Putrajaya sekiranya didapati bersalah melakukan kegiatan tidak bermoral dan maksiat.
Semalam, Che Mat turut memaklumkan Jawi dan Badan Pengurusan Hartanah (BPH) Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan kerjasama bagi mengambil tindakan terhadap mereka yang sudah disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Syariah sejak awal tahun ini.
Omar turut menasihatkan semua kakitangan awam yang menerima kemudahan kuarters kerajaan mematuhi peraturan yang ditetapkan supaya tidak menjejaskan imej diri dan kerajaan seterusnya menyusahkan hidup mereka sendiri.
"Saya cadangkan mereka yang terbukti melakukan kesalahan membuat surat pengakuan tidak akan mengulanginya lagi.
"Surat ini boleh dijadikan bukti jika mereka mengulangi kesalahan supaya tindakan tegas seperti disingkir dari kuarters boleh dikenakan," katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Gerakan Memantau Perkhidmatan Agensi Kerajaan (Gempak), Rahimuddin Md. Harun berharap saranan Jawi itu bukan hanya untuk kakitangan bawahan malahan melibatkan pegawai kerajaan.
"Kami merasakan tindakan mengusir ini agak berat bagi kakitangan awam. Tetapi, jika diteruskan juga, tindakan menyingkir kakitangan awam yang terbukti bersalah perlu meliputi semua pangkat termasuk jawatan tinggi kerajaan.
"Jika kita boleh meluluskan hukuman mati untuk membuang bayi, tindakan menyingkir ini juga boleh diterima dan digunakan sebagai satu cara mencegah gejala sosial daripada terus menular di negara ini," tegasnya.

No comments: