Thursday, August 12, 2010

CUEPACS MINTA JPA SEMAK KAEDAH PEPERIKSAAN PTK

Bernama
Oleh Noor Hayati Muda
7/8/2010



KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bercadang mengemukakan memorandum kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyemak semula peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bagi memastikan ia relevan dengan hasrat kerajaan.

Presidennya Omar Osman berkata berdasarkan maklum balas yang diterimanya, matlamat PTK tidak tercapai sepenuhnya selain boleh mengekang aspirasi kerajaan di bawah Gagasan 1Malaysia "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

"Daripada apa yang kita dapat, ramai penjawat awam tidak berpuas hati dengan PTK kerana ada yang cemerlang melaksanakan tugas hakiki tetapi tidak diiktiraf prestasi mereka kerana gagal melepasi syarat PTK.

"Dalam pada itu, ada pula yang tidak seberapa (prestasi) tapi disebabkan lulus PTK, dinaikkan pangkat. Ini menyebabkan yang lain patah semangat khususnya mereka yang tidak lulus," katanya kepada Bernama.

Diperkenalkan pada November 2002, peperiksaan PTK bertujuan menghapuskan budaya mengampu ketua jabatan dan memastikan hanya yang layak menerima pengiktirafan.

Selain itu, katanya, pelaksanaan PTK juga tidak selaras kerana bukan semua jabatan kerajaan menjalankan peperiksaan sebaliknya menghantar penjawat berkursus dan melakukan pembentangan yang disifatkan lebih sesuai dengan taraf profesionalisme yang diinginkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kalau difikirkan, bila masa mereka mahu mengulang kaji sedangkan pada masa yang sama mereka juga perlu melaksanakan tugas hakiki selain menguruskan hal peribadi. Malah saya difahamkan ada yang mengabaikan tugas untuk mengulang kaji semasa waktu kerja semata-mata untuk lulus PTK," katanya.

Omar berkata budaya mengampu ketua jabatan boleh diatasi jika urusan anjakan gaji dan kenaikan pangkat dikendalikan oleh satu jawatankuasa yang tidak berkepentingan.

"Jabatan boleh melantik dua atau tiga orang yang tidak berkepentingan untuk menilai prestasi warganya, iaitu ketua jabatan tidak mempunyai kuasa mutlak untuk kenaikan pangkat," katanya.

Omar juga tidak menolak pandangan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan PTK turut melibatkan pembaziran masa dan kos kerana mereka yang berkenaan harus mengikuti kursus sebelum menduduki peperiksaan, selain kos untuk mengendalikan PTK itu sendiri.

Pandangan Omar dikongsi Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan yang bersetuju dengan pendapat bahawa mereka yang berkhidmat di sektor awam dibebani dengan peperiksaan.

Beliau berkata sewajarnya kerajaan mempermudahkan kenaikan gaji dan gred penjawatnya terutama yang telah berkhidmat puluhan tahun dan hampir bersara namun masih di takuk lama sekalipun terbukti mereka cemerlang ketika bertugas.

Hashim berkata walaupun PTK digubal untuk tujuan yang baik iaitu mengelakkan unsur pilih kasih dan memastikan hanya yang layak diiktiraf, pelaksanaanya menyebabkan ada yang tertindas.

"Tidak semua antara kita pintar semasa di sekolah tetapi lain pula keadaannya ketika telah bekerja. Justeru konsep peperiksaan dalam PTK ini sudah tidak sesuai digunakan bagi menentukan prestasi seseorang penjawat awam," katanya.

Seperti dalam sektor am, beliau berkata ada anggota yang gagal menginjak pangkat kerana gagal melepasi peperiksaan sekalipun prestasinya sebagai penguatkuasa undang-undang cemerlang.

-- BERNAMA

No comments: