Tuesday, August 10, 2010

CUEPACS MINTA JPA SEMAK GRED ANGGOTA BERPAKAIAN SERAGAM

Bernama
5/8/2010


LANGKAWI, 4 Ogos (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pada Rabu meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar menyemak semula gred anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Imigresen.

Presidennya Omar Osman berkata ini kerana anggota jabatan terbabit tidak boleh disamakan dengan anggota perkhidmatan awam yang lain kerana mereka terdedah dengan keadaan tidak menentu.

"Cuepacs juga meminta JPA mempercepatkan insentif khas kepada anggota bomba yang memandu jentera bomba kerana jentera itu tidak sama seperti kenderaan awam lain dan memerlukan kemahiran pengendalian," katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan perwakilan Kesatuan Pekerja Jabatan Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia di sini.

Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan dengan JPA dan Cuepacs berharap
pembayaran dapat dilakukan segera.

"Kita mencadangkan insentif itu dipertimbangkan sebanyak RM250 kepada lebih 1,000 anggota yang akan ditentukan oleh jabatan terbabit," katanya.

Beliau berkata pemberian insentif itu akan memberi galakan kepada mereka agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga jentera dan penyelenggaraannya.

Mengulas perkara lain, Omar berkata Cuepacs berharap kerajaan dapat menimbang permintaan agar penjawat awam diberi bonus dua bulan gaji.

Cuepacs juga berharap kerajaan dapat menimbang semula dalam pembentangan bajet tidak lama lagi mengenai beberapa permintaan mereka seperti elaun perumahan, elaun sara hidup dan umur persaraan wajib.

Selain itu Omar berkata pihaknya juga menerima maklumat daripada penjawat awam yang bertugas di negeri-negeri di bawah kerajaan pakatan pembangkang tidak dapat bekerja dengan baik.

Perkara itu katanya, tidak patut berlaku kerana penjawat awam melaksanakan tugas mereka tanpa mengira parti yang mentadbir kerajaan.

-- BERNAMA

No comments: