Monday, December 21, 2009

LANTIKAN WAKIL CUEPACS DALAM ANGKASA - OMAR

Utusan Malaysia
21/12/2009

KUALA LUMPUR 20 Dis. - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) diminta mempertimbangkan pelantikan wakil Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menganggotai Jawatankuasa Tadbir pertubuhan itu secara automatik.
Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, langkah itu sebagai menghargai sumbangan kakitangan awam yang majoritinya juga adalah ahli Angkasa.
Beliau berkata, 80 peratus daripada 7 juta ahli Angkasa ialah anggota perkhidmatan awam yang masih berkhidmat atau bersara.
''Oleh itu, Angkasa perlu mempertimbangkan pelantikan wakil CUEPACS dalam pertubuhan itu secara automatik.
''Wakil CUEPACS itu hendaklah terdiri daripada Presiden atau sesiapa sahaja yang menjadi presiden kesatuan ini pada masa depan. Wakil CUEPACS tidak perlu bertanding ,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau yang sebelum ini menawarkan diri untuk bertanding jawatan Yang Dipertua Angkasa pada Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkasa ke- 26 hari ini bagaimanapun menarik diri di saat akhir.
Beliau memberi alasan untuk memberi tumpuan penuh bagi memantapkan lagi kesatuan berkenaan.
Menurut Omar, dengan kehadiran wakil CUEPACS dalam kepimpinan Angkasa kerjasama dua hala boleh dipertingkat demi kebaikan ahli.

PENDAPATAN BIDANG KEJURURAWATAN DI MALAYSIA MASIH RENDAH

Berita Harian
21/12/2009


KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan mengkaji semula kadar gaji dan menawarkan insentif menarik dalam bidang kejururawatan bagi memastikan profesion lebih berdaya saing. Presidennya, Omar Osman, berpendapat gaji ditawarkan di negara kita masih ketinggalan jauh lebih rendah berbanding negara lain khususnya Arab Saudi. Walaupun sudah ada kajian berkaitannya dibuat pada 2005, ia masih belum mencapai tahap memuaskan. Oleh itu, beliau menggesa kerajaan mengkaji semula kenaikan gaji kepada jururawat di seluruh negara kerana masih berada pada tahap rendah sedangkan mereka berdepan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Skim gaji baru serta insentif itu juga perlu untuk mengelak jururawat berkenaan berhijrah ke negara lain kerana kecewa dengan pendapatan yang diperoleh sekarang. Omar berkata, walaupun skim baru U29 hingga U42 diwujudkan dalam perkhidmatan itu, ia belum memuaskan dan dianggap masih rendah. "Kerajaan juga sepatutnya sediakan insentif tertentu untuk menggalakkan lebih ramai lepasan sekolah menyertai kerjaya ini. Apa yang mengecewakan kita, jururawat yang sudah mengambil sijil asas, tidak mendapat elaun RM100 sekiranya tidak terbabit dalam kerja. Apa gunanya mereka menghabiskan masa selama setahun bagi mendapatkan sijil itu tetapi tidak dapat apa-apa insentif," katanya. Omar berkata, pihaknya juga sedang dalam tindakan untuk menghantar memorandum kepada kerajaan bagi mengkaji bidang kejururawatan serta kerjaya lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang turut berdepan isu sama.
"Kita juga menerima aduan ada jururawat yang berkhidmat di pulau seperti Pulau Pangkor dan Pulau Langkawi tidak menerima sebarang elaun. Kita anggap kawasan itu perlu diberi insentif. Jika guru pedalaman ada elaun, maka jururawat yang bertugas di pulau juga perlu dapat insentif sama. "Saya percaya jika penambahbaikkan dilakukan dalam kerjaya ini dari segi insentif, gaji dan kemudahan kenaikan pangkat, ia akan menjadi lebih menarik. Malangnya apa yang saya lihat kerjaya ini agak statik. Contohnya, kenaikan gaji bagi gred P1T1 (RM827.94) ke P3T24 (RM2,423.63) memerlukan tempoh 30 tahun berkhidmat. "Jadi, tidak mustahil mengapa, ramai jururawat yang sudah tamat kontrak mencari peluang bekerja di negara lain seperti Arab Saudi yang menawarkan pelbagai insentif menarik termasuk gaji yang tinggi," katanya Secara keseluruhan bidang kejururawatan dibahagikan kepada empat bidang asas, iaitu mencakupi jururawat kesihatan, jururawat perubatan, jururawat masyarakat dan jururawat akademik.
Sebagai perbandingan, jururawat yang mempunyai pengalaman dan berkelayakan boleh dinaikkan pangkat ke jawatan ketua jururawat dan penyelia jururawat atau ke bahagian pengurusan. Sebagai contoh, gaji permulaan bagi jururawat ialah pada Gred, iaitu:P1T1 RM827.94 – P1T24 RM2,177.15P2T1 RM880.88 – P2T24 RM2,298.18 P3T1 RM935.33 – P3T24 RM2,423.63.

Dr. MOHD. ALI KEKAL YANG DOPERTUA ANGKASA

Utusan Malaysia
20/12/2009

KUALA LUMPUR 19 Dis. - Profesor Datuk Dr. Mohd. Ali Mohd. Baharum mengekalkan jawatan Yang Dipertua Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dalam pertandingan sengit empat penjuru di sini hari ini.
Beliau memperolehi 1,216 undi mengatasi pencabar terdekatnya, Mustapa Kamal Maulut dengan kelebihan 47 undi.
Mustapa Kamal yang sebelum ini Naib Yang Dipertua Angkasa meraih sebanyak 1,169 undi.
Turut merebut jawatan yang sama ialah Pengerusi Koperasi Shamelin Berhad, Datuk Muhammad Feisol Hassan (90 undi) dan Pengerusi Koperasi Pegawai Pentadbiran dan Pengurusan Tanah Malaysia, Datuk Yidris Abdullah yang mendapat 40 undi.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman yang sebelum ini menawarkan diri untuk bertanding, menarik diri dengan alasan mahu menumpukan perhatian terhadap tugas dalam pertubuhan itu.
Seramai 2,900 perwakilan daripada 1,700 koperasi memilih barisan kepimpinan baru Angkasa hari ini sempena Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkasa Ke-26 yang berlangsung dua hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua, ia tidak dipertandingkan kali ini, sebaliknya pertandingan akan diadakan tahun depan selaras dengan Perkara 30.2 (Undang-Undang Kecil Angkasa).
Penyandang bagi jawatan itu sekarang ialah Datuk Abdul Fattah Abdullah.
Bagi jawatan Naib Yang Dipertua, dimenangi Jamal Abdullah yang memperolehi 824 undi mengatasi lapan pencabarnya.
Jamal ialah anggota Lembaga Pengarah Koperasi Polis Diraja Malaysia yang kini bertugas sebagai Ketua Balai Polis Desa Jaya, Gombak, Selangor.
Jawatan Pengerusi Tetap Persidangan pula dimenangi Pengerusi Koperasi Serbaguna Kawasan Paya Besar Berhad, Datuk Seri Abdul Rashid Abdul Rahman dengan undi 1,478 .
Dua Timbalan Pengerusi Tetap yang dipilih ialah Pengerusi Koperasi Siswazah Intan Usaha Bersatu Berhad (KIUB), Dr. Abdul Rahman Abdul Shaik dan bekas Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Ahmad Bahri Abdul Rahman.
Turut bertanding bagi jawatan tersebut ialah Pengerusi Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Kedah Berhad, Datuk Mat Rejab Kassim dan Pengerusi Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Lenga Muar Berhad, Abu Bakar Mohamad.
Calon lain ialah Anggota Jawatankuasa Perhubungan Angkasa, Datuk Abu Bakar Shaari; Naib Pengerusi Koperasi Pegawai-Pegawai Hutan Melayu Negeri Perak, Jamaluddin Mohd. Isa; Pengurus Koperasi Ukhwah Cawangan Perak, Abdul Satar Hashim; Ahli Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan Angkasa, Bahar Siran; Pengerusi Koperasi Pekebun Getah Melaka, Datuk Jaafar Lajis.
Pemilihan kesemua jawatan itu menggunakan sistem pengundian elektronik (e-voting).
Keputusan pertandingan diumumkan hampir pukul enam petang berikutan kiraan semula undi yang dilakukan sebanyak dua kali.

No comments: