Sunday, December 13, 2009

Ahli Perbekas kongsi untung




Oleh Nurhasyima Hasim

Persatuan, OTSB lancar konsep aplikasi telekomunikasi terima ganjaran

PANDAN INDAH: Kira-kira 2,000 ahli Persatuan Bekas Kastam Malaysia (Perbekas) di seluruh negara berpeluang menambah pendapatan mereka apabila persatuan itu menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan syarikat telekomunikasi, Otelo Telecommunications Sdn Bhd (OTSB) bagi menjayakan Pelan Menjana Pendapatan Sokongan Rakyat Malaysia.

Pelan itu yang berkonsepkan ‘guna dan jana pendapatan’ mengaplikasikan sistem telekomunikasi dengan memperkenalkan perkhidmatan telekomunikasi prabayar alternatif atau sokongan dikenali sebagai Prabayar TDTone Mobile (TDTone Mobile) yang membolehkan gabungan ahlinya berkongsi keuntungan dan menerima ganjaran tunai.

Menerusi MoU berkenaan, Perbekas menjadi persatuan pertama dilantik OTSB sebagai stokis dan akan memperluas keberkesanan program ini melalui pelaksanaan inisiatif yang bertujuan meningkatkan tahap kesedaran orang ramai mengenai pelan berkenaan.

Presiden Perbekas, Datuk Abd Rahman Manan, berkata kerjasama Perbekas dengan OTSB bermatlamat membantu pesara kastam dan ahli persatuan atau koperasi yang berminat untuk meningkatkan pendapatan mereka terutama apabila kos sara hidup kini semakin meningkat.

“Ahli persatuan hanya perlu membayar serendah RM40 di stokis dilantik OTSB bagi mendapatkan nilai prabayar yang boleh digunakan di semua jenis rangkaian perkhidmatan telekomunikasi, sekali gus mengaktifkan perkhidmatan TDTone Mobile mereka.

“Ahli kemudiannya perlu mendaftar butir diri mereka dengan Perbekas supaya keuntungan mereka boleh dijana melalui gabungan pendapatan yang diperoleh melalui pendaftaran ahli Perbekas lain. Ia adalah pelan berasaskan komuniti yang mengutamakan kesejahteraan rakyat di mana ahli persatuan juga boleh mengembangkannya kepada masyarakat di sekeliling,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menandatangani MoU berkenaan bersama Pengerusi OTSB, Datuk Ayob Idris di pejabat Perbekas di sini, semalam.

Abd Rahman berkata, sehubungan itu, Perbekas di setiap negeri akan menganjurkan bengkel dan taklimat khas mengenai perkhidmatan itu yang akan disampaikan perunding perkhidmatan TDTone Mobile dalam masa terdekat kepada ahli yang berminat menyertainya.

No comments: