Thursday, February 11, 2010

CUEPACS TUNTUT KERJA LEBIH MASA DIBAYAR TUNAI

Bernama
11/2/2010




KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menuntut kakitangan awam diberi bayaran tunai untuk kerja lebih masa berbanding diberi cuti rehat. Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata hampir 50,000 kakitangan sokongan dari pelbagai jabatan kerajaan dan badan berkanun diberi cuti rehat untuk kerja lebih masa sejak Disember tahun lalu. Katanya, untuk setiap lapan jam kerja lebih masa mereka akan diberi satu hari cuti.
"Kami menganggap ia satu ekspoitasi, dan mahu kerajaan membuat tindakan segera untuk menghentikan amalan ini kerana ia akan melunturkan semangat pekerja dan menjejaskan produktiviti mereka," katanya kepada Bernama. Beliau berkata, Cuepacs akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, untuk menyelesaikan isu itu. Bernama difahamkan langkah sedemikian dilaksanakan untuk "mengurangkan kos" dan juga untuk "meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan" jabatan berkenaan.
Seorang ketua jabatan berkata, sasaran kerja kini adalah lebih tinggi dan memerlukan kerjasama kakitangan untuk bekerja lebih masa. Katanya, disebabkan peruntukan untuk kerja lebih masa tidak mencukupi, jabatan memperkenalkan sistem menawarkan cuti. "Kecuali untuk beberapa orang pekerja, kebanyakan daripada mereka bersetuju dengan peraturan itu kerana mahu mencapai sasaran kerja yang ditetapkan dan meningkatkan sistem penyampaian sejajar dengan dasar kerajaan sekarang," katanya. - Bernama


TIADA ARAHAN KERJA LEBIH MASA DIGANTI CUTI REHAT

Berita Harian
Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
11/2/2010

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mengeluarkan sebarang arahan rasmi untuk menghalang pemberian bayaran tunai kepada kakitangan awam yang bekerja lebih masa dan digantikannya dengan cuti rehat. Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam (gambar), berkata kakitangan sokongan memang layak mendapat elaun kerja lebih masa, justeru terpulang kepada kecekapan sesebuah jabatan untuk menguruskan keperluan kewangan. “Setiap jabatan kerajaan mendapat peruntukan masing-masing, maka kena pandai urus sendiri supaya ia memenuhi keperluan tanpa melebihi bajet,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Sehubungan itu, Ismail berkata, dakwaan bahawa kakitangan sokongan diberi cuti rehat bagi menggantikan bayaran tunai untuk kerja lebih masa, mungkin adalah langkah yang diambil oleh sesebuah jabatan atas inisiatif sendiri. Berhubung hasrat Cuepacs untuk mengadakan pertemuan dengannya untuk menyelesaikan isu berkenaan, beliau berkata, mereka perlu memberi maklumat terperinci, bukan kenyataan secara rambang, kerana jika membabitkan badan berkanun, ia tidak berkaitan dengan beliau. Sementara itu, Cuepacs dilaporkan menuntut agar kakitangan awam diberi bayaran tunai untuk kerja lebih masa berbanding diberi cuti rehat.
Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata hampir 50,000 kakitangan sokongan dari pelbagai jabatan kerajaan dan badan berkanun diberi cuti rehat untuk kerja lebih masa sejak Disember lalu. “Bagi setiap lapan jam kerja lebih masa mereka akan diberi satu hari cuti. Kami menganggap ia satu eksploitasi, dan mahu kerajaan membuat tindakan segera untuk menghentikan amalan ini kerana ia akan melunturkan semangat pekerja serta menjejaskan produktiviti,” katanya. Langkah sedemikian dilaksanakan untuk ‘mengurangkan kos’ dan juga untuk ‘meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan’ jabatan berkenaan. “Sasaran kerja kini adalah lebih tinggi dan kami memerlukan kerjasama dari kakitangan kita untuk bekerja lebih masa. Bagaimanapun, peruntukan untuk kerja lebih masa adalah tidak mencukupi, jadi kami memperkenalkan sistem ini dengan menawarkan cuti,” kata seorang ketua jabatan.
Kecuali untuk beberapa pekerja, katanya, kebanyakan daripada mereka bersetuju dengan peraturan itu kerana mahu mencapai sasaran kerja yang ditetapkan dan meningkatkan sistem penyampaian sejajar dengan dasar kerajaan sekarang.

No comments: