Tuesday, February 23, 2010

BIMBANG PENGUASAAN WANITA

Bernama
22/2/2010

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini meluahkan kebimbangan berikutan penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam yang semakin meningkat sekarang.
Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd. Zin berkata, trend masa ini menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan sebagai pembuat keputusan dan situasi itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara.
Contohnya kata beliau, hampir tiga perempat daripada jawatan baru dalam perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik diisi oleh wanita.
Ahmad Shah menghujahkan perkara itu bertentangan dengan polisi kerajaan sekarang yang memperuntukkan hanya 30 peratus jawatan pembuat keputusan kepada kaum wanita.
Baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia Datuk, Dr. S. Subramaniam berkata, nisbah antara guru lelaki dan wanita adalah 30:70.
Sambil menghargai polisi kerajaan berkenaan kesamaan gender, Ahmad Shah berkata, Cuepacs mahu dasar itu dilaksana dengan berhati-hati agar tidak mengganggu keseimbangan antara penjawat lelaki dan wanita.
Beliau berkata, kedua-dua gender mempunyai kekuatan dan kelemahan yang boleh diguna untuk melengkapi antara satu sama lain.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, walaupun terdapat lebih ramai guru wanita dalam perkhidmatan tersebut, peringkat pembuat keputusan dikuasai kaum lelaki.
Beliau berkata, prestasi guru wanita adalah sangat baik dan mereka memberikan pendidikan yang berkualiti kepada kanak-kanak.
Yim Pheng menyarankan agar kementerian berkenaan mengambil lebih ramai guru lelaki untuk bidang-bidang tertentu seperti sukan, pendidikan jasmani dan kokurikulum.
Nisbah yang ideal antara guru lelaki dan wanita kata Lok adalah 50:50. - Bernama

No comments: