Friday, December 23, 2011

PERDANA MENTERI SETUJU TANGGUH SBPA - OMAR OSMAN

22 Disember 2011
SBPA: NAJIB ARAH JPA, CUEPACS BERUNDING
Berita Harian
2011/12/22




PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengarahkan CUEPACS dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) segera mengadakan rundingan bagi menyelesaikan isu berbangkit dalam pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang sepatutnya dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini.

Presiden CUECPACS, Datuk Omar Osman, berkata berikutan itu pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan JPA bagi membincangkan perkara itu di sini, esok.
Posted by CUEPACS at 5:13 PTG 871 comments
CUEPACS: PM SETUJU TANGGUH PELAKSANAAN SBPA
Malaysiakini
22/12/2011





Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pelaksanaan skim sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ditangguhkan untuk dirunding semula dengan penjawat awam.

Utusan Online melaporkan beliau berkata demikian kepada sekumpulan ahli kongres itu di perkarangan bangunan Perdana Putra selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Putrajaya hari.

Omar dijadualkan mengadakan satu sidang akhbar di Universiti Putra Malaysia tengah hari ini berhubung isu itu.

Manakala Bernama pula memetik Omar sebagai berkata perdana menteri meminta satu rundingan diadakan antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Cuepacs esok bagi menentukan sama ada menangguhkan pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) atau melanjutkan tarikh mengembalikan borang opsyen.

Beliau memberitahu demikian mengenai hasil pertemuannya dengan Datuk Seri Najib hari ini.

Posted by CUEPACS at 5:02 PTG 112 comments
JPA, CUEPACS ADAKAN RUNDINGAN MENGENAI SBPA JUMAAT
Bernama
22/12/2011



SERDANG, 22 Dis (Bernama) -- Satu rundingan antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Cuepacs akan diadakan Jumaat bagi menentukan sama ada pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan ditangguhkan atau tarikh mengembalikan borang opsyen dilanjutkan.

Keputusan itu dibuat hasil pertemuan Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman dengan Datuk Seri Najib Tun Razak di Pejabat Perdana Menteri pagi tadi, yang turut disertai pegawai tertinggi Cuepacs, anggota kesatuan serta wakil daripada JPA.

Bercakap kepada pemberita selepas bermesyuarat dengan anggota Cuepacs di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini pada Khamis sebaik selesai bertemu Perdana Menteri, Omar berkata Perdana Menteri mahu isu SBPA diselesaikan secara baik antara kedua-dua pihak.

"Perdana Menteri berharap isu SBPA mesti dirundingkan bersama-sama antara JPA dan Cuepacs sehingga persetujuan bersama tercapai, barulah ia boleh dilaksanakan," katanya.

JPA dalam satu kenyataan pada Khamis mengesahkan akan mengadakan perbincangan itu bersama Cuepacs bagi membincangkan segala isu yang dibangkitkan.

-- BERNAMA

Posted by CUEPACS at 4:59 PTG 44 comments
SEGERA
Bernama
22/12/2011


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta satu rundingan diadakan antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Cuepacs esok bagi menentukan sama ada menangguhkan pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) atau melanjutkan tarikh mengembalikan borang opsyen, kata Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman mengenai hasil pertemuannya dengan Perdana Menteri hari ini.

-- BERNAMA
Posted by CUEPACS at 4:58 PTG 18 comments
SAMBUT BAIK PENANGGUHAN SBPA
Harakah Daily
Aziz Muda
22/12/2011



KUALA LUMPUR, 22 Dis: PAS menyambut baik keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menangguhkan perlaksanaan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) seperti yang diumumkan hari ini.

Keputusan tersebut disifatkan sebagai kejayaan awal yang dinikmati oleh kakitangan sektor awam, hasil kerjasama PAS serta Pakatan Rakyat dan Cuepacs yang menentang keras perlaksanaan skim itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, tanpa kerjasama politik, khususnya tentangan PAS, skim tersebut mustahil ditangguhkan perlaksanaannya meskipun jelas menzalimi kakitangan awam khususnya yang berada di dalam Kumpulan Sokongan.

Menurutnya, keputusan penangguhan itu pasti melegakan kakitangan sektor awam, tetapi ia tidak bermakna jika tidak dibatalkan kesemua perjanjian berhubung dengannya.

Sehubungan itu, beliau mendesak Perdana Menteri agar turut membatalkan kesemua perjanjian yang telah dibuat oleh kakitangan sektor awam berhubung perkara itu yang telah menurunkan tanda tangan masing-masing baru-baru ini menerusi borang yang disediakan.

"Banyak kakitangan awam telah menurunkan tanda tangan mereka baru-baru ini. Kini setelah perlaksanaan skim itu ditangguhkan, kesemua mereka yang telah menurunkan tanda tangan tertanya-tanya mengenai perkara itu," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Kakitangan terbabit, tegasnya, bimbang akan terperangkap dengan tindakan selanjutnya jika kesemua perjanjian itu tidak dibatalkan.

"Esok Cuepacs akan mengadakan perbincangan dengan JPA. Diharap perbicangan itu akan mendatangkan hasil yang baik bagi kepentingan kakitangan sektor awam," katanya.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berharap agar perbincangan tentang tangga gaji dan pelbagai perkara lain bagi kepentingan kakitangan sektor awam akan dilanjutkan pada persidangan Parlimen.

Beliau turut mendesak Perdana Menteri agar menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen bagi membincangkan dan menyelesaikan masalah tangga gaji yang terlalu jauh berbeza antara Kumpulan Premier dan kumpulan-kumpulan lain dalam sektor awam.

"Kesemua langkah itu perlu dilakukan bagi membolehkan kakitangan awam mendapat keadilan, ekoran jurang yang terlalu jauh berbeza antara mereka yang berada di dalam Kumpulan Sokongan berbanding Kumpulan Premier.

"Sedangkan kakitangan dalam Kumpulan Sokongan itu adalah yang paling besar jumlahnya daripada 1.4 juta kakitangan sektor awam, manakala yang berada dalam Kumpulan Premier hanyalah 36 orang termasuk Ketua Setiausaha Negara (KSN)," ujar beliau.


Posted by CUEPACS at 3:20 PTG 61 comments

Utusan Malaysia
22/12/2011 12:53pm


PUTRAJAYA 22 Dis. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pelaksanaan skim sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ditangguhkan untuk dirunding semula dengan penjawat awam, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman.

Beliau berkata demikian kepada sekumpulan ahli kongres itu di perkarangan bangunan Perdana Putra selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di sini hari.

Omar dijadualkan mengadakan satu sidang akhbar di Universiti Putra Malaysia tengah hari ini berhubung isu itu. - UTUSAN

No comments: