Sunday, December 18, 2011

Cuepacs mahu JPA tangguh SBPA, runding semula dengan kesatuan

TERKINI @ 05:26:26 PM 18-12-2011 Oleh G Manimaran December 18, 2011

KUALA LUMPUR, 18 Dis — Cuepacs membuat pendirian tegas meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang akan dikuatkuasakan 1 Januari ini, dan mengadakan perundingan dengan badan induk kesatuan awam itu.

Badan induk itu mendakwa pihaknya “amat kesal” kerana kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak mengadakan langsung perundingan dengan Cuepacs sebelum menggubal dan melaksanakan SBPA.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata, kerajaan seharusnya memastikan setiap anggota perkhidmatan awam, yang saiznya 1.4 juta orang, menerima maklumat yang tepat dan mendalam sebelum menerima opsyen pelaksanaan SBPA.

“Kami mahu kerajaan mengadakan perundingan dengan Cuepacs, kami mahu sistem ini dikaji semula... kalau boleh, tangguh melaksanakan SBPA, ada orang kata naik gaji 1 Januari, tetapi mana yang penting, naik gaji 1 Januari atau mendapatkan maklumat betul dan tepat, faedah yang baik.

“Kenaikan gaji 1 Januari boleh dianjakkan satu dua bulan lagi, katakan Mac, kita bayar tunggakan gaji, tiada masalah,” kata Omar pada sidang media sempena perhimpunan bantahan dan taklimat SBPA di Pusat Konvensyen CIDB di sini petang ini.

Omar berkata, perkara itu akan dibawa ke perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam satu pertemuan pada Khamis ini.

“Soal penangguhan itu bagi kami, itu perkara kedua dan ketiga, tetapi kami mahukan hak perundingan, mahu hak perundingan dikembalikan, sistem gaji ini dikaji semula, berunding dengan kami,” kata beliau sambil menegaskan urusan opsyen SBPA perlu ditangguhkan.

“Kami meminta ahli-ahli kami tidak menerima opsyen sehingga perkara ini selesai,” kata beliau sambil menambah sekitar 900,000 daripada 1.4 juta kakitangan awam mendapat perlindungan menerusi perjuangan Cuepacs.

Bagaimanapun Cuepacs tiada maklumat berapa ramai yang sudah menandatangani opsyen SBPA setakat ini.

“Kami tiada statistik buat masa sekarang,” kata beliau yang turut menambah, pihaknya belum memaklumkan pendirian penangguhan pelaksanaan urusan opsyen kepada JPA lagi.

Cuepacs membuat pendirian itu pada mesyuarat majlis kongres di Perlis Khamis lalu.

JPA membuka opsyen menerima SBPA mulai 16 Disember lalu dan ia akan ditutup pada 30 Disember.

“Tempoh 15 hari tidak cukup, kami mahu ia dilanjutkan,” kata Omar sambil menambah, pemimpin-pemimpin Cuepacs sendiri tidak jelas tentang kandungan SBPA.

“Kalau kami sendiri tidak jelas, bagaimana hendak dijelaskan kepada ahli-ahli kami.

“Kalau kami diberikan maklumat, kami sendiri boleh lakukan jelajah taklimat tanpa JPA, kami boleh buat, kami boleh tolong. Tetapi ini tidak berlaku, tetapi kami tidak dibawa bersama dalam taklimat mereka,” katanya lagi.

Sekitar 2,000 ahli jawatankuasa kesatuan gabungan Cuepacs menghadiri perhimpunan hari ini.

Omar juga mendakwa kakitangan awam dipaksa menerima opsyen tanpa diberikan maklumat mengenai sifir gaji dan tangga gaji.

Beliau mengakui ada kakitangan awam diugut supaya menerima SBPA dan dikatakan tidak boleh masuk pejabat jika enggan menerima SBPA.

Apabila diberitahu bahawa ada kakitangan yang sudah dimaklumkan mengenai tangga gaji, Omar berkata:

“Kami tidak diberikan buku sifir gaji sepenuhnya. Masa kami tanya pada taklimat JPA (bulan lalu) dikatakan rahsia, tetapi sekarang tidak dikeluarkan.

“Memang ada kakitangan diberitahu, tetapi kebanyakan tidak tahu. Ada juga agensi yang tidak ada kesatuan.”

Katanya, ia jauh berbeza berbanding ketika pelaksanaan Sistem Saraan Baru dan Sistem Saraan Malaysia.

SBPA akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia. Pekeliling rasmi mengenainya dikeluarkan pada 7 Disember lalu.

“Ini kali pertama dalam sejarah, saya sudah berkhidmata selama... ini kali pertama dilaksanakan tanpa hak perundingan, tiada maklumat terperinci,” katanya lagi.

Mengulas mengenai pendirian kekesalan mereka, Omar berkata, pihaknya hairan kerana kerajaan mengetepikan peranan Cuepacs dan perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Kami amat kesal mengapa ia berlaku sekarang, apabila hendak melaksanakan SBPA. Dulu ketika hendak melaksanakan opsyen berkaitan berpindah dari skim KWSP kepada skim pencen, Cuepacs diajak berunding.

“Begitu juga ketika memansuhkan sistem penilaian PTK dan digantikan dengan Prospek, kami diajak berbincang tetapi sekarang tidak, maklumat disembunyikan, tidak diajak berbincang dan dikatakan sulit. Kami amat kesal,” katanya lagi.

Kata Omar lagi, Cuepacs merasakan tidak wujud ketelusan dalam pelaksanaan SBPA.

Mengenai kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus yang diumumkan oleh Najib ketika pembentangan Bajet 2012, Omar berkata, perkiraan pihaknya menunjukkan sebaliknya.

Ada yang mendakwa menerima perubahan gaji bawah peratusan itu.

“Jelaskan kedudukan kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus ini,” katanya.

No comments: