Saturday, December 24, 2011

Pegawai kastam parah ditembak

Oleh Amirullah Andi Nur
arullah@bharian.com.my
2011/12/24


ANGGOTA Forensik melakukan siasatan di rumah mangsa, semalam.
Serangan dipercayai bermotif balas dendam

MELAKA TENGAH: Seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) cawangan Melaka parah ditembak sekumpulan empat lelaki dipercayai cuba hendak membunuhnya di kediamannya di Jalan Sungai Ayer Hitam B, Tanjung Minyak, dekat sini, pagi semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye, berkata Rosli Aziz, 53, yang bertugas di Pejabat KDRM negeri sebagai pegawai kastam tertinggi di Banda Hilir, di sini, cedera di bahu dan tangan kiri, selepas terkena beberapa das tembakan pistol menggunakan peluru jenis 9mm itu.
Katanya, kejadian yang berlaku kira-kira jam 7 pagi ketika mangsa berada di rumah bersama isterinya, Asmah Abu Samah, 49, dipercayai bermotifkan balas dendam berkaitan dengan operasi kerja beliau sebelum ini.

“Sebuah kereta Iswara Aeroback berwarna merah bersama empat orang muncul secara tiba-tiba di depan rumahnya pada pagi itu. Tiga daripada mereka kemudian keluar dan seorang melepaskan tembakan ke arah mangsa yang kebetulan berada berhampiran pintu pagar.

“Mangsa bagaimanapun sempat melepaskan satu das tembakan ke arah mereka sebelum rebah kerana cedera. Menyangkakan mangsa sudah mati, kumpulan itu kemudian segera beredar,” katanya ketika ditemui selepas meninjau kediaman mangsa semalam.

Rosli yang dipercayai terkena dua das tembakan pada bahu dan tangan dibawa ke Hospital Melaka sejurus selepas kejadian oleh beberapa jiran yang datang membantu selepas menyedari insiden berkenaan.
Sehingga tengah hari semalam, keadaan beliau stabil selepas menerima rawatan lanjut di wad kecemasan. Bagaimanapun pada kira-kira jam 2 petang, beliau terpaksa dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur difahamkan bagi membolehkan pembedahan membuang peluru di bahunya dilakukan.

Ketika kejadian, mangsa difahamkan baru bersiap hendak ke pejabat.

No comments: