Wednesday, March 2, 2011

PENJAWAT AWAM PERLU BIJAK MENGURUSKAN KEWANGAN ELAK BANKRAP - CUEPACS

Bernama
3/2/2011


PUTRAJAYA, 2 Mac (Bernama) -- Seramai 1.2 juta penjawat awam di negara ini, terutama mereka yang berpendapatan sederhana iaitu RM3,500 ke bawah, digesa supaya lebih bijak dalam mengurus kewangan masing-masing agar tidak dibebani hutang, seterusnya diisytihar bankrap.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berkata pendedahan bahawa seramai 1,086 penjawat kerajaan diisytihar bankrap dianggap sebagai angka yang tinggi dan tidak sepatutnya berlaku.

"Apabila seorang penjawat awam diisytihar bankrap, dia akan ditamatkan perkhidmatan dan kesemua faedah termasuk pencen akan ditarik balik.

"Jadi kita nasihatkan kepada penjawat awam agar lihat dulu pendapatan bulanan dan kena berbelanja atas kebijaksanaan. Janganlah sampai menghuru-harakan keluarga apabila diisytihar bankrap nanti," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas perasmian Taklimat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Taklimat Kebankrapan dan Taklimat Bantuan Guaman kepada ahli Cuepacs di Jabatan Perdana Menteri di sini Rabu oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Omar berkata pada masa ini 80 peratus daripada penjawat awam mempunyai pelbagai jenis hutang, termasuk dari bank mahupun koperasi, dan ia dipercayai didorong oleh kebolehan mendapatkan pinjaman dengan mudah melalui status sebagai penjawat awam.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan pengisytiharan bankrap itu disebabkan penjawat awam menjadi penjamin kepada pihak lain yang tidak mampu melangsaikan pinjaman.

Justeru, beliau berkata taklimat pada hari ini diharap dapat memberi lebih penerangan dan kesedaran kepada penjawat awam mengenai kebankrapan agar perkara itu dapat dielakkan pada masa hadapan.

Daripada segi Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 pula, Omar berkata ia untuk memaklumkan penjawat awam bahawa terdapat saluran yang selamat untuk mereka memberi maklumat mengenai sebarang ketirisan dalam perkhidmatan awam.

Ia juga, katanya dijangka dapat mengurangkan sindrom 'surat layang' kerana selain melindungi identiti pelapor, pihak yang melapor juga boleh diambil tindakan sekiranya perkara yang dilapor didapati tidak benar.

Beliau berkata taklimat seperti itu juga akan diadakan di seluruh negara secara berperingkat mengikut zon agar kesemua pemimpin dalam Cuepacs dapat menyertainya dan seterusnya perkara memberi penerangan atau mengadakan seminar untuk memberi penjelasan kepada penjawat awam di bawah seliaan mereka pula.

-- BERNAMA

1,086 PENJAWAT AWAM BANKRAP DAN RAMAI DIBELENGGU HUTANG

Bernama
3/2/2011



PUTRAJAYA, 1 Mac (Bernama) -- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong mendedahkan ramai penjawat awam di negara ini dibelenggu masalah hutang yang serius yang mungkin membawa kepada kebankrapan.

Beliau berkata pada tahun 2009 sahaja, Jabatan Insolvensi Malaysia melaporkan seramai 1,086 penjawat awam diisytiharkan bankrap di mana 72.74 peratus daripadanya adalah lelaki.

"Masalah ini perlu difahami oleh semua penjawat awam kerana belenggu masalah hutang boleh menjejaskan prestasi penjawat awam, dan sekiranya prestasi terjejas dengan teruk maka boleh diambil tindakan tatatertib," katanya ketika merasmikan Taklimat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Taklimat Kebankrapan dan Taklimat Bantuan Guaman kepada ahli Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di Jabatan Perdana Menteri di sini Rabu.

Turut hadir pada majlis anjuran Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Jabatan Bantuan Guaman dan Jabatan Insolvensi Malaysia itu adalah Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.

Justeru Liew berkata taklimat tersebut diadakan bagi memberi pendedahan kepada penjawat awam bagaimana untuk menangani isu-isu berkaitan dengan hutang dan kebankrapan.

Beliau berkata ia juga bagi memberi penerangan mengenai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat yang telah diluluskan oleh Parlimen tahun lepas dan telah mula dikuatkuasakan pada 15 Disember tahun yang sama, serta taklimat mengenai Bantuan Guaman untuk penjawat awam.

"Ahli-ahli Cuepacs yang berpendapatan kurang dari RM25,000 setahun boleh mendapat perkhidmatan guaman percuma daripada Jabatan Bantuan Guaman dalam kes-kes seperti petisyen perceraian, tuntutan nafkah, tuntutan harta sepencarian, hak penjagaan anak dan lain-lain masalah kekeluargaan.

"Sekiranya pendapatan lebih RM25,000 tetapi tidak lebih RM30,000 mereka hanya akan dikenakan bayaran minimum," katanya.

-- BERNAMA

No comments: