Thursday, March 31, 2011

Penghuni dapat RM2,000


Penghuni kuarters Jalan Cochrane diberi tempoh seminggu lagi

KUALA LUMPUR 30 Mac - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melanjutkan tempoh pemindahan penghuni kuarters kerajaan Jalan Cochrane di sini sehingga 7 April ini.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz berkata, lanjutan seminggu itu adalah bagi membolehkan mereka menerima surat tawaran rumah yang disediakan.

Seramai 183 penghuni akan berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam manakala 56 lagi ke PPR Kampung Muhibbah.

Penghuni selebihnya daripada 382 jumlah keseluruhan penghuni di Blok A dan B itu akan berpindah ke kuarters kerajaan di Putrajaya dan Jalan Duta.

"Tempoh yang ada sebelum surat tawaran diserahkan akan digunakan oleh DBKL untuk membaik pulih rumah yang ditawarkan supaya penghuni dapat masuk ke rumah yang lebih baik dan selesa.

"Penduduk akan tinggal di perumahan itu sehingga pembangunan di kawasan kuarters kerajaan Jalan Cochrane ini siap dan mereka akan dibenarkan untuk pulang semula ke sini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai perkara itu di Menara DBKL, Jalan Raja Abdullah di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Perumahan DBKL, Sukiman Surahman dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Hasnol Zam Zam Ahmad.

Sementara itu, Hasnol berkata, pihak BPH telah membuka bilik gerakan di kuarters itu bagi melancarkan urusan perpindahan penduduk serta memudahkan mereka mendapatkan bantuan perkhidmatan lori secara percuma.

Tambahnya, wang perbelanjaan perpindahan sebanyak RM2,000 juga turut diberikan kepada penduduk yang berpindah bagi meringankan beban mereka.


Harian Metro, 31 Mac 2011

KUALA LUMPUR: Seramai 183 keluarga kakitangan kerajaan bakal berpindah dari kuarters kerajaan Jalan Cochrane ke kuarters Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Alam, dekat sini, bermula 8 April ini.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mohd Amin Nordin Abd Aziz, berkata semua penghuni boleh mula berpindah selepas kerja membaik pulih kuarters itu selesai pada 7 April ini.


“Selepas proses cabutan undi minggu lalu kita akan keluarkan surat tawaran kepada mereka yang berpindah bagi membolehkan keluarga berkenaan memindah barang ke kuarters itu.

“Buat masa ini, kita sedang membaik pulih unit yang mengalami beberapa kerosakan kecil sebelum memberi kebenaran kepada penghuni menduduki kuarters di Sri Alam,” katanya ketika sidang media di Menara DBKL, di sini, semalam.


Hadir sama, Setiausaha Bahagian Pengurusan Hartanah Jabatan Perdana Menteri, Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Ja’apar Mansor.


Menurut Mohd Amin, kos perpindahan turut disediakan termasuk lori bagi mengangkut barang juga diberikan secara percuma kepada penghuni yang berpindah.


Penghuni yang mahu berpindah perlu menetapkan tarikh masing-masing untuk menggunakan perkhidmatan lori mengangkut barang dalam masa seminggu selepas mendapat surat tawaran berpindah.


“Pilih tarikh untuk berpindah dalam masa seminggu selepas mendapat surat tawaran dan maklumkan kepada DBKL untuk pemindahan.

“Wang sagu hati sebanyak RM2,000 juga akan diberi kepada setiap keluarga bagi menanggung kos perpindahan setiap penghuni,” katanya.


Sementara itu, seramai 56 keluarga dari kalangan pesara kerajaan turut dipindahkan ke PPR Muhibbah atas budi bicara kerajaan.


“Keluarga pesara yang sudah hilang kelayakan menghuni kuarters kerajaan turut diberi peluang dan kita tawarkan mereka di PPR Muhibbah bagi menjaga kebajikan pesara kerajaan,” kata Mohd Amin.

No comments: