Friday, December 24, 2010

PENJAWAT AWAM JADI AHLI CUEPACS SECARA AUTOMATIK

Utusan Malaysia
24/12/2010


KUALA LUMPUR 23 Dis. - Konvensyen Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang berakhir hari ini mencapai kata putus untuk memastikan semua penjawat awam yang layak menjadi ahlinya secara automatik.

Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, pihaknya akan memaklumkan hasrat berkenaan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dalam masa terdekat.

"Kita sasarkan pada 2011 semua penjawat awam yang layak akan menjadi ahli kerana kita tidak mahu ada yang menentang perjuangan CUEPACS.

"Daripada jumlah keseluruhan penjawat awam, terdapat 900,000 yang layak menjadi ahli namun pada masa ini hanya kira-kira 500,000 orang sahaja yang telah mendaftar," katanya.

Beliau ditemui pemberita sejurus Konvensyen Tritahunan kali Ke-25 CUEPACS yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya (UM), di sini, ditangguhkan petang ini.

Konvensyen berkenaan turut membabitkan proses pemilihan kepimpinan CUEPACS bagi penggal 2010 hingga 2013 yang menyaksikan Omar berjaya mempertahankan jawatannya untuk penggal kedua menewaskan Presiden Kesatuan Kakitangan Am MARDI (Kekam), Ramli Omar.

Omar memperoleh 816 undi manakala pencabarnya mendapat 154 undi sahaja.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga akan berusaha untuk memastikan semua kesatuan dalam perkhidmatan awam menjadi ahli gabungan CUEPACS.

Katanya, pada masa ini sebanyak 79 kesatuan sudah menjadi ahli gabungan manakala 12 kesatuan lagi dalam proses pertimbangan.

"Terdapat lebih daripada 50 kesatuan yang belum membuat permohonan berikutan kutipan yuran yang masih rendah," katanya.

Sementara itu, Omar melahirkan harapan supaya kerajaan mendahulukan ahli-ahli CUEPACS dalam mempertimbangkan kenaikan pangkat, peluang latihan mahupun pemberian bonus.

Katanya, ia kerana terdapat segelintir penjawat awam yang tidak menghargai perjuangan CUEPACS termasuklah melemparkan kritikan apabila sesuatu desakan tidak berjaya namun tidak pula mengucapkan terima kasih apabila desakan itu dipenuhi kerajaan.

"Kita juga tidak mahu ahli kita yang ada potensi dan kreatif diketepikan manakala bukan ahli dilantik ke jawatan yang lebih baik hanya kerana selalu berdampingan dengan pihak atasan," tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, konvensyen berkenaan, bersetuju untuk menubuhkan unit penyelidikan dan pembangunan (R&D) hal ehwal penjawat awam.

Katanya, ia bagi memenuhi hasrat ahli yang mahu melihat CUEPACS berjuang secara tersusun dan bertindak dengan lebih cekap.

No comments: