Tuesday, May 25, 2010

45,000 KAKITANGAN AWAM TIPU SIJIL CUTI SAKIT

Berita Harian
2010/05/25


PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) semalam mendedahkan kira-kira 45,000 atau tiga peratus daripada 1.5 juta kakitangan awam menggunakan sijil cuti sakit palsu untuk ponteng kerja. Presidennya, Omar Osman, berkata ada juga segelintir kakitangan awam mengambil cuti sakit kerana melakukan kerja sampingan.
"Kita tidak menghalang mencari pendapatan tambahan, tetapi biarlah kerja sampingan itu tidak mengganggu tugas hingga menjejaskan produktiviti," katanya ketika ditemui selepas kunjungan hormat ke atas Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan di sini, semalam.
Sehubungan itu, beliau mahu perbuatan itu dipantau bagi mengelak ia bertambah kronik. Omar berkata, berdasarkan Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kakitangan yang didapati menggunakan sijil cuti sakit palsu, boleh dikenakan tindakan tatatertib seperti turun pangkat atau dibuang kerja. "Kita menyarankan Panel dan Pegawai Perubatan supaya memberi sijil cuti sakit kepada mereka yang betul-betul memerlukannya," katanya. Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, berkata setakat ini pihaknya tidak menerima laporan daripada mana-mana jabatan mengenai peratus kakitangan yang menggunakan sijil cuti sakit palsu. “Kita ada menghantar surat kepada jabatan untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap kakitangan yang menggunakan sijil cuti sakit palsu," katanya kepada Berita Harian.

TIGA PERATUS PENJAWAT AWAM PALSUKAN SIJIL CUTI SAKIT

Bernama
2010/05/24


PUTRAJAYA: Tiga peratus daripada kira-kira 1.2 juta penjawat awam didapati memalsukan sijil cuti sakit mereka, kata Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs). Presidennya, Omar Osman, berkata kes berkenaan walaupun boleh dianggap terpencil tetapi perlu dipandang serius kerana ia boleh mencemarkan nama semua penjawat awam di negara ini.
Katanya, pemalsuan sijil cuti sakit bertentangan dengan etika kerja perkhidmatan awam yang tertakluk kepada kecemerlangan dan integriti dalam menjalankan tugas.
"Mereka sepatutnya memberikan sijil cuti sakit yang sah yang diperakukan oleh pegawai perubatan kerajaan atau swasta yang membolehkan atau melayakkan mereka menikmati kemudahan cuti sakit oleh majikan. "Kegagalan untuk berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dibuang kerja jika didapati bersalah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM) di sini hari ini. Turut hadir pada pertemuan itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Solah Mat Hassan. Omar diminta mengulas mengenai pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang memberikan amaran terhadap kegiatan pemalsuan sijil cuti sakit oleh segelintir penjawat awam. Katanya, kegiatan seumpama itu boleh menyebabkan penjawat awam yang terbabit kehilangan segala kelebihan dan faedah yang diperolehi hasil berkhidmat dengan kerajaan. "Mereka yang dibuang kerja kerana perkara ini akan kehilangan peluang untuk menikmati wang persaraan, pinjaman perumahan dan beberapa kemudahan lain," katanya. Omar berkata, beliau percaya ada pihak terbabit dalam membekalkan sijil cuti sakit palsu yang menyamai sijil cuti sakit tulen daripada pegawai perubatan kerajaan atau swasta. "Gejala seperti ini perlu segera dibanteras supaya tidak terus menular dan menjadi budaya yang tidak sihat di kalangan penjawat awam," katanya. - Bernama

No comments: