Tuesday, May 25, 2010

45,000 KAKITANGAN AWAM TIPU SIJIL CUTI SAKIT

Berita Harian
2010/05/25


PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) semalam mendedahkan kira-kira 45,000 atau tiga peratus daripada 1.5 juta kakitangan awam menggunakan sijil cuti sakit palsu untuk ponteng kerja. Presidennya, Omar Osman, berkata ada juga segelintir kakitangan awam mengambil cuti sakit kerana melakukan kerja sampingan.
"Kita tidak menghalang mencari pendapatan tambahan, tetapi biarlah kerja sampingan itu tidak mengganggu tugas hingga menjejaskan produktiviti," katanya ketika ditemui selepas kunjungan hormat ke atas Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan di sini, semalam.
Sehubungan itu, beliau mahu perbuatan itu dipantau bagi mengelak ia bertambah kronik. Omar berkata, berdasarkan Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kakitangan yang didapati menggunakan sijil cuti sakit palsu, boleh dikenakan tindakan tatatertib seperti turun pangkat atau dibuang kerja. "Kita menyarankan Panel dan Pegawai Perubatan supaya memberi sijil cuti sakit kepada mereka yang betul-betul memerlukannya," katanya. Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, berkata setakat ini pihaknya tidak menerima laporan daripada mana-mana jabatan mengenai peratus kakitangan yang menggunakan sijil cuti sakit palsu. “Kita ada menghantar surat kepada jabatan untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap kakitangan yang menggunakan sijil cuti sakit palsu," katanya kepada Berita Harian.

TIGA PERATUS PENJAWAT AWAM PALSUKAN SIJIL CUTI SAKIT

Bernama
2010/05/24


PUTRAJAYA: Tiga peratus daripada kira-kira 1.2 juta penjawat awam didapati memalsukan sijil cuti sakit mereka, kata Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs). Presidennya, Omar Osman, berkata kes berkenaan walaupun boleh dianggap terpencil tetapi perlu dipandang serius kerana ia boleh mencemarkan nama semua penjawat awam di negara ini.
Katanya, pemalsuan sijil cuti sakit bertentangan dengan etika kerja perkhidmatan awam yang tertakluk kepada kecemerlangan dan integriti dalam menjalankan tugas.
"Mereka sepatutnya memberikan sijil cuti sakit yang sah yang diperakukan oleh pegawai perubatan kerajaan atau swasta yang membolehkan atau melayakkan mereka menikmati kemudahan cuti sakit oleh majikan. "Kegagalan untuk berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dibuang kerja jika didapati bersalah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM) di sini hari ini. Turut hadir pada pertemuan itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Solah Mat Hassan. Omar diminta mengulas mengenai pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang memberikan amaran terhadap kegiatan pemalsuan sijil cuti sakit oleh segelintir penjawat awam. Katanya, kegiatan seumpama itu boleh menyebabkan penjawat awam yang terbabit kehilangan segala kelebihan dan faedah yang diperolehi hasil berkhidmat dengan kerajaan. "Mereka yang dibuang kerja kerana perkara ini akan kehilangan peluang untuk menikmati wang persaraan, pinjaman perumahan dan beberapa kemudahan lain," katanya. Omar berkata, beliau percaya ada pihak terbabit dalam membekalkan sijil cuti sakit palsu yang menyamai sijil cuti sakit tulen daripada pegawai perubatan kerajaan atau swasta. "Gejala seperti ini perlu segera dibanteras supaya tidak terus menular dan menjadi budaya yang tidak sihat di kalangan penjawat awam," katanya. - Bernama

Wednesday, May 12, 2010

MEB: NAIKKAN GAJI SEJUTA KAKITANGAN AWAM

Sinar
10/5/2010


KOTA BHARU - Menaikkan gaji sejuta kakitangan awam di negara ini menjadi antara elemen utama bagi menjayakan Model Ekonomi Baru (MEB) kata Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein. Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan hasrat MEB untuk menjadikan pendapatan rakyat di negara ini daripada golongan berpendapatan sederhana kepada rakyat yang berpendapatan tinggi. “Langkah ini pernah dilaksanakan di Singapura beberapa tahun dahulu yang bertujuan untuk meningkatkan produktiviti sektor awam sekali gus menjamin pelaksanaan pembangunan yang cemerlang. “Singapura telah menetapkan pendapatan gaji sektor awam yang tinggi dan selesa sehingga mereka berjaya meningkatkan prestasi ekonomi melalui meningkatkan motivasi pekerja. Maka penjawat awam di negara tidak boleh diabaikan,” katanya ketika berucap merasmikan penutup mesyuarat agung tiga tahunan kesatuan perkhidmatan teknik semenanjung Malaysia Cawangan Kelantan, di sini, semalam. Awang Adek berkata, kerajaan akan mengambil langkah tertentu bagi memastikan gaji para pekerja dinaikkan selaras dengan matlamat Model Ekonomi Baru (MEB) untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi. Beliau berkata, 80 peratus rakyat di negara ini berpendapatan RM3,000 ke bawah sebulan atau dolar US$7,000 setahun. “Menjadi hasrat kerajaan untuk meningkatkan pendapatan rakyat negara ini kepada US$15,000 hingga US$20,000 setahun,” katanya. Beliau secara purata kini 80 peratus rakyat di negara ini memperoleh RM21,000 setahun dan dengan pelaksanaan MEB itu, kerajaan berhasrat untuk meningkatkan pendapatan rakyatnya kepada RM45,000 setahun.

Monday, May 10, 2010

MAJLIS PERHIMPUNAN PENJAWAT AWAM TAHUN 2010 DI TUNDA DARI 13 MEI KEPADA 14 MEI 2010

MAJLIS PERHIMPUNAN PENJAWAT AWAM TAHUN 2010 DI TUNDA DARI 13 MEI KEPADA 14 MEI 2010
Media Cuepacs
7/5/2010


Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Tahun 2010 ditunda dari 13 Mei ke 14 Mei 2010. Sekian dimaklumkan.

BERI IMBUHAN KENAIKAN PANGKAT BERGANTUNG PADA NILAI RASUAH - CUEPACS

BERI IMBUHAN KENAIKAN PANGKAT BERGANTUNG PADA NILAI RASUAH - CUEPACS
Bernama
10/5/2010




KOTA BAHARU, 9 Mei (Bernama) -- Pegawai kerajaan yang menolak rasuah wajar dihargai melalui pemberian imbuhan yang lebih kekal dalam bentuk kenaikan pangkat dan bukan wang tunai, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman.Sambil menyifatkan pemberian imbuhan itu adalah satu usaha baik untuk menghargai keberanian pegawai kerajaan yang menolak rasuah, Omar bagaimanapun berkata, imbuhan kenaikan pangkat itu perlu diberi berdasarkan nilai atau jumlah sogokan rasuah yang ditawarkan."Cuepacs setuju Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) nak bagi imbuhan dan kita bagi cadangan, beri imbuhan bukan dalam bentuk wang tunai tetapi kenaikan pangkat."Kenaikan pangkat itu pula tengok kepada apa bentuk rasuah dan berapa nilainya contoh RM300,000; itu satu jumlah yang besar yang membuktikan pegawai kerajaan yang menolak rasuah itu ada integriti yang tinggi, justeru itu perlunya dipertimbangkan kenaikan pangkat," katanya.Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Mesyuarat Agung Tiga Tahunan Kesatuan Perkhidmatan Teknik Semenanjung Malaysia Cawangan Kelantan di sini pada Ahad.Omar berkata, memberi imbuhan kenaikan pangkat itu hanyalah satu cadangan manakala imbuhan lain bergantung kepada mekanisme yang ditetapkan SPRM sendiri.Dalam perkembangan lain Omar berkata Cuepacs meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempercepatkan kelulusan kenaikan skim gaji juruteknik yang berjumlah 45,000 orang di negara ini."Ini bagi menjamin produktiviti yang lebih baik. Kenaikan gred perlu kerana sudah 19 tahun (juruteknik) tidak mengalami kajian semula gred mereka," katanya.-- BERNAMA

IMBUHAN PANGKAT BUKAN WANG
Utusan Malaysia
10/5/2010




KUALA LUMPUR 7 Mei - Cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi imbuhan kepada pegawai kerajaan yang mengambil tindakan ke atas orang yang cuba memberi rasuah kepada mereka mampu mengurangkan kegiatan itu di kalangan kakitangan awam.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, cadangan itu adalah baik tetapi imbuhan itu seeloknya bukan berbentuk wang ringgit sebaliknya dalam bentuk kenaikan pangkat.
''Ini kerana pegawai yang mengambil tindakan terhadap pemberi rasuah adalah kakitangan yang mempunyai integriti dan selayaknya beliau diberi peluang kenaikan pangkat,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan SPRM yang mahu memberi imbuhan kepada pegawai kerajaan yang menolak rasuah sebagai menghargai jasa mereka membanteras aktiviti tidak sihat itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed hari ini berkata, pihaknya dan kerajaan sedang menyediakan draf kaedah yang bersesuaian berhubung pemberian imbuhan tersebut.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahrir Syed Mohamud pula berkata, walaupun pihaknya menyambut baik cadangan itu, namun ia tidak boleh dilaksanakan secara 'ad hoc' kerana ia melibatkan implikasi undang-undang.
''Cadangan ini bagus tetapi saya khuatir ada pihak yang berkepentingan menggunakan peluang ini untuk menganiaya orang lain dengan tuduhan rasuah dan sebagainya.
''Perkara seperti ini memerlukan penelitian khusus kerana kesalahan rasuah bukan isu kecil tetapi melibatkan soal maruah seseorang,'' jelasnya.
Tambah beliau, jika SPRM ingin meneruskan cadangan tersebut, imbuhan itu hanya boleh diberikan kepada pegawai kerajaan selepas mahkamah berjaya membuktikan tertuduh bersalah.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Ma'amor Osman berharap jika cadangan itu dilaksanakan, ia digunakan sepenuhnya oleh pegawai kerajaan bagi membanteras rasuah.
Katanya, inilah masanya bagi semua kakitangan awam berlumba-lumba menolak rasuah kerana imbuhan yang diterima bukan sahaja dalam bentuk pahala tetapi juga turut menikmati penghargaan daripada pihak berkuasa dan kerajaan.
''Langkah ini cukup baik tetapi pengadu atau pun pegawai kerajaan yang menolak rasuah harus dilindungi identitinya demi keselamatan mereka,'' katanya.

Wednesday, May 5, 2010

SYARAT BERSARA PILIHAN BUKAN TETAP

Berita Harian
Oleh Azman Zakaria
azmanz@bharian.com.my
2010/05/03

Langkah perketat hanya sementara, ditarik balik jika ekonomi pulih

KUALA LUMPUR: Syarat permohonan bersara pilihan kakitangan awam Persekutuan, negeri dan badan berkanun serta tempatan yang diperketatkan dan diperkenalkan 1 Februari lalu, akan ditarik balik apabila kedudukan ekonomi dan kewangan semasa negara pulih.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, berkata meskipun syarat permohonan bersara pilihan diperketatkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), namun mereka yang benar-benar memenuhi syarat seperti memerlukan wang untuk kesihatan, pendidikan atau mengelak daripada bankrap, boleh mendapatkan bayaran ganjaran sekali gus ketika bersara pilihan.
“Syarat yang diperkenalkan itu adalah langkah sementara saja. “Ia akan ditarik balik apabila ekonomi negara bertambah baik,” katanya ketika dihubungi. Baru-baru ini, Pengarah Bahagian Pasca Perkhidmatan JPA, Datuk Yeow Chin Kiong, berkata JPA mengetatkan permohonan bersara pilihan kakitangan awam itu berikutan kedudukan kewangan semasa negara, selain mengelakkan kekurangan pegawai terlatih bagi mengendalikan inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP). Katanya, antara syarat baru yang diperkenalkan mulai 1 Februari lalu ialah kakitangan perlu bersetuju menerima hanya 20 peratus ganjaran atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi ketika bersara pilihan, berbanding bayaran sekali gus seperti yang dibuat sebelum ini. Baki ganjaran akan dibayar bergantung kepada keputusan kerajaan, tetapi tidak melampaui usia bersara wajib pekerja terbabit. Bagaimanapun, wang gantian cuti rehat dan pencen bulanan dibayar mengikut undang-undang. Kali pertama JPA mengambil langkah sama ialah pada 1998 berkuat kuasa selama 18 bulan. Ekoran itu, Cuepacs telah mengadakan perbincangan dengan JPA bagi membincangkan semula syarat baru bersara pilihan yang disifatkannya tidak adil kepada kakitangan awam. Presidennya, Omar Osman ketika dihubungi berkata, pada pertemuan antara Cuepacs dan JPA baru-baru ini, JPA memberi jaminan bahawa pelaksanaan syarat baru itu adalah bagi jangka pendek saja. “Cuepacs sangat berharap pelaksanaan syarat baru itu hanya sehingga hujung tahun ini saja dan dapat ditarik balik awal Januari tahun depan,” katanya. Pada pertemuan itu juga, katanya, Cuepacs mahu supaya faedah pinjaman perumahan kakitangan awam sebanyak empat peratus sekarang ini diturunkan kepada satu peratus. Katanya, ia kerana kadar faedah pinjaman perumahan empat peratus sekarang yang dilaksanakan sejak kira-kira 30 tahun lalu hanya sesuai ketika harga rumah jauh lebih rendah daripada sekarang ini. “Harga rumah sekarang adalah jauh lebih mahal. “Bagi kakitangan awam berpendapatan sederhana dan rendah, bayaran balik bulanan pada kadar empat peratus itu adalah tinggi,” katanya.

Sunday, May 2, 2010

CUEPACS PASTIKAN 1-3 JUTA PEKERJA JAYAKAN HASRAT PM

Berita Harian
Oleh Azman Mahmood
azmanm@bharian.com.my
2010/05/02



SUBRAMANIAM menyampaikan Anugerah Kesatuan Cemerlang kepada Sarawak Medical Service Union yang diwakili Cecilia Yong Mee Chai (kiri) Euqene Pang Kia Heng (dua dari kanan) sambil diperhatikan Omar (kanan) pada majlis Sambutan Hari Pekerja Sektor Awam anjuran Cuepacs di Stadium Negeri Kuala Terengganu, semalam.Kesatuan minta ubah Kumpulan Sokongan kepada Pelaksana

KUALA TERENGGANU: Cuepacs akan memastikan 1.3 juta kakitangan awam mengubah pendekatan dan cara bekerja bagi memenuhi hasrat Datuk Seri Najib Razak yang mahu pekerja di negara ini menjadikan kreativiti dan penciptaan semula sebagai fokus tahun ini dalam usaha meningkatkan produktiviti dan transformasi ekonomi negara.
Presidennya, Omar Osman, berkata Cuepacs sedang bergerak ke arah itu dengan sasaran melihat setiap kakitangan awam memahami tuntutan kerja yang bukan lagi berasas arahan tetapi perlu kreatif, berinovasi dan produktif.
"Kita menyokong saranan Perdana Menteri supaya pekerja lebih kreatif serta berinovasi yang boleh membawa kepada peningkatan mutu kerja dan ekonomi negara apabila produktiviti meningkat. "Seluruh kakitangan awam bergerak ke arah itu dengan membuat anjakan paradigma untuk menjadi pekerja berinovasi, kreatif dan produktif yang selaras harapan Najib," katanya selepas majlis Sambutan Hari Pekerja Sektor Awam 2010 anjuran Cuepacs, di sini semalam. Sambutan bertemakan Kebajikan Cemerlang, Gagasan Malaysia Terbilang itu dirasmikan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam. Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Timbalan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Zakaria Jaafar dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Dr Alias Isma. Katanya, sejajar dengan hasrat pemimpin negara, Cuepacs akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk menukar status kakitangan awam Kumpulan Sokongan Gred 1 hingga 40 kepada nama baru dikenali Kumpulan Pelaksana. Beliau berkata, nama Kumpulan Sokongan tidak sesuai lagi kerana apa saja arahan yang dikeluarkan pihak atasan akan dilaksanakan oleh kakitangan gred berkenaan. Semalam, Najib dalam amanat Hari Pekerja 2010 menggesa pekerja negara ini menjadikan kreativiti dan penciptaan semula sebagai fokus tahun ini dalam usaha meningkatkan produktiviti dan transformasi ekonomi negara. Katanya, dengan menginovasikan produk proses merangkumi semua sektor ekonomi, negara dan rakyat mampu meningkatkan kekayaan serta daya saing pada peringkat dunia serta mampu berdiri sama tinggi dengan negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Finland. Sementara itu, Cuepacs mendedahkan ada ketua jabatan sektor awam yang baru, mula memperlekehkan kesatuan itu serta pemimpinnya, termasuk menyifatkan Cuepacs seperti pertubuhan haram yang tidak berdaftar. Presidennya, Omar Osman yang kecewa dengan sikap ketua jabatan berpandangan sedemikian, berkata mereka sepatutnya sedar kejayaan sesebuah jabatan amat bergantung kepada tugas kakitangannya dan perjuangan Cuepacs untuk menjadikan sektor awam berwibawa dan dihormati. Katanya, apa saja yang diperjuangkan Cuepacs seperti tuntutan kenaikan gaji, kemudahan perubatan dan elaun juga adalah untuk kakitangan awam, bukan berbentuk menekan kerajaan. "Kita tahu (siapa mereka) dan apabila kita nak bincang isu berbangkit, mereka hanya hantar wakil... buang masa saja. Malah, ada ketua jabatan menyifatkan perjuangan Cuepacs adalah haram seperti badan tidak berdaftar. Kita sedang siasat dan jika benar akan mengambil tindakan sewajarnya.