Monday, May 28, 2012


RAMAI PENJAWAT AWAM TIDAK MAMPU MILIKI RUMAH SENDIRI - CUEPACS

Bernama
27/5/2012

MACHANG, 27 Mei (Bernama) -- Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendapati kira-kira 60 peratus penjawat awam yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan, terutama di Lembah Klang, tidak mampu memiliki rumah sendiri.

Setiausaha Kewangan Cuepacs, Jaapar Mansor berkata fenomena itu akan berterusan jika kerajaan tidak mengambil langkah tertentu, termasuk mengurangkan kadar faedah pinjaman dan menaikkan gaji kakitangan awam terbabit.

"Kadar faedah pinjaman perumahan 4 peratus yang dikenakan institusi kewangan ke atas penjawat awam pada masa ini wajar diturunkan kepada 1 peratus," katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Beliau tidak menolak kemungkinan penjawat awam yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan hanya mampu menyewa atau memiliki rumah kos rendah bertaraf Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Jaapar yang juga Pengerusi Cuepacs Selangor berkata, saranan supaya kerajaan menurunkan kadar faedah pinjaman perumahan itu adalah antara tuntutan yang pernah dikemukakan kongres itu kepada kerajaan sebelum ini.

"Walaupun ia bukan merupakan tuntutan utama Cuepacs, namun ia akan terus diperjuangkan oleh penjawat awam melalui kongres itu," katanya .

Kongres itu juga sedang melancarkan gerakan mengesan penjawat awam yang belum memiliki rumah di seluruh negara untuk dijadikan garis panduan untuk tindakan yang akan diambil demi kebajikan anggotanya.

Sementara itu, beliau berkata Cuepacs mahu kerajaan mempercepatkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Mengkaji Skim Gaji dan Elaun Penjawat Awam seperti yang diumumkan Perdana Menteri 8 Mac lepas.

Kongres juga akan terus mengadakan gerakan penerangan kepada anggotanya ke seluruh negara mengenai peluang yang dinikmati mereka melalui penambahbaikan Skim Saraan Baru (SSB).

-- BERNAMA

500,000 PESARA DISARAN ANGGOTAI KELAB KESATUAN PESARA KERAJAAN

Bernama
27/5/2012


MACHANG, 26 Mei (Bernama) -- Kesemua 500,000 penjawat awam yang bersara daripada jawatan kerajaan disaran supaya menyertai kesatuan baru yang diwujudkan iaitu Kelab Kesatuan Pesara Kerajaan Malaysia (KUPEKMAS) bagi membolehkan kesatuan itu membela nasib mereka.

Setiausaha Kewangan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Jaapar Mansor berkata kira-kira 300,000 daripada jumlah pesara itu terdiri daripada mereka yang berkhidmat dalam kumpulan pelaksana iaitu Gred 40 ke bawah.

"Dengan menjadi anggota kesatuan itu mereka dapat menjalankan aktiviti untuk menolong nasib masa depan selepas bersara dari pelbagai jawatan kerajaan," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Majlis Himpunan Kasih Pesara Kerajaan/Badan Berkanun peringkat jajahan Machang di sini Sabtu.

Katanya walaupun terdapat ramai bekas penjawat awam yang bersara di seluruh negara dan menganggotai banyak kesatuan tetapi mereka tidak bergerak atas satu badan gabungan.

Beliau berkata antara tuntutan bekas penjawat awam ialah menseragamkan bayaran pencen untuk kakitangan awam yang berkhidmat di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan pesara tentara atau polis.

-- BERNAMA

1 comment:

FAST LOAN OFFER whats-App +918929509036 said...

Do you need Finance? Are you looking for Finance? Are you looking for finance to enlarge your business? We help individuals and companies to obtain finance for business expanding and to setup a new business ranging any amount. Get finance at affordable interest rate of 3%, Do you need this finance for business and to clear your bills? Then send us an email now for more information contact us now via (financialserviceoffer876@gmail.com) whats-App +918929509036 Dr James Eric Finance Pvt Ltd Thanks