Monday, April 23, 2012

Bantu kerajaan sebar GTP

Borneo Post
21/4/2012

 
Penjawat awam harus sedia hadapi agenda transformasi
MIRI: Para penjawat awam di negeri ini digesa supaya sentiasa mengorak langkah untuk membantu kerajaan dalam usaha menyebarluaskan Program Transformasi Kerajaan (GTP) hingga  ke peringkat akar umbi dalam usaha membangunkan negara dan bangsa khususnya Sarawak.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datu Misnu Taha berkata, sejajar usaha kerajaan untuk melonjak serta merancakkan pembangunan di negeri ini, setiap penjawat awam perlu menghadapi agenda transformasi era globalisasi ini dalam situasi kesiapsiagaan yang sewajarnya.
“Dalam konteks ini, adalah disarankan agar semua penjawat awam di negeri ini sentiasa berusaha mempertingkatkan ilmu dan kemahiran diri dalam apa jua bidang yang sesuai dengan tuntutan zaman kini,” ujar beliau lanjut.
Justeru, tegas beliau, dalam usaha pihak kerajaan untuk memastikan agar agenda yang dihasratkan ini menjadi realiti, komitmen semua pihak sama ada pihak pemimpinan atasan mahupun anggota bawahan adalah amat dihargai.
“Sehubungan itu, sokongan padu dan mantap daripada seluruh penjawat awam akan memperkukuhkan lagi nada gagasan yang dilaungkan,” katanya.
Misnu berkata demikian pada ucaptamanya semasa merasmikan Seminar CUEPACS Bahagian Sarawak yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini pagi semalam.
Seminar sehari itu yang bertemakan ‘Ke Arah Transformasi Penjawat Awam di Sarawak’ dihadiri sermai 120 orang penjawat awam yang mewakili pelbagai jabatan kerajaan di bahagian Miri.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Pusat Azih Muda, Setiausaha Kewangan CUEPACS Jaafar Mansor, Pengerusi CUEPACS Bahagian Sarawak Cecillia Yong Mee Chai dan Timbalan Residen Abdul Aziz Mohd Yusof.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis sama, Jaafar menasihatkan para penjawat awam agar sentiasa mengamalkan budaya berjimat cermat ketika berbelanja meskipun telah menerima pelaksanaan gaji baharu di bawah Sistem Saraan Baru (SSB) yang ditambah baik.
“Kita minta penjawat awam supaya berbelanja ikut kemampuan. Simpan-simpanlah sikit untuk keperluan masa depan kerana kita tidak tahu ada atau tidak kenaikan pada tahun depan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, CUEPACS amat mengambil berat tentang kebajikan para penjawat awam dan tidak mahu dilabelkan sebagai pihak yang suka meminta-minta.

No comments: