Saturday, March 10, 2012

PEMBATALAN SBPA DISAMBUT BAIK


Wartawan Sinar Harian
8 Mac 2012



SHAH ALAM - Keputusan kerajaan membatalkan perlaksanaan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengekalkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) membuktikan pemimpin negara, khususnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengiktiraf suara rakyat.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pembatalan SBPA bukan sahaja dinantikan, malah perlu memandangkan agensi kerajaan tidak memahami peranan dan kehendak masyarakat umum serta gagal mencari kata putus dengan wakilnya iaitu Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

"Apabila SBPA dibatalkan, ini menunjukkan PM mengotakan janjinya melalui slogan rakyat didahulukan. Beliau mahu SSM dikembalikan kepada kakitangan awam dengan beberapa penambahbaikan.

"Apa yang saya lihat, agensi kerajaan perlu memahami kehendak kakitangannya dan turut mengiktiraf suara Cuepacs. Saya harap, pada masa depan, kita semua belajar cara PM kendalikan urusan ini," katanya.

Menurutnya, dalam sistem negara moden, tiga perkara yang perlu diberi keutamaan untuk memastikan pembangunan negara berjaya dilaksanakan iaitu kerajaan, perniagaan dan masyarakat.

Mengulas mengenai konsep itu, beliau berkata, agensi kerajaan perlu mengiktiraf sektor lain dan setiap perundingan dengan mereka (Cuepacs) perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan tidak hanya 'melepas batuk di tangga'.

Pengerusi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Cawangan Kedah, Mohd Fadzil Md Isa berkata, keputusan kerajaan membatalkan SBPA disifatkan sebagai satu langkah yang memberi faedah kepada semua penjawat awam di negara ini.
Mohd Fadzil mengalu-alukan keputusan itu namun berharap agar penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) turut merangkumi aspek kebajikan.

"Secara keseluruhannya, kami gembira dan bersetuju dengan keputusan membatalkan SPBA. Bagaimanapun kebajikan guru dan kakitangan awam secara keseluruhannya perlu dititikberatkan jika ingin melakukan penambahbaikan dalam SSM," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Setiausaha Kehormat NUTP Kedah, Wang Heng Suan pula berkata, Kerajaan Pusat juga diminta mengkaji semula tangga gaji kumpulan yang berada pada tahap maksimum.

"Untuk golongan pendidik, mungkin ada pertukaran kepada gred baru tetapi bagi kakitangan kerajaan yang lain, tangga gaji mereka kekal kerana sudah mencapai tahap maksimum. Mungkin kajian menambahkan tangga gaji boleh dilakukan," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pesara-pesara Kerajaan Malaysia negeri Kedah, Datuk Harun Hashim berkata, pihaknya sentiasa menyokong perubahan yang dilakukan asalkan ia membawa manfaat kepada semua kakitangan kerajaan.

"Namun, jika perkhidmatan kakitangan kerajaan masih belum mencapai tahap ditetapkan, perlu ada pengawasan yang baik daripada pihak atasan. Insentif perlu diberikan mengikut keadaan semasa (akibat kenaikan harga barang), namun dalam masa sama penjawat awam perlu memberikan khidmat terbaik," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusoff Ismail berkata, golongan peniaga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan di sebalik pengumuman kenaikan gaji kakitangan kerajaan.
Menurutnya, kenaikan harga barang seakan-akan sudah sinonim dengan pengumuman kenaikan gaji penjawat awam.

"Saya berharap peniaga tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang, malah pengguna juga disaran agar bijak membuat keputusan dalam urusan jual beli," katanya.

No comments: