Thursday, March 8, 2012

Mansuh SBPA - Pelbagai Pihak Sambut Baik Pengumuman PM

pada 08-03-2012, Dalam Nasional

SHAH ALAM, 8 MAC: Pelbagai pihak menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memansuhkan Skim Saraan Baru Penjaat Awam (SBPA) dan sebaliknya menambahbaik Skim Saraan Malaysia (SSM) sekali gus meredakan ketidakpuasan hati 1.4 juta kakitangan awam yang menentangnya sebelum ini.

Pengerusi Persatuan Pegawai Kastam, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ja'apar Mansor berkata pengumuman ini akhirnya mengimbangkan semula segala tindakan hasrat kerajaan yang mahu mengadakan SBPA sebelum ini.

"Kita melihat kenyataan ini merupakan satu kenyataan yang kita anggap terbaiklah kerana dapat memberikan kepuasan kepada ramai orang walaupun mungkin ada segelintir orang yang tidak berpuas hati tetapi mungkin sebab mereka tidak dapat lagi yang terbesar sebelum ini jurang gai terlampau tinggi antara orang bawahan dan orang atasan," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi tadi.

"Sekurang-kurangnya meredakan masalah yang dihadapi yang tidak berpuas hati sama antara penjawat-penjawat awam dan pelaksana dan juga kumpulan 1 hingga 54, yang mana kumpulan 54 ni pun rata-rata banyak yang tidak berpuas hati," katanya.

Najib, pada majlis Perhimpunan Khas Penjawat Awam bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini, mengumumkan SBPA yang sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun ini dimansuhkan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah mendengar rintihan penjawat awam yang tidak berpuas hati.

"Dengan keputusan ini, Skim Saraan Malaysia (SSM) dikembalikan dengan penambahbaikan," katanya .

Ja'apar selain itu berkata keputusan Datuk Seri Najib itu turut mencerminkan keprihatinannya terhadap suara penjawat awam yang rata-rata jelas mahukan yang terbaik untuk semua pihak.

"Pertamanya dapat menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan di dalam skim baru SBPA ini yang mana ramai yang tidak berpuas hati, yang mana rata-rata sebelum ini mereka tidak dapat peratus yang dijanjikan dalam bajet antara 7 hingga 13 peratus.

"Tetapi hari ini mereka semua mendapat 13 peratus dan sebelum ini mereka hanya mendapat 4 hingga 5 peratus," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi tadi.

Najib tadi mengumumkan gaji matriks SSM mengikut peratusan gred yang ditetapkan seperti berikut:

Kenaikan 13 peratus bagi kumpulan pengurusan, profesional dan pelaksana dari gred 1 hingga 54, kenaikan 9 peratus untuk gred utama kumpulan JUSA C, B dan A.

Kenaikan 8 peratus untuk turus 3 dan 2, kenaikan 7 peratus untuk turus 1 dan ketua setiausaha.

No comments: