Friday, January 13, 2012

Pegawai Gred 54 P1T8 kecewa dengan SBPA

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0113&pub=utusan_malaysia&sec=Forum&pg=fo_03.htm&arc=hive

WAKIL PEGAWAI GRED 54
SYABAS dan tahniah kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana telah berusaha membuat yang terbaik untuk meningkatkan taraf hidup kakitangan dan pegawai perkhidmatan awam melalui Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang berkuat kuasa mulai 1 Jan 2012.

Namun setelah kami meneliti tangga gaji, pelarasan gaji dan pemindahan tangga gaji semua gred jawatan dari gred jawatan yang paling bawah hinggalah ke jawatan JUSA, ternyata berlaku ketidakadilan.

Yang jelas pegawai yang mendapat imbuhan yang besar daripada pelarasan gaji SBPA ialah pegawai JUSA C dan ke atas.

Kenaikan gaji mereka dibandingkan dengan kami pegawai gred 54 seperti langit dengan bumi.

Untuk makluman di bawah SBPA pegawai JUSA C contohnya mendapat pelarasan gaji tidak kurang daripada RM5,000 berbanding kami pegawai gred 54 yang berada di gaji mati P1T8 hanya mendapat pelarasan gaji RM308.64.

Paling menyedihkan lagi bagaimana pihak JPA boleh terfikir untuk menyamakan gaji pegawai gred 54 P1T1 dengan pegawai gred 54 P1T8 kepada tangga gaji P1T1 RM7,025 di bawah SBPA.

Sebahagian kami telah berada pada gaji mati P1T8 bertahun-tahun semasa di bawah Sistem Saraan Malaysia.

Tangga gaji pegawai gred 54 di P1T1 ialah RM5,160.68 sementara gaji pegawai gred 54 di P1T8 ialah RM6,716.36.

Dalam kes ini pegawai yang paling bernasib baik dan mendapat pelarasan gaji yang banyak ialah pegawai gred 54 yang berada di P1T1 atau yang berada di tangga gaji yang berhampiran dengan P1T1.

Kami sedar kebanyakan pegawai gred 52 yang mendapat kenaikan pangkat ke gred 54 berada pada tangga gaji lebih tinggi daripada P1T1 atau P1T4 tetapi ini tidak bermakna tidak ada langsung pegawai yang mendapat kenaikan pangkat ke gred 54 secara fast track.

Yang peliknya bagaimana dalam masa yang sama pihak JPA boleh terfikir mengadakan jadual pemindahan tangga gaji yang lebih baik bagi pegawai gred 54 yang berada pada tangga gaji P2T1 hingga P2T8.

Kami berharap pihak JPA dapat membuat kajian semula dan membetulkan ketidakadilan dari segi pemindahan gaji kumpulan pegawai gred 54 P1T8 seperti kami ini supaya SBPA dilihat satu skim perkhidmatan yang adil untuk semua kumpulan pegawai.

No comments: