Friday, January 13, 2012

KEWAJARAN PENANGGUHAN SBPA

Utusan Malaysia
Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my
13/1/2012



AKHIRNYA pelaksanaan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ditangguhkan. Keputusan tersebut tentunya menutup dilema penjawat awam yang hanya mempunyai tiga hari saja lagi untuk mengembalikan borang opsyen.

Sememangnya sejak SBPA diumumkan pelbagai reaksi dan kenyataan dapat dilihat - hangat dan dingin. Di sebalik khabar kenaikan gaji dan penyusunan jawatan, masih ada rasa tidak puas hati di kalangan penjawat awam terutama yang berpangkat rendah.

Perkara itu diakui sendiri oleh CUEPACS yang mengadakan pertemuan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam bagi berunding semula terma-terma dalam SBPA.

Persoalannya, adakah keseluruhan kakitangan awam di negara ini telah diberi penerangan dan penjelasan mengenai skim itu sebelum ia dilaksanakan. Atau sekadar memberi peluang kepada mereka menatap terma-terma sebelum borang dikembalikan?

Khabarnya, ramai penjawat awam masih kabur dan keliru mengenai SBPA. Kumpulan mana yang benar-benar dapat manfaat daripada skim tersebut - gaji rendah, pertengahan atau super skil.

Sumber perkhidmatan awam memberitahu, secara pukal golongan penjawat awam selain peringkat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) hanya mendapat kenaikan paling tinggi RM320 dan purata memperoleh RM200. Itu mungkin di peringkat penjawat awam kategori gaji pertengahan. Bagaimana pula dengan kenaikan gaji untuk JUSA?

Khabarnya, kenaikan kategori itu paling menimbulkan rasa tidak puas hati sehingga SBPA dilihat agak pincang daripada matlamat asal.

Kenaikan untuk JUSA dan ke atas dikatakan amat lumayan hampir menyamai gaji asas di tahap sedia ada (dilaporkan hampir RM5,500). Adalah diakui penjawat awam di peringkat JUSA mempunyai beban kerja yang agak besar, tetapi bagaimanapun pula dengan kakitangan rendah yang bertungkus lumus memberi perkhidmatan supaya golongan atasan dilihat membuat kerja?

Bukankah kesemua kategori dalam perkhidmatan awam sama penting kerana sumbangan mereka untuk sama-sama membangunkan bidang masing-masing.

Misalnya, jika guru-guru berkhidmat dengan cemerlang maka guru besar atau pengetua bakal mendapat nama yang baik, sekolah juga akan mencatatkan keputusan gemilang. Jadi adakah wajar jika kenaikan gaji guru hanya 1 peratus daripada kenaikan gaji guru besar atau pengetua.

Satu lagi dipersoalkan di dalam SBPA adalah pengenalan Kumpulan Premier. Ada kerunsingan dan kebimbangan selain tanda-tanya yang mesti dijawab atau diperjelaskan bagi mengelak salah sangka.

Sumber perkhidmatan awam membangkitkan persoalan mengapa kerajaan terpaksa berbelanja besar untuk mereka walhal perkhidmatan kerajaan telah beroperasi dengan baik selama ini.

Kenapa perlu ada kumpulan baru sedangkan perkhidmatan awam di negara ini semakin cemerlang dan mampu menambah baik tanpa perlu kumpulan atau jawatan baru sebelum ini.

Apatah lagi apabila orang luar turut dibenarkan mengisi jawatan tersebut biar pun menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah calon luar hanya akan dipertimbangkan sekiranya tiada calon dari kalangan penjawat awam yang layak mengisi jawatan tersebut.

''Penjawat awam tetap akan diutamakan untuk mengisi jawatan-jawatan tertinggi dalam kerajaan termasuk Kumpulan Premier,'' katanya baru-baru ini.

Memang diakui seperti mana yang ditegaskan Abu Bakar, setiap dasar atau skim yang diputuskan kerajaan bertujuan mengatasi masalah sedia ada dan juga melihat kemungkinan pada masa akan datang.

Tetapi bagaimana pula jika skim yang diperkenalkan mencetuskan masalah baru selain menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penjawat awam sehingga dibimbangi kelak akan menjejaskan mutu perkhidmatan.

Khabarnya juga, syarat-syarat perkhidmatan yang lebih rumit terkandung di dalam SBPA. Sepatutnya skim baru lebih memudahkan kakitangan. Merumitkan mengundang masalah dan ia bukan petanda yang baik untuk kakitangan awam termakan dengan mungkin satu atau dua peratus manfaat kecil yang ditawarkan di dalam skim itu.

Rata-rata kakitangan awam mengalu-alukan hasrat murni kerajaan mahu melegakan bebanan mereka tetapi janganlah kerana terdapat kecacatan dalam pelaksanaan SBPA, maka hasrat tersebut tersasar sehingga menimbulkan kekeruhan.

Daripada bilangan 1.4 juta penjawat awam, ramai merasakan cuma segelintir (mungkin kurang 1,000 orang) yang merasa nikmatnya tetapi yang lainnya terpaksa berfikir panjang apakah yang ada untuk mereka.

Maka berilah ruang untuk SPBA dikaji semula. Ambillah masa yang mencukupi untuk melihat semula kepincangan yang mungkin tidak disengajakan. Rundinglah dengan semua pihak yang terlibat, jangan cipta skim untuk kepentingan satu kumpulan sahaja lantaran perkhidmatan awam melibatkan semua.


TANGGUH SBPA: JANGAN SALAHKAN KAMI, KATA CUEPACS

Sinar Harian
NURUL NADIA MOHD KAMARUZAMAN
January 13, 2012



KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menegaskan, pihaknya tidak patut dipersalahkan atas keputusan kerajaan menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang diumumkan secara rasmi semalam.

Keputusan penangguhan dibuat oleh Kabinet dalam mesyuarat mingguannya kelmarin.

Lewat petang semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan SBPA akan disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan skim itu, yang dikuatkuasakan sejak 1 Januari lalu.

Dalam laporan eksklusif semalam, Sinar Harian Online memetik sumber-sumber berkata, Kabinet telah memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan SBPA atas beberapa sebab, antaranya kerana rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam.

Mengulas isu ini, Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, dari awal lagi pihaknya tidak terlibat dalam perancangan dan perbincangan mengenai SPBA.

Malah katanya, Cuepacs telah cuba membantah pelaksanaan SBPA kerana sudah menyedari implikasinya, seperti yang disaksikan sekarang.

"Tidak boleh salahkan Cuepacs, semua mahu tumpu pada kami, kalau dulu benda baik Cuepacs buat tidak mahu tumpu, ucap terima kasih pun jarang," katanya ketika ditemui Sinar Harian Online di sini, malam tadi.

Cuepacs mengadakan mesyuarat khas malam tadi bagi membincangkan keputusan penangguhan SBPA.

Tegasnya, Cuepacs sudah dapat menjangkakan rasa tidak puas hati kakitangan awam akan berlaku apabila melihat ketidakseragaman perubahan gaji antara kumpulan gred 27 dan ke atas, yang mengalami kenaikan ketara antara 20 hingga 40 peratus berbanding gred-gred rendah.

Ketika mengumumkan pelaksanaan SBPA dalam ucapan Bajet 2012, Perdana Menteri berkata SBPA, yang memperkenalkan sistem gaji satu lapis, akan membawa kenaikan antara tujuh hingga 13 peratus.

"Apabila lihat skim SPBA ini, kita dapati, kumpulan Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) ke atas, terdapat peratusan naik sampai 50 peratus, terlalu tinggi sedangkan kumpulan gred bawahan hanya empat peratus.

"Macam langit dan bumi. Ini memang mengundang perasan marah.


"Cuepacs tidak mahulah nanti ada yang dapat kenaikan hanya RM40 tapi gred atas sampai RM40,000... perkara ini perlu disemak semula kerana sepatutnya skim ini menceriakan penjawat awam dengan adil dan sama rata," katanya.

Omar berkata, sebelum ini Cuepacs ada diberi taklimat bagaimana skim SPBA berfungsi - dalam menyelaraskan kenaikan gaji penjawat awam, namun kecelaruan berlaku ketika hendak dilaksanakan mulai 1 Januari lalu.

SBPA menggantikan Sistem Saraan Malaysia berkuat kuasa 1 Januari lalu.

"Dalam taklimat kita, gred yang asal, dapat satu kenaikan, akan pindah ke gred yang baru dan akan dapat satu kenaikan lagi. Jadi apabila dicampurkan kedua-dua, inilah kenaikan yang akan diterima.

"Tapi apabila sampai ke (peringkat) jabatan, pelaksanaan itu tidak ada, hanya berlaku kenaikan satu baris di mana apabila ke gred baru gaji, kalau kata RM15, RM15 lah dapat. Ini yang mereka kata tiada kenaikan sedangkan kumpulan di atas dapat kenaikan RM1,500 hingga RM5,000. Maka berlakulah kemarahan (di kalangan kakitangan awam peringkat bawahan)," katanya lagi.

Omar berkata Cuepacs tidak menolak penangguhan SBPA, tetapi menerimanya protes.

Namun begitu, Cuepacs menghormati keputusan itu yang diumumkan oleh Najib semalam dan akan membantu menyelesaikan masalah itu dengan segera.

"Kalau itu keputusan kerajaan, kami menyambut baik dan Cuepacs minta sembilan pegawai tertinggi kami berada dalam (panel) perbincangan itu kerana kami wakil 1.4 juta penjawat awam di negara ini.

"Jika diwujudkan jawatankuasa lain, kami mahu juga bersama dalam perbincangan itu supaya kami harap isu yang tidak puas hati dan berbangkit ini nak dibawa dalam jawatankuasa itu untuk satu penambahbaikan yang komprehensif berlaku adil dan saksama untu penjawat awam," katanya.

Katanya, Cuepacs akan menekankan beberapa perkara dalam penambahbaikan SBPA dan antaranya penekanan penstrukturan skim baru itu perlu dibuat keseluruhan di mana gred yang tidak terlibat serta badan-badan beruniform juga perlu dikaji semula.

"Gelaran untuk jawatan yang ditukar juga perlu disemak semula mengikut kesesuaian kerana terdapat aduan penjawat awam tidak setuju penukaran jawatan baru.

"Formula kenaikan gaji perlu yang baru supaya pindaan yang akan berlaku yang terbaik, barulah semua pihak berpuas hati.

"Kemudian, senioriti juga perlu diambil kira, kedudukan lama paling maksimum dalam jawatan juga akan diubah dan begitu juga yang telah lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) masih tidak dianjak," katanya lagi.

Ketika ditanya adakah JPA telah memanggil Cuepacs untuk bermesyuarat mengenai hal ini, beliau berkata, pihaknya sudah bersedia dan hanya tunggu dipanggil.

"Perkara ini masih baru dan mekanisme akan ditentukan oleh JPA dan kami akan berbincang, diaharapkan dapat diselesaikan secepat mungkin, redakan keadaan semua peringkat penjawat awam," katanya.

No comments: