Wednesday, May 4, 2011

GAJI PENJAWAT AWAM DI MALAYSIA MEMUASKAN?


KAJIAN Bank Dunia menunjukkan rekod pertumbuhan gaji tahunan di Malaysia sejak 10 tahun lalu hanyalah 2.6 peratus berbanding peningkatan berlipat ganda inflasi dan kos sara hidup semasa dalam tempoh yang sama.

Hal ini secara tidak langsung mengakibatkan kuasa beli berkurang bagi pendapatan setiap isi rumah.


Namun, gaji yang diterima oleh penjawat awam di Malaysia pada masa kini dilihat masih berada di tahap memuaskan dengan pendapatan per kapita sebanyak RM25,000 hingga RM30,000 setahun berbanding negara maju RM40,000 setahun.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berkata, walaupun begitu kerajaan harus melakukan sesuatu dari sekarang agar pendapatan perkapita rakyat Malaysia setanding negara maju lain menjelang tahun 2020.

“Bagi Gred 41 ke atas, saya boleh kata gaji mereka memuaskan tapi bagi penjawat awam gred tertentu yang gajinya Rm3,000 ke bawah, mungkin akan jadi beban jika penyelarasan gaji tak dibuat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.


“Dua tahun kebelakangan ini kita lihat banyak harga barang yang naik. Penjawat awam yang bergaji rendah memerlukan sekurang-kurangnya tambahan RM500 untuk tanggung kos kenaikan ini,” katanya kepada Mingguan mStar.

Omar yang ditemuramah sempena Hari Pekerja 2011 berkata penyelarasan gaji penjawat awam perlu, seiring Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang menuntut penjawat awam melakukan perubahan positif dari segi cara kerja dan pemikiran.


Menjelang 2020, penjawat awam yang mantap dari peringkat atasan, pertengahan dan bawahan diperlukan untuk mengemudi sistem pentadbiran kerajaan yang tentunya lebih maju dan mencabar berbanding sekarang,


Menurut Omar, kali terakhir gaji penyelarasan gaji kakitangan awam dibuat pada 1 Julai 2007 dengan kenaikan sebanyak 35 peratus untuk penjawat awam Gred 1 hingga 16, 25 peratus untuk Gred 27 hingga 40, 15 peratus untuk Gred 41 hingga 54 dan 7.5 peratus bagi gred seterusnya.

“Pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-12 (MAPPA XII) Mac lalu, kita ada bincangkan tentang isu ini dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Kita minta kerajaan buat semakan gaji setiap lima tahun sekali dan berharap akan ada perubahan gaji dalam masa terdekat,” katanya.

Bagi merealisasikan kehendak kerajaan Omar mengakui penjawat awam perlu dipersiapkan dengan pemikiran bijaksana, kreativiti dan lebih inovatif dari sekarang.

Dalam pada itu, beliau kurang bersetuju dengan pendapat sesetengah pihak yang menyatakan penjawat awam seolah-olah tidak bersyukur walaupun menikmati pelbagai kemudahan yang diberikan kerajaan.

“Kita menghargai apa yang kerajaan beri. Apa yang kita minta adalah patut dan sesuai dengan peredaran semasa.

“Walaupun sudah dua tahun tak dapat bonus, semua penjawat awam masih setia berkhidmat dengan kerajaan dan produktiviti juga meningkat,” beliau memberi contoh.

No comments: