Tuesday, May 10, 2011

CUEPACS HARAP PELARASAN GAJI DISEGERAKAN

Utusan Malaysia
9/5/2011

KOTA BHARU 8 Mei – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan dapat mempercepatkan pelarasan gaji 1.4 juta kakitangan awam di negara ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, permohonan untuk pelarasan gaji itu telah dibuat dua tahun lalu bagi mengurangkan beban ahlinya ekoran kenaikan harga barang.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya tidak bermaksud mendesak kerajaan untuk berbuat demikian kerana memahami kedudukan kewangan negara dan sedar ia akan turut memberikan kesan kepada pekerja swasta.

“Kita sedar kenaikan harga barang adalah di luar kawalan dan kalau gaji kakitangan awam naik, kita bimbang ada golongan akan turut menaikkan harga barang dan bagaimana pula dengan bukan kakitangan awam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Peranan Penjawat Awam Dalam Transformasi Nasional dan Bengkel Sistem Alternatif PTK oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin di sini hari ini.

Omar diminta mengulas mengenai khabar angin bahawa kakitangan awam akan menerima pelarasan gaji dalam masa terdekat.

Beliau berkata, langkah itu juga untuk mengurangkan jumlah kakitangan awam yang bekerja sambilan kerana rekod menunjukkan kira-kira 20 peratus daripada 730,000 kakitangan awam kelas sederhana melakukan kerja sambilan.

Katanya, CUEPACS tidak mahu kakitangan awam mengutamakan kerja sambilan sehingga menjejaskan produktiviti tugas hakiki mereka.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam proses terakhir untuk menyiapkan sistem penilaian baru bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).

“Kira-kira 90 peratus sistem penilaian baru itu telah siap dan kita akan berbincang buat kali terakhir dengan JPA Selasa ini bagi melengkapkan sistem penilaian baru itu,” katanya.

No comments: