KUALA TERENGGANU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap pelaksanaan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) mampu memberi kemudahan dan peluang kenaikan pangkat lebih terbuka kepada penjawat awam.
Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata dengan pelaksanaan sistem baru bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang akan berkuat kuasa 1 Julai ini, ia dapat bertahan lebih lama berbanding PTK yang hanya berjaya semasa tiga tahun pertama pelaksanannya. Omar berkata, apa yang terdapat dalam PTK sebelum ini tidak akan hilang tetapi melalui transformasi penambahbaikan dengan memberi penekanan terhadap beberapa perkara termasuk kompetensi dan ganjaran.
Katanya, dengan itu penjawat awam boleh dinaikkan pangkat tanpa perlu menunggu kekosongan jawatan malah mereka juga akan dinilai jika hadir mana-mana seminar yang berkaitan dengan jawatan mereka sendiri.
"Ganjaran kenaikan pangkat juga akan diberikan berasaskan aspek sahsiah, sukan, disiplin dan had pencapaian mereka berasaskan penilaian yang dilakukan oleh panel penilai yang akan dilantik terdiri daripada wakil ketua jabatan, pegawai kerajaan supaya ia lebih telus," katanya.
Omar berkata, dari semasa ke semasa, penambahbaikan akan dilakukan supaya PROSPEK lebih efisien serta kompetensi dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga bersedia berunding dari semasa ke semasa untuk melakukan penambahbaikan terhadap sistem penilaian baru itu.
Katanya, lapan prinsip yang menjadi teras kepada penilaian baru itu meliputi falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment