Wednesday, June 8, 2011

CUEPACS harap PROSPEK beri lebih peluang kenaikan pangkat

KUALA TERENGGANU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap pelaksanaan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) mampu memberi kemudahan dan peluang kenaikan pangkat lebih terbuka kepada penjawat awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata dengan pelaksanaan sistem baru bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang akan berkuat kuasa 1 Julai ini, ia dapat bertahan lebih lama berbanding PTK yang hanya berjaya semasa tiga tahun pertama pelaksanannya.
"Sebelum ini, PTK dilaksanakan selama lapan tahun dan ia hanya berjalan lancar pada tiga tahun pertama. Kemudian sistemnya makin goyah dan tidak ke mana, jadi kita mengharapkan PROSPEK sebagai satu transformasi untuk pemantapan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau menghadiri majlis perasmian seminar Pengurusan Kewangan Kumpulan Pelaksana (Sokongan I & II) Badan Berkanun Malaysia bertajuk "Cabaran Pengurusan Kewangan Dalam Era Globalisasi".

Omar berkata, apa yang terdapat dalam PTK sebelum ini tidak akan hilang tetapi melalui transformasi penambahbaikan dengan memberi penekanan terhadap beberapa perkara termasuk kompetensi dan ganjaran.

Katanya, dengan itu penjawat awam boleh dinaikkan pangkat tanpa perlu menunggu kekosongan jawatan malah mereka juga akan dinilai jika hadir mana-mana seminar yang berkaitan dengan jawatan mereka sendiri.

"Ganjaran kenaikan pangkat juga akan diberikan berasaskan aspek sahsiah, sukan, disiplin dan had pencapaian mereka berasaskan penilaian yang dilakukan oleh panel penilai yang akan dilantik terdiri daripada wakil ketua jabatan, pegawai kerajaan supaya ia lebih telus," katanya.
Omar berkata, dari semasa ke semasa, penambahbaikan akan dilakukan supaya PROSPEK lebih efisien serta kompetensi dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga bersedia berunding dari semasa ke semasa untuk melakukan penambahbaikan terhadap sistem penilaian baru itu.

Katanya, lapan prinsip yang menjadi teras kepada penilaian baru itu meliputi falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian. - BERNAMA

Thursday, June 2, 2011

Polis Syor Inkues Siasat Kematian Sarbaini


Thursday, 02 June 2011 | Ruangan: Berita

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Ketua Jabatan Siasatan Polis Kuala Lumpur Asisten Komisioner Datuk Ku Chin Wah berkata pihak Polis akan mengesyorkan agar satu inkues diadakan bagi menyiasat punca kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia, Ahmad Sarbaini Mohamad, kata

Laporan The Star Online memetik Chin Wah Ku berkata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail juga telah bersetuju dengan cadangan itu.

Baru-baru ini, keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini mahu polis mendedahkan perkembangan terbaru hasil siasatan kematiannya dua bulan lalu di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ini kerana, menurut sumber yang rapat dengan keluarga Ahmad Sarbaini, sehingga kini masih tiada perkembangan, menyebabkan keluarga itu tertanya-tanya status sebenar hasil siasatan tersebut.

Tambah sumber itu, perkembangan terakhir yang diketahui pada 4 Mei lalu di mana kertas siasatan kematian Ahmad Sarbaini akan dihantar semula ke Jabatan Peguam Negara.

“Kami nak tahu apa status terkini sekarang, kami tertanya-tanya apa yang berlaku dan perkembangan kes ini.

“Saya sendiri tertanya-tanya apa status kes ini sekarang, sebab saya lihat macam tidak ada apa-apa yang berlaku… senyap begitu sahaja,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Semalam, pemimpin-pemimpin PKR menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara menggesa diadakan siasatan lanjut ekoran dakwaan wujud bukti baru, yang dikemukakan oleh balu Allahyarham Ahmad Sarbaini bulan lalu.