Monday, January 17, 2011

336 TERIMA BINTANG KEBESARAN PADA HARI KE-2

Utusan Malaysia
16/1/2011

KUALA PILAH 15 Jan. - Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mengurniakan darjah kebesaran, bintang dan pingat kepada 336 penerima lagi di Balairung Seri Istana Besar Seri Menanti di sini.

Upacara pengurniaan darjah kebesaran sesi kedua itu dilangsungkan sempena hari keputeraan baginda yang ke-63 semalam.

Jumlah tersebut melibatkan empat penerima Darjah Datuk Paduka Negeri Sembilan (DPNS) serta 11 lagi untuk Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang membawa gelaran Datuk.

Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Akhil Bulat mendahului senarai penerima DPNS diikuti Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa; Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Muhamad Muda serta Ooi Chong Beng daripada Eternal Yield Sdn. Bhd.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha 1 Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Aziyah Mohamed mendahului senarai penerima darjah kebesaran DBNS diikuti Pengarah Urusan Sinararia Sdn. Bhd., Azmi Abas; Pengerusi Persatuan Kontraktor negeri, Baharuddin Sariman; aktivis masyarakat, Lim Fui Ming.

Turut menerima darjah kebesaran yang sama ialah Pengarah Tackor Design Sdn. Bhd., Mathew Ling Lee Wee; Ketua Penerangan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak), Dr. Nordin Ahmad Selat; Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman serta Ketua Pengawai Eksekutif Nasim Sdn. Bhd., Samson Anand George.

Selain itu, Panglima Markas 5 Briged, Brigedier Jeneral Shahbani Ali turut menerima darjah DBNS diikuti aktivis masyarakat, M. Veloo serta Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zailan Datuk Adnan.

Turut berangkat pada upacara itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Hadir sama Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak; Undang Luak Jelebu, Datuk Musa Wahab; Undang Luak Johol, Datuk Mohd. Jan Abdul Ghani; Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Turut sama Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz serta Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin serta kerabat diraja dan pegawai tinggi kerajaan negeri dan Persekutuan turut hadir.

Sementara itu, Omar yang ditemui pemberita selepas istiadat itu berkata, penganugerahan yang diterimanya merupakan penghargaan bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga kepada semua ahli CUEPACS.

''Saya berterima kasih kepada semua termasuk kerajaan negeri kerana menghargai CUEPACS sebagai nadi penggerak pekerja-pekerja sektor awam di negara ini," katanya.

No comments: