Thursday, September 30, 2010

KASTAM SASAR KUTIP HASIL RM28.2 BILION

Berita Harian
29/9/2010



MELAKA: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) menyasarkan kutipan hasil melebihi RM28.2 bilion pada tahun ini, meningkat sebanyak 8.1 peratus atau RM2.3 bilion berbanding tahun lalu, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ibrahim Jaapar.

Katanya, jabatan itu yakin mencapai sasaran berkenaan berdasarkan keadaan ekonomi negara masa kini yang kian stabil, selain pelaksanaan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) membabitkan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Sehingga kelmarin, jabatan ini berjaya mengumpul RM20.5 bilion kutipan hasil dengan purata RM2.3 bilion sebulan. Saya yakin jika momentum prestasi jabatan berterusan, kita boleh memungut lebih daripada jumlah berkenaan. Jika dapat dicapai, kita juga turut berjaya mencapai sasaran ditetapkan kerajaan iaitu RM28 bilion. Setakat ini, jumlah kutipan tertinggi pada 2008 iaitu RM28.2 bilion,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Pengarah Kastam SeMalaysia Kali ke-64, di Seri Negeri, Ayer Keroh dekat sini, semalam.

Ibrahim yang akan menamatkan perkhidmatan Jumaat ini berkata, setakat ini pihaknya sudah membekalkan 6,000 komputer baru ke semua jabatan di seluruh negara dalam usaha menyelesaikan masalah dan menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan.

Katanya, langkah bertujuan mempertingkatkan daya saing termasuk kerja penguatkuasaan sebagai agensi berkuasa kerajaan yang mantap itu turut membabitkan naik taraf kemudahan sistem lain dengan kos lebih RM5 juta.

“Penggunaan peralatan dengan teknologi terkini amat perlu kerana usaha membanteras penyeludup dan penjenayah perlu menggunakan peralatan lebih baik daripada mereka,” katanya.
Mengulas permintaan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula gred anggota jabatan itu, Ibrahim berkata, ia langkah yang baik kerana dapat mempertingkatkan mutu kerja dan produktiviti tugasan kakitangan.

No comments: