Friday, January 15, 2010

PENJAWAT AWAM PERLU PROFESIONAL

Utusan Malaysia
14/1/2010

SEMUA penjawat awam atau kakitangan kerajaan harus akur dan patuh kepada saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak supaya berkhidmat secara penuh profesional tanpa didorong kecenderungan politik.
Selanjutnya, Najib dalam ucapannya semasa majlis makan malam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang turut dihadiri Pengerusi SPA, Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri baru-baru ini menyatakan penjawat awam mesti berpegang teguh dan kukuh kepada prinsip profesional secara total tanpa mengambil kira apa-apa pun pandangan peribadi.
Seseorang yang dilantik menganggotai mana-mana sektor dalam perkhidmatan awam tertakluk kepada dasar, peraturan, pekeliling perkhidmatan, perintah am dan lain-lain peraturan yang telah ditetapkan dan diguna pakai semasa menjalankan tugas. Ia juga meliputi semua tindakan pelantikan, penanggungan kerja, naik pangkat, tatatertib dan pengurusan prestasi penjawat awam.
Kenyataan dan saranan Perdana Menteri itu mengingatkan penjawat awam yang alpa tentang perlunya mereka bersikap profesional dalam menjalankan tugas.
Penjawat awam perlu meletakkan ke tepi perbezaan fahaman politik dan kepentingan peribadi. Pelaksanaan dasar yang dibuat oleh kerajaan hanya akan tercapai kepada matlamat yang ditetapkan sekiranya semua penjawat awam bersikap profesional, bersungguh-sungguh melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
Dasar-dasar yang digubal oleh kerajaan di dalam setiap Pelan Rancangan Malaysia hanya berjaya dicapai sekiranya semua pihak mendokong penuh dasar tersebut.
Tindakan segelintir penjawat awam yang ponteng kerja tanpa sebarang alasan bukan sahaja merugikan, malah menjatuhkan imej perkhidmatan awam.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Ahmad Shah Mohd. Zin semasa merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Pekerja Awam Angkatan Tentera Malaysia di Port Dickson pada April tahun lalu menyatakan sebanyak lima peratus kakitangan awam terlibat dengan gejala ponteng kerja. Walaupun peratusan itu dianggap kecil, namun sekiranya tiada tindakan tegas diambil, dikhuatiri ia akan memberi impak yang besar kepada jabatan tempat mereka bertugas.
Apa pula nanti persepsi orang ramai terhadap jabatan berkenaan. Sesungguhnya seseorang penjawat awam itu membawa bersamanya imej jabatan tempat mereka bekerja.
Penjawat awam yang bertugas sebagai pendidik sama ada di sektor pendidikan dan pengajian tinggi wajar menumpukan secara total kaedah pengajaran dan pembelajaran dengan mengikut silibus yang telah ditetapkan tanpa memasukkan elemen-elemen yang tidak relevan dalam pengajaran mereka.
Ini penting kerana generasi muda hari ini merupakan bakal pemimpin masa hadapan. Tindakan segelintir tenaga pengajar yang mengambil kesempatan menanamkan fahaman politik sempit, 'anti-establishment', memburuk-burukkan pemimpin-pemimpin tertentu dan dasar-dasar kerajaan amat mendukacitakan. Kanak-kanak dan golongan pelajar umpama kain yang putih, sekiranya warna yang diterapkan itu gelap, maka lama kelamaan pemikiran mereka akan dipengaruhi unsur gelap.
Kemajuan yang dikecapi oleh Malaysia hari ini adalah hasil hubungan yang baik dan saling bertaut antara kerajaan dan penjawat awam. Dasar kerajaan mampu dilaksanakan dengan lebih berkesan dan lancar sekiranya semua penjawat awam sentiasa menyokong dan mampu menterjemahkan dasar tersebut dan menentukan setiap agenda kerajaan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

NADZIR AWANG AHMAD
Universiti Teknologi Mara Perlis



CUEPACS LAPOR SYARAT PEGAWAI MEROKOK TAK NAIK PANGKAT
Berita Harian
14/1/2010





KUALA LUMPUR: Cuepacs mendedahkan ada ketua jabatan dan agensi kerajaan pada peringkat negeri mengenakan syarat pelik apabila tidak membenarkan pegawai merokok naik pangkat mengikut skim Khas Untuk Penyandang (KUP), berkuat kuasa 1 Julai lalu. Presidennya, Omar Osman, berkata beliau menerima aduan pegawai yang memenuhi syarat naik pangkat mengikut skim itu seperti ditetapkan Surat Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), tetapi tidak layak menikmatinya kerana merokok.
“Kita anggap ini syarat gila kuasa. Ketua jabatan dan agensi kerajaan jangan menganiaya kakitangan bawahan dengan mengenakan syarat tidak munasabah,” katanya ketika dihubungi, semalam. Sempena Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 14 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan bersetuju memberi kenaikan pangkat KUP bagi pegawai kumpulan sokongan yang sudah berkhidmat melebihi 15 tahun.
Omar berkata, pihaknya kesal dengan tindakan ketua jabatan dan agensi terbabit kerana JPA menerusi surat pekelilingnya sudah menetapkan syarat jelas untuk diikuti dalam menaikkan pangkat kakitangan mereka mengikut skim itu. Katanya, selain perlu berkhidmat lebih 15 tahun dan mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus dalam laporan prestasi bagi tempoh tiga tahun lalu, kakitangan juga perlu lulus tahap tiga Penilaian Tahap Kecekapan (PTK). “Mereka juga tidak disabitkan dengan kesalahan tata tertib iaitu dengan mendapat pelepasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mengisytiharkan harta, memberikan bukti mereka tidak pernah dikenakan tindakan disiplin dan dicadangkan ketua jabatan masing-masing. “Jadi, jangan membebankan mereka yang layak dengan pelbagai syarat pelik. Ada di antara kakitangan terbabit sudah berkhidmat dalam gred sama antara 25 hingga 30 tahun tanpa merasai nikmat kenaikan pangkat,” katanya.
Omar berkata, pihaknya sudah menghantar surat rasmi kepada semua Setiausaha Kerajaan Negeri, selain turut memaklumkannya kepada Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan berhubung pelbagai syarat dikenakan terhadap kakitangan itu.

No comments: